Suasana pagi raya penuh emosi apabila adik-beradik dan sanak saudara mula memohon maaf sesama mereka.
|
|
KEGEMBIRAAN kanak-kanak bermain bunga api seakan-akan penyeri tatkala Aidilfitri tiba. Namun, keselamatan harus dijaga supaya keseronokan tidak bertukar tragedi.
Bagi penghias ruangan Remaja minggu ini, Mas Umira Mohd Yazid, 18, hari raya umpama tiada ertinya tanpa bunga api dan mercun kerana ia sudah sinonim sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, orang ramai harus tahu batasan dan tidak membahayakan diri sendiri, masyarakat serta menyalahi undang-undang.
Si manis yang baru tamat persekolahan itu memberitahu, larangan kerajaan membeli, menjual dan bermain mercun harus dipatuhi kerana ia untuk kepentingan bersama.
Untuk mengenali anak bongsu daripada empat adik-beradik itu, GenK mengajukan beberapa soalan bersempena Aidilfitri yang baru diraikannya di kampung halamannya di Kota, Negeri Sembilan.
Apakah erti Ramadan dan Aidilfitri kepada anda?
Ramadan menandakan bermulanya ibadah Rukun Islam Ketiga yang wajib ke atas setiap umat Islam yang cukup syarat serta ibadah-ibadah sunat lain seperti solat tarawih dan sebagainya. Pahala berlipat kali ganda jika kita rajin mengerjakan ibadah-ibadah sunat sepanjang bulan mulia itu. Aidilfitri pula menandakan hari kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga. Pada waktu itulah, umat Islam akan berkumpul bersama ahli keluarga bagi meraikan hari lebaran dengan penuh gembira dan berkat.
Apakah momen-momen hari raya yang paling anda nantikan setiap tahun?
Setiap tahun, berbuka puasa pada malam terakhir Ramadan cukup meriah dan amat dinanti-nantikan. Seluruh ahli keluarga berkumpul untuk sama-sama meraikan Aidilfitri keesokan harinya. Selain itu, suasana pagi raya penuh emosi apabila adik beradik dan sanak saudara mula memohon maaf sesama mereka. Lagi satu, tidak sabar untuk dapat duit raya!
Bagi anda, perlukah segala persalinan baru seperti pakaian, kasut dan juga perhiasan rumah?
Persalinan baru boleh menaikkan semangat raya dalam diri seseorang. Agama juga menyuruh supaya kita seboleh-bolehnya berpakaian baru pada Aidilfitri. Tetapi kita perlu beringat ketika membeli. Jangan membazir pula. Sudah menjadi tradisi apabila raya menjelma, segalanya ditukar baru seperti pakaian, kasut, langsir dan sebagainya. Lakukanlah mengikut kemampuan.
Perlukah mercun atau bunga api bagi meraikan Aidilfitri?
Mercun dan bunga api sangat sinonim dengan apa-apa sambutan di Malaysia. Sudah menjadi tradisi malam raya, kanak-kanak akan bermain bunga api dan mercun. Bagaimanapun, bermain mercun adalah berbahaya dan ibu bapa perlu mengawasi anak-anak.
Walaupun mercun telah diharamkan oleh kerajaan, kita masih mendengar berita tentang kanak-kanak yang cedera akibat bermain mercun. Apa komen anda?
Masalah sekarang adalah mereka suka mengubah suai bunga api atau mercun. Bunga api yang asalnya kurang bahaya diubah sehingga mampu mengakibatkan kecederaan serius. Kita harus tahu bahawa bermain mercun adalah berbahaya dan boleh mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi orang lain yang duduk berdekatan.
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan