TAJUL ARIFIN HAJI PATA @ HAJI FATHAL
Penggunaan tumbuhan hijau sebagai ubat dalam masyarakat Melayu telah memakan zaman. Namun kita akui bahawa amalan dan tradisi asalnya telah banyak diperkaya oleh interaksi pelbagai budaya yang telah dialami oleh masyarakat kita. Sementara dari segi kaedah penggunaannya mungkin berbeza. Ubatan hijau merupakan ubat semulajadi yang berkesan dan telah digunakan beribu-ribu tahun untuk mengubati sebahagian besar penyakit.
Rawatan dengan penggunaan ubatan hijau adalah berbeza dengan penggunaan dadah ortodoks yang berkuasa. Sebab orang ramai mengambil perubatan tumbuh-tumbuhan yang lebih lembut dari mengguna dadah ortodoks sentiasa membawa risiko yang besar dan kesan sampingan. Dengan itu , minat orang ramai di dunia memilih ubatan hijau sebagai cara pemeliharaan kesihatan turut bertambah.
KUNYIT
Kunyit adalah antara tumbuhan yang memang diketahui khasiatnya. Nama saintifiknya adalah Curcuma longa ( C. domestika) dan berasal dari famili Zingiberaceae. Ia mudah dikenali kerana kunyit adalah herba berdaun lebar dan runcing di hujung serta berbatang pendek. Tinggi keseluruhannya boleh mencapai 1 meter. Daunnya berbau wangi apabila disiat atau diramas. Kunyit mempunyai rizom yang isinya berwarna oren. Herba ini boleh dibiak melalui rizom. Kunyit ditanam secara meluas sama ada di ladang atau secara kecil-kecilan di rumah . Isinya boleh dibeli di kedai runcit, pasar atau pasar raya dalam bentuk segar atau telah ditepungkan.
Ia boleh mengurangkan masalah sakit perut, boleh merangsang pengeluaran jus hempedu, antibakteria dan menahan bengkak. Selain itu, ibu kunyit dicampur dengan kapur dan disapukan pada leher untuk mengurangkan batuk.
LIDAH BUAYA
Nama saintifiknya adalah dan berasal dari famili Liliaceae . Herba ini mempunyai batang seperti pokok ubi keladi, dengan ketinggian nya mencapai 15 sm dan berdiameter di antara 1- 2 sm. Daunnya berwarna hijau, bertompok-tompok kelabu, berduri lembut di tepi daun dan mempunyai isi yang tebal dan berlendir. Ditanam di kawasan kampung dan taman sebagai hiasan dan kerana khasiat perubatannya. Dikenali juga sebagai tumbuhan yang sesuai untuk ditanam di dalam pasu. Kegunaannya untuk mengubati sakit mulut, sakit tekak, bahan dalam kosmetik dan melicinkan kulit muka. Lendir kuning daripada pangkal daun apabila dikeringkan digunakan sebagai pelawas untuk memudahkan membuang air besar. Jeli aloe vera dugunakan juga untuk mengelak atau merawat ulser.
LIDAH JIN
Nama saintifiknya adalah Sansevieria trifasciata dan berasal dari famili Liliaceae. Spesis ini mempunyai daun yang panjang, tebal dan runcing. Terdapat dua varieti Sanseivera yang lazim ditemui. Satu varieti berdaun kelabu berbelang hijau tua dan satu varieti lagi berdaun kelabu kekuningan dan berbelang hijau tua. Varieti kedua ini juga mempunyai jalur kuning di sekeliling tepi daunnya. Bunganya berwarna putih , berjambak dengan tangkai yang panjang dan tegak. Sansevieria merupakan tumbuhan hiasan yang mudah ditanam dan mudah hidup. Ia boleh tumbuh dengan baik di atas tanah atau di dalam pasu. Benihnya boleh didapati melalui belahan pokok , pemisahan anak , daun atau keratan daun. Kegunaannya sebagai ubat sakit telinga dan ubat gatal. Di samping itu, jusnya juga dipakai untuk di kepala untuk merangsang pertumbuhan rambut. Jusnya yang suam juga digunakan bagi mengubati sakit gigi.
NANAS
Nama saintifiknya adalah Ananas comosus, Merr. dan berasal dari famili Bromeliaceae. Tumbuhan ini berdaun tebal dan runcing seperti tombak dengan duri disekeliling helaian daun. Daunnya bersusun dalam bbentuk kembang ke atas. Batangnya pendek dan berbuah di hujung batang. Buahnya besar, lazimnya sebiji bagi satu pohon dengan kulit yang bercantum terus dengan isi. Isinya mempunyai rasa masam atau manis dan boleh dimakan. Rasanya enak tetapi jika dimakan mentah dan segar mungkin memberi sedikit rasa gatal atau sebal pada lidah. Nanas merupakan tumbuhan pertanian yang penting dan mudah didapati. Ia ditanam di ladang khusus atau sebagai tanaman sampingan di rumah atau kampung. Kegunaannya, jus nanas muda boleh digunakan sebagai pelawas kencing, ubat sakit puan dan pembunuh kutu. Jus daunnya untuk memberhentikan sendu dan merangsang pembuangan air besar. Buah nanas liar dikatakan lebih mengandungi asid dan lebih mujarab untuk melawaskan kencing dan membunuh kutu.
LALANG
Nama saintifiknya adalah Imperata cylindrica dan berasal dari famili Graminae. Lalang merupakan tumbuhan jenis rumput dengan ketinggian antara 1- 1.5 sm. Daunnya panjang , berwarna hijau dengan urat selari. Permukaan daunnya kesat, runcing di hujung dan tajam di tepinya. Bunganya berwarna putih, ringan dan berjambak. Akarnya pula mempunyai rizom yang tajam. Ia tumbuh meliar di kawasan terbuka yang terdedah pada cahaya matahari yang tinggi. Mudah merebak melalui rizom atau biji benihnya yang diterbangkan oleh angin. Kegunaannya untuk mengubati penyakit asma, batu karang, dijadikan tonik dan melawas kencing. Selain itu, rizomnya yang dikeringkan , direndamkan dalam air panas dan dijadikan minuman , seperti air the untuk demam. Abu bakaran lalang boleh digunakan sebagai ubat sengal-sengal tulang (reumatik).
LELIPAN
Nama saintifiknya Pedilanthus tithymaloides (L) Poit. var variegata dan berasal daripada famili Euphorbiaceae. Pokok jenis renek dengan ketinggian di antara 1-1.5 meter. Batangnya berbentuk zig-zag, lurus, agak lembut, licin dan berwarna hijau tua. Daunnya kecil dan tebal dalam susunan berselang, berbentuk bujur dan runcing di hujung serta mempunyai warna berbelang antara hijau muda, merah jambu dan putih. Bunganya pula berwarna merah dan keluar di pucuk. Ia ditanam sebagai tanaman hiasan di dalam pasu atau di tempat terbuka. Tumbuhan ini juga sering ditanam sebagai pokok pagar. Kegunaannya , akar pokok ini digunakan sebagai “emetik”. Manakala getah daripada batangnya yang hijau digunakan sebagai ubat “kutu belut” (kutil) atau ubat bisa sengatan lipan dan kala jengking.
LENGKUAS
Nama saintifiknya Alpinia galanga Sw. (Lengkuas galanga , Stuntz) dan berasal daripada famili Zingiberaceae. Herba keluarga halia ini tumbuh berumpun dan bersaiz agak besar. Daun dan pelepahnya berwarna hijau. Bunga dan buahnya bergugus di hujung batang. Bunga berwarna putih dan buahnya pula menjadi hijau apabila tua. Herba ini membiak melalui rizom yang agak besar.. Isi rizomnya berwarna kuning keputihan. Walaupun herba ini tumbuh meliar, tetapi mudah didapati kerana ia merupakan jenis halia yang sering ditanam oleh penduduk kampung. Rizomnya mudah didapati di pasar, terutama yang menjual sayur-sayuran kampung. Kegunaannya, tumbuhan ini masih meluas digunakan sebagai campuran masakan serta rempah ratus dan ubatan. Rizomnya digunakan bagi merawat penyakit berkaitan dengan penghadaman, cirit-birit dan sejuk di dalam badan. Digunakan juga bagi merawat demam yang berulang-ulang. Lengkuas digunakan dalam bentuk kapsul untuk menghilangkan mabuk laut atau mabuk perjalanan.
MELUR
Nama saintifiknya adalah Jasminum sambac, Ait. dan berasal daripada famili Oleceae. Jenis pokok renek yang mempunyai ketinggian di antara 1-2 meter. Batangnya agak lurus dan berwarna perang. Daunnya berwarna hijau , berbentuk bujur dengan ukuran sehingga 5 sm panjang dan 3 sm lebar. Bunganya berwarna putih, berbau wangi dan mungkin berlapis. Ditanam di kawasan kampung sebagai tanaman hiasan. Digemari oleh kaum India untuk mendapatkan bunga bagi upacara keagamaan.
Kegunaannya, batangnya dikeringkan dan dijadikan rokok untuk pesakit resdung . Bunganya disapu pada payu dara untuk menggalakkan pengeluaran susu bagi ibu yang menyusukan anak. Bunga yang diluluhkan bersama bunga Gardenia dan akar Acacia myriophylla digunakan untuk sakit kepala.Manakala jus bunga dicampur dengan rizom cekur untuk dibuat pencuci mata.
TONGKAT ALI
Nama saintifiknya Euricoma longifolia. Ia berjaya menarik perhatian ramai selepas pihak media melaporkan hasil penyelidikan tentang keberkesanannya sebagai penggalak syahwat yang meningkatkan fungsi seksual. Kajian menunjukkan ia mengandungi beberapa fitokimia yang meningkatkan paras testosteron iaitu hormon jantina yang diperlukan untuk fungsi seksual lelaki. Ia juga diperlukan di dalam perkembangan anggota seksual dan otak. Tongkat Ali bukan sahaja berfungsi sebagai tonik seks, tetapi dalam perubatan tradisional Tongkat Ali digunakan lebih meluas sebagai ubat sakit jantung, strok, kanser prostat dan lenguh otot dan sendi. Selain itu, ia juga digunakan sebagai ubat osteoporosis dan retak pangkal peha dan ubat untuk lemah ingatan dan kepupusan fungsi otak dalam Senile Dementia seperti penyakit Alzheimer di kalangan orang lanjut usia.
MEMPELAS
Nama saintifiknya adalah Tetracera indica dan berasal daripada famili Dilleniaceae. Mempelas adalah rumpai jenis menjalar dan memanjat. Batangnya berkayu dan mempunyai diameter sehingga 10 sm. Daunnya mempunyai bulu kasar dan lekuk yang amat jelas pada permukaan daun mengikut urat daun. Pucuk muda berwarna merah kehitaman dan daunnya bertukar menjadi hitam apabila tua. Bunganya berwarna putih dengan benang sari berwarna merah. Tumbuh meliar di kawasan semak dan terbuka. Sering di dapati di sekitar perkampungan, kebun kecil dan dusun.
Kegunaannya, akarnya direbus dan airnya diminum untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan suhu badan ketika diserang demam panas. Manakala daunnya pula dijadikan ubat pupuk bagi penyakit gatal kulit.
POKOK LETUP-LETUP
Nama saintifiknya Passiflora foetida. Lazim kelihatan di kawasan perkampungan khususnya di ladang getah atau kelapa sawit. Sejenis tumbuhan digunakan sebagai tumbuhan penutup bumi. Pemilihan tersebut mungkin berdasarkan tumbuhan ini senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana ia sejenis tumbuhan liar. Kegunaannya untuk merawat gatal-gatal kulit Selain itu untuk merawat luka dengan menggunakan beberapa daun yang dilumatkan yang dipupuk pada bahagian luka. Mana kala untuk merawat batuk pula dengan merebuskan beberapa batang pokok letup-letup. Air rebuskan seluruh pokok tersebut hendaklah diminum airnya setelah ia suam.
PANDAN WANGI
Nama saintifiknya Pandanus odorxus, Ridl. dan berasal dari famili Pandanaceae. Pandan Wangi merupakan pokok jenis renek. Tumbuh dalam rumpun dengan ketinggian di antara 0.6 – 1.5 meter. Daunnya panjang dengan urat daun selari dan berbau wangi. Panjang daunnya sehingga 70 sm dan 5 sm lebar. Tumbuh di kawasan berpaya dan sekitar sungai. Menjadi tanaman sampingan dan hiasan di rumah atau kebun-kebun sayur di kampung. Kegunaannya , abunya boleh merawat penyakit campak. Daunnya yang segar digunakan untuk rambut dan menjadi bahan utama dalam penyediaan bunga rampai, terutama semasa majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
PEGAGA EMBUN
Nama saintifiknya Hydrocotyle rotundifolia dan berasal dari famili Umbelliferae. Tumbuhan ini daripada jenis herba yang menjalar. Keseluruhan tumbuhan ini kelihatan seperti pegaga biasa. Ia mempunyai batang berwarna hijau , kelihatan agak lembut dan licin. Daunnya mempunyai tujuh cuping . Buahnya bergugus seperti buah kelulut tetapi berbulu lembut dan berwarna perang tua apabila masak. Tumbuhan liar di tepi sungai, tanah berpasir dan di kawasan lapang yang redup dan lembab. Kadang kala ia juga ditanam secara kecil-kecilan oleh penduduk kampung. Kegunaannya, pucuknya dijadikan ulam dipercayai boleh menurunkan tekanan darah tinggi. Akarnya ditumbuk dan airnya diminum untuk merawat darah tinggi dan pedih hati. Ia juga ditumbuk dan dijadikan satu daripada ramuan untuk membuat ubat batuk. Daunnya ditumbuk dan dibuat demah atau dipupuk untuk merawat sakit kulit di bawah kemaluan kanak-kanak.
SENDUDUK
Nama saintifiknya Melastoma malabathricum dan berasal dari famili Melastomaceae. Pokok renek, batang berwarna kemerahan dengan diameter di antara 5 – 10 sm dan ketinggiannya di antara 3 – 5 meter. Daunnya berbulu panjang dengan tangkai daun juga berwarna kemerahan . Bunganya berwarna unggu, manakala buahnya berwarna biru keunguan. Tumbuh di kawasan belukar dan kampung. Kegunaannya, akar pokok ini direbus bersama pokok ubatan lain sebagai ubat periuk bagi kegunaan wanita lepas bersalin. Ia juga digunakan untuk membasuh bagi pesakit gigi dan untuk tujuan melembutkan kaki serta membuang angin. Buahnya pula disapu pada luka kecil. Daun dan akarnya digiling dan ditabur pada kudis dan bintik-bintik cacar untuk menghilangkan parut. Daunnya juga digunakan untuk merawat cirit-birit dengan memakan pucuknya selain digunakan untuk merawat buasir. Manakala bagi merawat penyakit keputihan (Leukorea) , daun direbus bersama sedikit gula , Halia (Zingiber officinalis) dan Bonglai (Zingiber cassumunar).
TEMBAGA SUASA
Nama saintifiknya Crinum asiaticum, Linn. dan berasal dari famili Amaryllidaceae. Sejenis herba yang mempunyai daun yang besar dan panjang sehingga hampir 2 meter seperti pandan. Batangnya agak besar dan berisi (tuber). Herba ini tumbuh di tepi pantai dan pedalaman Malaysia. Ia ditanam sebagai pokok hiasan dan ubatan , terutama oleh penduduk kampung. Kegunaannya, untuk membuang keracunan di dalam badan. Akarnya dikunyah untuk memaksa muntah dan juga dihancurkan sebagai ubat pupuk pada luka. Daunnya digunakan sebagai ubat pupuk secara sendiri atau dicampur dengan daun Gandarusa dan lada hitam atau belimbing dan cempaka hutan, untuk mengubati bengkak, sakit kepala dan demam. Selain daripada itu, daun yang dibubuh minyak kelapa dan dipanaskan , kemudian dibalutkan pada tempat bengkak, terseliuh atau salah urat, boleh mengurangkan kesakitan.
KESIMPULAN
Negara kita Malaysia, terkenal dengan limpahan alam flora yang tumbuh segar di hutan tropika. Tidak dapat dinafikan bahawa tumbuhan hijau mempunyai hubungan yang rapat dengan bidang perubatan dalam masyarakat Melayu. Ubatan Hijau jelas sekali sebagai satu sumber semulajadi untuk mendapatkan kelegaan dan kesembuhan dari penyakit. Masyarakat Melayu Islam misalnya, mempunyai kaedah yang begitu halus dalam menggunakan tumbuhan hijau sebagai ubat untuk merawat sesuatu penyakit. Khazanah perubatan lama yang diwarisi sejak zaman berzaman ini dirasakan begitu penting sekali selari dengan pentingnya perubatan moden di hari ini.
BIBLIOGRAFI
Abd. Rahman Md. Derus. 1998. Pengenalan Dan Penggunaan HERBA UBATAN. Penerbit Multi Triple Vision Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
Ahmad Zamzam Mohamed. 5 Disember 1999. Keistimewaan Air Rebusan Pokok Letup-Letup. Mingguan Malaysia. Hal : 27
Azahari Ibrahim. 1997. Ubat-ubatan Tradisional Arab dan Melayu. Penawar 200 Jenis Penyakit. Darul Nu’man. Kuala Lumpur.
Johari Mohd. Saad, 30 Mei 1999, New Sunday Times.
Muhammad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd. 1992. Tumbuhan dan Perubatan Tradisional. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan