Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

04 Ogos 2009

Kegilaan konkatsu di Jepun (Ceritera)



KONKATSU dilihat sebagai inisiatif terbaik buat warga Jepun mencari jodoh sekali gus meningkatkan kadar kelahiran yang semakin menurun.

BERGAYA penuh elegan, sekumpulan anak muda memenuhi sudut resepsi di salah sebuah dewan di Tokyo, Jepun. Dihias bagai istana penuh romantik, atmosfera dewan itu dihangatkan dengan suasana ala Greek.

Mungkin latar belakangnya nampak keterlaluan. Tetapi 100 orang tetamu lelaki dan wanita itu berada di sana sambil memegang gelas wain dengan satu tujuan. Apa lagi kalau bukan untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Berumur antara 20-an hingga 40-an, mereka menjadi sebahagian daripada kelompok anak muda yang mengamalkan 'konkatsu' atau 'memburu jodoh'. Mereka percaya bahawa mencari suami atau isteri memerlukan pengamatan yang betul dan perancangan teratur.

Pakar permasalahan ini mempunyai sedikit nasihat dan jalan penyelesaian buat mereka yang kesunyian.

"Cuba jangan membuat keputusan terburu-buru. Berbicaralah dan cuba mengenali diri mereka.

"Majlis ini bertujuan mencari cinta dan jatuh cinta," kata ahli antropologi Amerika Syarikat (AS), Helen Fisher yang menjadi tetamu istimewa parti Match.com di daerah Nakameguro, Jepun.

Fenomena baru

Tahun ini, konkatsu telah menjadi satu fenomena baru. Malah, trend tersebut telah terbawa-bawa ke dalam majalah, drama televisyen dan menjadi topik perbualan.

Selain itu, sebuah kuil di Tokyo juga ada menawarkan khidmat sembahyang khusus bagi mereka yang mencari jodoh. Sementara pasukan besbol Hokkaido telah menyediakan tempat khas bagi konkatsu. Salah satu organisasi di Jepun juga mengaturkan satu perhimpunan temu janji mencari jodoh di restoran.

Malah, pembuat pakaian dalam telah memperkenalkan bra konkatsu yang dilengkapi jam berdetik. Ia hanya akan berhenti apabila cincin pertunangan disarungkan di jari.

Senario Jepun yang terkenal dengan sistem kerja yang ketat, kekurangan waktu sosial serta kadar kelahiran yang semakin berkurangan, seolah-olah sudah menampakkan perubahan.

Laman temu janji Match.com memberitahu pada Mac lalu, mereka telah menerima sehingga satu juta keahlian dari Jepun. Menjadikan negara tersebut sebagai kedua terbesar selepas AS. Parti seperti di rumah agam Greek juga semakin popular.

"Saya sukakan sistem seperti ini untuk bertemu dengan teman baru. Saya mempunyai masalah untuk mendekati wanita apabila berada bersama rakan-rakan," kata seorang kerani berumur 27 tahun. Dia merupakan salah seorang daripada 100 tetamu yang dipilih daripada 300 pemohon.

Pemerhati sosial melihat pelbagai sebab yang menjadikan konkatsu semakin popular. Antaranya, kemelesetan ekonomi yang membelenggu Jepun. Keadaan itu membuatkan wanita lebih cenderung memilih perkahwinan, berbanding mencari pekerjaan demi mendapat kestabilan kewangan.

"Saya lihat ramai wanita lingkungan usia 20-an cenderung mencari lelaki yang mempunyai kewangan dan pekerjaan stabil," kata pengasas agensi pencari jodoh terkenal, Pay It Forward Love Prepschool (PFLP).

Sankatsu

Selepas itu, wanita juga akan bersedia untuk ke tahap seterusnya iaitu 'sankatsu' atau merancang kelahiran.

"Agensi saya memberi perkhidmatan seperti pemeriksaan kesuburan supaya mereka berada dalam kesihatan yang baik untuk menghadapi kelahiran kelak, selain kelas memasak.

"Saya tidak menafikan ramai yang gemarkan gaya hidup bebas dan seronok. Tetapi, bagi wanita yang menghadapi masalah kesuntukan masa, mereka tidak boleh melarikan diri daripada mengira berapa lama waktu yang ada untuk melahirkan anak," katanya.

Kerajaan Jepun memberi sokongan kepada konkatsu dengan harapan dapat membantu meningkatkan kadar kelahiran kepada 1.37 kanak-kanak bagi setiap seorang wanita. Inisiatif ini bagi mengurangkan penurunan kadar kaum lanjut umur yang dijangka menurun kepada 30 peratus menjelang 2055.

Promosi perkahwinan

Panel penasihat kabinet telah mencadangkan 10 pelan untuk menaikkan jumlah kelahiran. Misalnya promosi 'Cinta dan Perkahwinan' dengan menganjurkan majlis mencari jodoh.

Secara tradisionalnya, perkahwinan di Jepun merupakan satu hubungan sosial yang pragmatik. Wanita akan menyertai keluarga suaminya. Tugas si suami pula ialah menanggung kehidupan isteri dan anak bagi menyambung salasilah keluarga lelaki.

Perkahwinan merupakan sesuatu yang dirancang. Amalan yang dipanggil omiai' ini biasanya diatur oleh ibu bapa atau ahli keluarga terdekat.

Perkahwinan konvensional

Perubahan sosial telah mengubah cara hidup, peranan gender dan harapan sosial. Individu yang berada dalam lingkungan umur sesuai untuk mendirikan rumah tangga lazimnya akan mencari sendiri jodoh mereka. Namun menurut pakar, cara itu tidak berkesan kepada semua orang.

"Jika mereka tidak begitu popular atau tidak ada keyakinan diri, perkahwinan konvensional atau pilihan keluarga mungkin jalan penyelesaiannya," kata Bando.

Kadar perkahwinan telah menurun mendadak antara tahun 1975 hingga 2005 dari 85 peratus kepada 51 peratus untuk lelaki berumur 30 hingga 34 tahun dan dari 90 peratus kepada 63 peratus bagi wanita.

Kaunselor perkahwinan, Yoko Itamoto memberitahu, individu yang mendapatkan bantuan profesional nyata membantu mereka dalam usaha mendapatkan jodoh, seterusnya berkahwin.

"Kini, dianggarkan terdapat 4,000 agensi mencari jodoh beroperasi di Jepun dengan keahlian melebihi 620,000 orang.

"Hampir separuh daripada kerajaan tempatan juga menyediakan perkhidmatan berkaitan mencari jodoh, terutamanya di kawasan pedalaman," katanya.

Namun, kejayaan dalam mendapatkan jodoh bagi setiap agensi tersebut masih rendah iaitu hanya lapan peratus.

"Kebanyakan orang tidak pandai berkomunikasi. Ini menyukarkan mereka untuk mencari pasangan. Tidak kira berapa ramai pun penyertaan, jika mereka tidak mempunyai kemahiran komunikasi, peratus kejayaan adalah rendah.

"Konkatsu bukanlah sesuatu yang tidak baik atau melanggar norma kehidupan. Tetapi kita perlu mengkaji punca yang membawa kepada krisis perkahwinan di negara ini," katanya. - AFP

Tiada ulasan: