|
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kematian tersebut dilaporkan antara 3 Ogos hingga hari ini.
Menurutnya, ada kematian tersebut yang hanya dikesan selepas dilakukan bedah siasat.
Beliau memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa sebahagian daripada kematian tersebut membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi.
Star melaporkan Liow sebagai berkata, seorang daripada korban tersebut adalah gadis berusia 20 tahun, seorang pelajar kolej, yang meninggal selepas menerima rawatan pesakit luar.
Menurutnya, pada masa ini, terdapat 62 pesakit yang sedang menjalani rawatan, 13 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima lagi sedang menunggu keputusan ujian.
MalaysiaKini
iDAN: WHO menyatakan akan mendapat vaksin untuk mengubat pesakit Selesema B@bi ini, sekitar tiga atau empat bulan. Pakar perubatan juga menafikan ianya berjangkit lantaran kuman yang biak melalui babi. Kenyataannya kini ianya telah menjadikan bagaikan wabak maut. WHO sekadar berjanji bagaikan apakah vaksin atau penawar AIDS, hingga kini kita masih gagal. Ianya telah ujud sejak tahun 80an lagi. Sila klik sini jika mahu melihat sinarai artis barat yang mati kerana AIDS.
Selesema B@bi tidak pernah memilih mangsa. Baik orang Islam yang tak makan babi biarpun bangsa asing. Aku tidak pasti berapa kematian di Mexico tetapi ianya amat menakutkan lantaran kita memang tidak nampak kumannya beredar. Tidak tidak nampak bagaimana ianya boleh membiak & berjangkit dengan kita.
Jika kita pernah menonton saluran 555 History bagaimana wabak Selesema Burung sekitar tahun 1918 pernah meragut jutaan nyawa manusia. Seperti sakit wabak kusta & taun. Penulis skripnya mengatakan ianya adalah hukuman Tuhan yang marah akan hambanya. Ayat yang lebih menakutkan hampir setiap seratus tahun atau satu abad pasti ada gejala bencana atau wabak yang kita manusia tidak dapat menghalangnya.
Bagaimana dengan Selesema B@bi ini apakah ianya juga akan menghantui kita. AIDS sendiri bagaikan api dalam sekam yang senyap-senyap telah meragut ribuan mungkin jutaan manusia.
Apa akan jadi dengan Selesema B@bi terhadap tamadun manusia terkini yang nampaknya makin ego dengan kemajuan & teknologi tingginya. Rata-rata kita lihat sekeliling kita manusia bermegah dengan kebendaan & kemewahan dunia hingga berebutan & meminggirkan manusia jumud yang bencikan kesesakan. Sebagai contoh Singapura yang dulunya satu negara dengan kita bagaimana lantaran mengejar kuasa & kemajuan rakyatnya sanggup tinggal bagaikan di rumah burung merpati. Sedangkan bumi ini masih terlalu luasnya jika kita tidak gilakan sempadan.
Apa bedanya wawasan kemajuan di negara kita yang makin hari makin menidakkan golongan marhaen memiliki tanah atau rumah berbentuk banglow. Kita sanggup membayar harga yang mahal hidup di kondo yang mewah tanpa kaki jejak di tanah.
Bayangkanlah jika dunia yang padat ini diserang wabak, bagaimana kita mahu lari.
Maka itu aku masih terbayangkan teratai, pokok bakong & tasik yang damai di kampungku. Lebih aman rasanya berkawan dengan burung punai & belibis. Memang aku rindu amat akan kedamaian & kampung halaman.
Penyakit ancam keselamatan
Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan suatu ancaman virus H1N1 atau dikenali sebagai penyakit Selesema Babi (Swine Flu) yang dikesan boleh membawa maut dan jangkitannya adalah sangat mudah iaitu melalui udara.
Akibat daripada wabak ini banyak negara termasuk Amerika Syarikat telah mengisytiharkan ia sebagai suatu ancaman keselamatan negara dan tumpuan kepada aspek kesihatan telah dijadikan agenda utama ketika banyak negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi.
Persoalannya adakah penyakit ini boleh mengancam keselamatan negara atau ia sebagai isu sosial? Mungkin sebelum ini masyarakat dunia hanya melihat penyakit sebagai ancaman sosial yang lebih berbentuk individu dan tidak sampai mengancam keselamatan negara.
Dalam konteks keselamatan pada hari ini, ia sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada ancaman peperangan semata-mata, tetapi ancaman-ancaman yang bukan berbentuk ketenteraan atau dikenali sebagai bukan tradisional seperti penyakit, pendatang tanpa izin, pengedaran dadah, keganasan, penyeludupan dan perdagangan manusia adalah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Dalam masalah penyakit berjangkit, dunia sebelum ini telah dikejutkan dengan serangan pelbagai penyakit yang berjangkit dan membawa maut seperti AIDS, Ebola, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kolera, malaria, penyakit tangan-kaki-mulut (HFMD) dan lain-lain lagi sehingga setiap negara yang mengalaminya akan menanggung kesengsaraan sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik.
Kesan-kesan inilah akan ditanggung oleh pihak kerajaan, masyarakat atau individu sehingga ia menjadi beban dalam mengawal dan menguruskannya.
Globalisasi, alam sekitar, perubatan moden, urbanisasi dan perubahan aktiviti sosial dilihat antara punca kepada penyebaran penyakit-penyakit berjangkit. Faktor-faktor ini dilihat sukar dielakkan terutama ketika dunia sedang menuju ke arah kemodenan dan dunia tanpa sempadan.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menganggarkan sebanyak 26 peratus daripada kes kematian di Asia Tenggara adalah berpunca daripada jangkitan penyakit berjangkit. Kebanyakan kes jangkitan penyakit ini adalah disebabkan penyakit seperti Malaria, Tuberculosis (TB), SARS dan AIDS yang banyak menyumbang kepada kematian terutama di negara-negara membangun dan miskin.
Menurut pertubuhan tersebut sejumlah 3.3 bilion masyarakat dunia iaitu separuh daripada jumlah populasi dunia berisiko untuk terkena jangkitan malaria. Setiap tahun sebanyak 250 juta kes malaria dilaporkan dan hampir satu juta berakhir dengan kematian.
Dalam isu AIDS pula, dianggarkan lebih 42 juta masyarakat dunia menghidapi HIV\AIDS dan kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 3.2 juta orang. Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah perubahan sosial dan tingkah laku masyarakat dunia yang terikut-ikut arus kemodenan dan ditambah dengan kurang keprihatinan kepada penyakit ini.
Akibat daripada penyakit ini, ia bukan hanya mengancam nyawa manusia tetapi boleh mengganggu institusi keluarga dan keharmonian masyarakat. Seseorang yang mengidap AIDS akan sentiasa didiskriminasi sama ada dalam konteks hubungan masyarakat atau persekitaran kerja.
Di samping itu, institusi kekeluargaan juga boleh terancam jika penyakit ini berjangkit kepada ahli keluarga dan akan mengalami trauma yang sangat buruk.
Dari sudut ekonomi, penyakit juga boleh dilihat sebagai suatu ancaman keselamatan bukan tradisional. Ini kerana kesan daripada sesuatu wabak penyakit telah menyebabkan peningkatan bukan sahaja kepada kos rawatan, tetapi ia juga melibatkan kos pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran kepada masyarakat.
Di Malaysia, kerajaan pernah mencadangkan kondom dan jarum suntikan diberikan secara percuma kepada penagih tegar supaya penularan wabak HIV/AIDS dapat dikawal daripada terus menjadi parah.
Walaupun, ia dipandang sinis oleh sesetengah masyarakat, namun pada hakikatnya ia dianggap langkah yang berkesan kerana penyalahgunaan dadah merupakan penyakit sosial yang tradisional dan sukar untuk dibanteras dengan cepat dan menyeluruh.
Oleh itu, suatu langkah yang lebih realistik dan praktikal perlu dilakukan supaya wabak ini tidak menjadi barah kepada masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga telah membelanjakan RM1.6 juta untuk memberikan dadah metadone kepada penagih dadah untuk menggantikan heroin di kalangan penagih tegar terbabit.
Pada tahun 1997, wabak selesema burung yang membawa virus H5N1 telah menyerang beberapa negara seperti Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang dikesan berpunca daripada bahagian selatan negara China telah menyebabkan banyak aktiviti dan sumber ekonomi terjejas.
Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa krisis SARS telah menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara kerugian sebanyak $50 bilion sehingga tahun 2003 dan negara Hong Kong telah kerugian sehingga $11 bilion ketika wabak tersebut melanda negara tersebut. Sementara itu di Singapura, saham Singapore Airlines dikatakan jatuh sebanyak 4.4 peratus apabila ramai di kalangan penumpang telah membatalkan penerbangan mereka pada saat-saat akhir kerana kebimbangan terhadap wabak SARS yang telah menular dengan teruk di negara terbabit.
Baru-baru ini Pengarah Pelaburan di Steven Investment Management iaitu Justin Urquhat Stewart menggangap kejatuhan saham-saham di dunia ketika ini adalah akibat pasaran diselubungi dengan ancaman selesema babi dan ia juga telah berjaya mengingatkan kembali pemegang saham kepada isu SARS.
Ancaman penyakit juga boleh menjejaskan kestabilan politik di sesebuah negara dan akibatnya ia akan mewujudkan konflik dalaman atau luaran. Selalunya apabila sesuatu ancaman penyakit berlaku pihak kerajaan dilihat akan menjadi sasaran utama masyarakat jika penularan penyakit itu tidak berjaya dikawal.
Di samping itu, ancaman daripada negara luar yang memberi tekanan juga akan menyebabkan hubungan diplomatik akan terjejas dan seterusnya ia memberi kesan kepada negara penyumber penyakit terbabit dari segi politik dan ekonomi antarabangsa.
Semasa krisis SARS di China, kerajaan negara tersebut telah gagal mengesan lebih awal mengenai virus tersebut dan tindakan segera tidak diambil untuk mengawal virus SARS daripada merebak.
Oleh itu, banyak pihak dari negara-negara luar telah menggangap bahawa punca utama penularan virus tersebut adalah kegagalan Beijing untuk mengambil tindakan awalan dan mengenal pasti punca penyakit daripada terus merebak.
Akhbar China Business Times mendakwa, pihak berkuasa tempatan negara tersebut telah memalsukan laporan kesihatan dan memberikan maklumat yang tidak lengkap mengenai wabak tersebut supaya mereka tidak dipersalahkan oleh masyarakat awam.
Akibatnya ramai pemimpin-pemimpin dunia telah mengkritik kerajaan China dan mereka mendesak supaya kerajaan pada masa itu dibubarkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang lebih efisien dan telus.
Kesimpulannya, ancaman penyakit berjangkit ini adalah sangat berbahaya bukan sahaja dari sudut kesihatan atau aspek sosial. Tetapi ia juga akan memberi ancaman kepada keselamatan negara dan menjejaskan keharmonian masyarakat dunia seluruh.
Ancaman ini bukan hanya memberi kesan kepada individu atau kumpulan tertentu, bahkan ia juga akan 'menyerang' kepentingan-kepentingan negara sama ada dari sudut kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan ekonomi.
PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan