(duduk dua dari kiri) bersama anak serta sebahagian cucu hasil poligami. KELUARGA BESAR... Hatijah (duduk kiri sekali), Noraziah (duduk dua dari kiri) bersama anak serta sebahagian cucu hasil poligami. |
KELUARGA BESAR... Hatijah (duduk kiri sekali), Noraziah (duduk dua dari kiri) bersama anak serta sebahagian cucu hasil poligami. |
KUALA LUMPUR: “Kita buka tawaran kepada pelacur. Datanglah ke kelab kami untuk berpoligami. Nasib kamu (pelacur) akan jadi sangat indah (jika berpoligami).
“Jika jadi pelacur, belumpun tua, kamu sudah tiada nilai,” kata Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI), Hatijah Aam, 54.
KPI dilancarkan secara rasmi minggu lalu dengan matlamat utama ingin ‘menyuburkan’ amalan poligami di kalangan umat Islam negara ini.
Menurut Hatijah yang juga isteri kedua pengasas ajaran Al-Arqam, Ashaari Muhammad, poligami antara jalan keluar untuk golongan berkenaan kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan lebih baik.
Menurutnya, pelacur antara sasaran KPI untuk diajak berpoligami kerana ia sebahagian usaha memperbetulkan kepincangan masyarakat dan memperjuangkan poligami yang indah serta halal.
“Kita tiada tujuan apa-apa. Kita kasihan dengan nasib masyarakat kita hari ini, semua orang boleh cerita tetapi apa jalan keluarnya,” kata Hatijah.
Beliau berkata, selain pelacur, dua lagi golongan wanita yang turut dialu-alukan menyertai KPI untuk melaksanakan poligami ialah ibu tunggal dan anak dara lewat usia.
KPI kini mempunyai 646 ahli membabitkan 222 suami dan 524 isteri. Ketika ini semua ahli kelab berkenaan adalah anggota GISB.
Menurut Hatijah, KPI turut dibuka kepada masyarakat luar dan beliau mengakui reaksi diterima sangat menggalakkan.
Begitupun, katanya, kelab berkenaan bukan boleh disertai dengan sewenang-wenangnya kerana ada syarat perlu dipatuhi.
“Syarat utama, suami perlu membawa isteri kerana kita tidak buat di belakang isteri (secara rahsia). Wanita semestinya menentang poligami.
“Sebab itu kita akan beri pemahaman berbentuk kursus dan motivasi untuk tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat tanpa paksaan.
“Yang penting, mereka diberi pemahaman, nanti disiplinnya boleh diikuti dan kerana itu perlu jadi ahli dulu, perlu ikut kursus,” katanya.
Hatijah berkata, satu lagi matlamat penubuhan KPI ialah membantu suami isteri yang bermasalah, terutama dalam usaha melaksanakan poligami.
“Ramai yang ada isteri satu lagi tetapi tidak tahu jalan keluar bagaimana hendak buat isteri pertama terima. Kita beri pemahaman kepada mereka,” katanya.
Hatijah berkata, bagi memastikan tiada yang mengambil kesempatan selain penganiayaan, KPI mempunyai badan pengawasan dan pemantauan.
“Selama ini kami memantau ahli kami. Jika ada yang melakukan perkara tidak betul, kita tentang. Takkan kita hendak biarkan mereka buat perkara tidak betul.
“Kita turut menjaga kebajikan ahli. Contohnya, jika ada ibu kehabisan susu anak, mereka boleh pergi mendapatkannya di kedai milik GISB tanpa bayaran,” katanya sambil memaklumkan, GISB mempunyai 1,000 premis perniagaan di seluruh negara.
Menurut Hatijah, GISB tiada kaitan dengan pergerakan Al-Arqam kerana ia diharamkan dan GISB bermula dari bawah hinggalah kepada apa yang ada sekarang.
“Penubuhan KPI juga bukan bertujuan menambah ahli kami, sebaliknya membantu golongan yang kami sasarkan,” katanya yang tidak menetapkan sasaran untuk jumlah ahli KPI.
Berkaitan tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan poligami, Hatijah berkata, KPI mampu menangkisnya hasil kejayaan ahli GISB melaksanakan poligami, selain dirinya yang berpengalaman bermadu kira-kira 30 tahun.
“Poligami yang kami katakan ini dibuktikan di kalangan kami sendiri, termasuk ahli KPI. Banyak kebaikan sebenarnya yang ada dalam poligami, tetapi ramai yang berprasangka negatif.
“Kerana itu kami jadikan poligami di kalangan kami sebagai bukti. Penubuhan KPI pasti akan mencetuskan kontroversi besar, tetapi kami sudah bersedia dengan jawapan.
“Kami juga sanggup bersemuka dengan sesiapa saja untuk melakukan perbincangan ilmiah,” katanya yang hadir bersama madunya, Noraziah Ibrahim, 51, yang juga isteri ketiga Ashaari serta sebahagian daripada 38 anak serta kira-kira 200 cucu.
Bukan mudah terima madu
KUALA LUMPUR: “Bohonglah saya jika mengatakan tidak sedih apabila tahu suami mahu berkahwin lagi. Pada mulanya memang saya menangis, tapi saya tetap tabah dan kuatkan semangat.
“Saya yakin pada janji Tuhan bahawa jika kita taat dan melakukan kebaikan, ganjarannya juga baik, sama ada di dunia atau akhirat,” kata Norlia Ahmad, isteri pertama Fakhrurrazi Ashaari, 48, yang memiliki tiga isteri.
Norlia, 45, juga mengaku pada mulanya bukan mudah untuk dia menerima madu, lebih-lebih lagi wanita itu teman sepejabatnya.
“Apabila suami memaklumkan dia bakal berkahwin buat kali kedua dengan rakan sepejabat saya, saya terkejut tapi cuba menerima perkhabaran itu dengan dada yang lapang.
“Saya tidak pernah kenal Fakhrurrazi secara peribadi, tetapi menerima jodoh itu dengan hati terbuka kerana Allah SWT dan yakin pasti ada balasan baik sebagai ganjaran daripada-Nya.
“Kini saya gembira dapat bersama dua lagi madu menguruskan rumah tangga, tugas di pejabat, anak dan semua yang ada di sekeliling kami.
“Saya dan madu kini rapat dan terasa seperti kehilangan apabila seorang daripada kami tiada di sisi,” katanya.
Sementara itu, Fakhrurrazi yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif GISB serta Penasihat Kelab Poligami Ikhwan (KPI) berkata, mustahil tiada masalah berlaku dalam hubungan suami isteri serta antara madunya.
“Pasti berlaku perkara kurang manis, tetapi kami menggunakan pendekatan dalam al-Quran dan sunnah iaitu berbincang serta memohon petunjuk daripada Allah SWT.
“Syukur semua masalah, daripada yang kecil hingga besar, mampu kami selesaikan dengan penuh berhemah, malah ia menjadi tali penguat antara saya serta isteri, selain hubungan mereka sebagai madu,” katanya yang memiliki 23 anak.
Fakhrurrazi berkata, jodoh dengan semua isterinya bukan dicari sendiri, tetapi dipilih secara peribadi oleh bapanya.
Perkara sama juga berlaku kepada adik beradiknya yang lain serta anggota GISB, malah tidak boleh berpoligami secara suka-suka kerana semua ditentukan Ashaari yang dibantu jawatankuasa pengawasan serta pemantauan.
Adik Fakhrurrazi, Mohd Nizamuddin Ashaari, 47, yang juga pengarah KPI turut beristeri empat. Beliau mempunyai 23 anak, tiga menantu dan seorang cucu.
Bagaimanapun, pergerakannya terbatas kerana berdepan masalah berkaitan jantung, kesan daripada kejadian kemalangan di Makkah pada 2002 yang turut menyebabkan ibunya meninggal dunia.
Isteri ketiga Mohd Nizamuddin, Nor Sakinah Rahmanuddin, 43, berkata dalam keadaan suami sakit, mereka bergilir-bergilir menjaganya.
“Selepas berpuluh tahun hidup bersama, kami tahu tanggungjawab kami. Bukan saja suami, anak turut dijaga bersama,” katanya.
Menurut Nor Sakinah, mereka juga sangat akrab dan menghormati antara satu sama lain.
“Saya selaku isteri ketiga tahu batasan masing-masing, begitu juga madu saya yang lain,” katanya.
Madu Nor Sakinah ialah Sukainah Hamzah, 46 (isteri pertama), Laila Ahmad, 43 (isteri kedua) dan Umaimah Abd Majid, 41 (isteri keempat).
Tak berfaedah
KUALA LUMPUR: “Apa rasionalnya mewujudkan kelab sedemikian (poligami)?” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mengenai Kelab Poligami Ikhwan (KPI) yang ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
Shahrizat turut mempersoalkan tujuan penubuhan kelab itu kerana berpendapat tiada faedah ia diwujudkan jika hanya untuk mencari nama dan tiada hala tuju positif.
Beliau berkata, penubuhan kelab seperti itu tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini.
“Amalan berpoligami masih kurang diterima dan mengundang pandangan tidak elok dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan wanita berumah tangga.
“Jelas, ia bukan budaya (berpoligami) yang digalakkan dalam masyarakat kita. Jadi, di mana kewajaran kelab ini ditubuhkan? Banyak perkara boleh dipersoalkan mengenainya,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Rakyat di sini, kelmarin.
Shahrizat berkata, jika GISB mahu meneruskan penubuhan kelab itu, ia patut mengikut landasan tepat yang selari dengan peraturan negara dan mengikut ajaran Islam.
“Mereka (GISB) perlu tahu batasnya dan ia patut berlandaskan undang-undang dan syariat Islam. Tidak sewajarnya ia ditubuhkan tanpa mengambil kira perkara itu, apatah lagi membabitkan soal agama.
“Tidak dinafikan, Islam membenarkan amalan poligami, tetapi bersyarat. Yang pasti, ia (penubuhan kelab) bakal mengundang pelbagai persepsi dalam masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata tidak salah menubuhkan kelab seperti KPI, namun penganjurnya perlu memastikan pelaksanaan poligami wajib menurut lunas Islam.
Katanya, usaha KPI mempelawa pelacur dan ibu tunggal dan anak dara lewat usia melaksanakan poligami juga bukan perkara pokok kerana yang penting ialah pelaksanaan amalan poligami itu perlu betul.
“Poligami tidak salah dalam Islam, tetapi paling penting ialah individu yang mengamalkannya mampu melaksanakannya atau tidak.
“Islam agama yang adil dan keadilan itu perlu ditegakkan bagi setiap individu, khasnya isteri dalam konteks poligami itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, perkara ini perlu diberi perhatian kerana jika pelaksanaannya salah, keseluruhan agama Islam akan dipandang serong.
“Selain itu, jangan pula berasa bangga diri dengannya (poligami atau penubuhan kelab poligami) kerana ini juga akhirnya akan memburukkan pandangan terhadap Islam.
“Yang penting bukan kelab atau persatuan, tetapi individu yang menyertainya sama ada mampu atau tidak menyesuaikan diri dengan sistem poligami bagi memastikan tidak timbul masalah pada masa depan,” katanya.
Harian Metro
iDAN : Tentunya ada kalangan anak-anak yang tak mesra dengan ayahnya jika telah terlalu ramai. Cucu sudah pasti tidak ingat semua namanya.
Aku juga hidup dalam kelompok poligami. Ayah kawin tiga, abang-abang memang pernah bercerai & lebih dari seorang isteri. Entah kenapa aku kurang berminat dengan poligami lantaran rasa sayang akan anak-anak. Empat anak-anak ini rasanya belum tentu cukup biayanya anpa pertolongan isteri. Selebihnya tentulah tidak mampu disegi ekonomi pun sukar berlaku adil jika keadaan ekonomi yang menghimpit ini.
Rasanya dalam poligami isteri kena banyak sangat berkorban. Tanpa pengorbanan isteri masakan mampu seorang suami menanggung nafkah anak seramai 38 orang itu. Paling payah masa awal tahun untuk penyekolahkan mereka, kalau seorang itu perlukan RM200 bayangkan jika 20 oranglah katakan. RM4,000 itu mesti. Maknanya jika benar-benar mampu & bergaji besar sahaja yang mampu berpoligami.
Tapi kalau isteri benar-benar reda & saling membantu tanpa dakwa-dakwi memang bukan mustahil. Sebab ramai kalangan perempuan kini memang jauh lebih kukuh ekonominya berbanding kaum lelaki. Mereka terbiar & tiada siapa membantu mereka dalam segi batiniah mereka. Terutama untuk mendapatkan zuriat perlukan seorang suami.
Bagiku mengujudkan kelab atau kesatuan poligami memanglah langkah yang baik jika nawaltunya ingin mencari jalan keadilan & bantu membantu dalam ukhwah keluarga berpoligami yang tentunya amat banyak dugaannya.
Poligami itu dibenarkan Islam, jadi kita sebagai penganutnya perlulah jangan sampai mempersoalkan hukum yang membenarkan atau menghalalkannya. Kita hanya boleh berhujah jika terdapat ketidakadilan di dalam poligami tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan