iDAN

29 September 2009

Tersekat di Sesewang - Siri Raya ooo Raya 5 (Singgahsana)

"Ayah makin pening tak makan ubat... malam nanti ayah kena balik Jenaris, siapa nak ikut? seorang sahaja!" "Azim! nak ikut!" Azim memang suka ikut ayahnya. "Angah tak boleh ikut Ke?" Tetiba Aziq bersuara. "Tak apalah dua orang sahaja Aziq boleh ikut!, Anif temankan ibu!!" Nampak monyok sahaja Anif. "Tak apalah, kalau semua nak ikut... moh!, ayah lagi suka cumanya kena minta izin ibu dulu!" Nampaknya anak terunaku sudah mula sangkut ke sesawang. Rindu kepada dunia maya. Baru tiga hari di Meru sudah mula terasa bosan. Itu pun Aziq senyap-senyap membawa PSPnya. Sebelum ini aku memang tidak membenarkan ianya bawa ke kampung. takut tak puas main sudah rosak. Bayangkan anak saudara Mila ada lebih dari 20 orang. Tak ada akan tahannya kalau banyak sangat tangan. PSP itu anak-anakku sama-sama kumpul duit untuk membelinya. Sekitar RM780 harganya. Jenama Sony. Rasanya telah lebih setahun, pernah sekali sahaja rosak terhempas. Nasiblah masih boleh dibaiki. Barangan elektronik bukannya lasak sangat. Harga sahaja mahal. MP5 yang aku beli buatan cina bebaru ini, sekitar 3 bulan telah rosak. Itu pun telah tukar yang baru semasa dalam gerenti. Malu nak minta yang ketiga dalam tempoh gerenti. Lagi pun bebanyakkan kedai hanya mampu kasi gerenti 3 bulan sahaja. Terbang sekitar Rm200 sekelip mata sahaja. Hakikat zaman sekarang, permainan kanak-kanak pun teramat mahal. Manalah manusia semakin gila mencari duit. Ada sahaja barangan yang berkenan yang mahu dibeli. Rumah besar Nyaie memang berkongsep lapang bagai Padang Golf. Baik majalah, mainan, perabut, apa jua barangan nampak lusuh atau rosak akan dibuang. Cuma ada meja makan kayu jati, sofa lama & TV kecil. Memang tiada apa bahan bacaan untuk mengisi masa lapang. TV yang kecil itu pun katanya kepunyaan adik iparku. Malas nak ganggu sebab Mak Nyaie sentiasa dengan selera tontonannya. Seingat aku dedulu banyak TV besar di rumah Nyaie. Kenapa tidak dibaiki. Maka kami akan bersandar pada dinding, baring di bilik menatap siling, anak-anak main SMS atau aku lebih suka keluar rumah; mengabiskan minyak. Kelengkapan Perabut Pengantin ketika aku bernikah dulu tak nampak satu pun lagi. Habis hancur. Bahan bacaan memang tiada satu apa pun. Baik majalah baik novel, selalunya habis baca buang. Aku pernah meletakkan set komputer Pentium III, tahu-tahu telah dibuang, baru bercadang mahu tukar ke Pentium iV. Sementelah semuanya dibuang, patah semangatku nak kasi segala; setahu aku monitor, papan kekunci, peti suara, tetikusnya masih okey!. Tak mampu aku nak beli segala. Sekarang semua pakai LCD monitor. Siapalah nak pandang monitor buruk seperti yang aku beri. Mungkin sebab itu kena buang. Menyemak. Selepas makan tengah hari berulam Pucuk Mengkudu, jantung pisang & ikan bakar. Aku terlelap di kamar hadapan. Pening satu hal. Telah masuk hari ke tiga tak makan ubat satu hal. Terlebih makan pun satu sebab musababnya. Lepas terjaga aku rasa ringan sikit badan. Jam menunjukkan Jam 5:00 petang lebih. "Ayah nak ikut tak bertandang ke rumah Pak Toyo, Kak Eton & Wak Nah!.." "Nak!..." Mana mungkin kalau beraya tak bertandang rumah Kak Eton. Aku suka persekitaran rumah Kak Eton. Tenang & damai. Sebut rumah Kak Eton pasti teringat akan alir dingin anak sungai yang jernih. Banyak anak ikan timah, seluang, bercat & tentunya ada haruan. Angah@Emie baru sahaja beli tanah sebelah rumah Kak Eton, ternak lembu. Aku perasan pagi tadi semasa mencari Pucuk Mengkudu, aku memang lalu di rumah Kak Eton. Ada dua ekor anak lembu baru lahir. Khabarnya lembu Angah telah ada 20 ekor, tak pasti adakah bilangan itu milik dia seorang atau berkongsi dengan rakannya. Katanya Nyaie Amie baru hilang dua ekor lembunya. Pencuri di mana-mana pun aktif amat. Dengar khabar bukan lagi suami Kak Eton; Abg Zul (Bukan nama sebenar) yang menjaga lembu tersebut. Telah ada orang lain Pendatang Haram PATI yang menjaganya. Semasa awal Emie bela lembu memang diserahkan penjagaanya kepada keluarga Kak Eton. "Banglow ini Azim namakan Banglow Lukisan, Azim cakap mesti tuan rumah ini punyai dua bini..!" Aku membuka ceritera ketika lalu depan banglow rona oren. "Iyerlah tu!, Azim cakap ke ayah yang cakap..!" Mila macam tak percaya Azim yang cakap. Azim tak ikut kami, cuma aku, Mila, Alang & anak sulung Acik si Amar ikut bertandang. Cuaca agak suram, Avanza Mila kupandu amat perlahan sebab jalannya sebiji macam masuk kembara Camel Trophy. Hutan di mana-mana & banyak rumah yang tinggal tidak beratap. "Ibu perasan tapak rumah ini?... inilah rumah asal Pak Toyo. Tenguk pokok duriannya telah besar & telah berbuah..." Sedari dulu Pak Toyo yang meneroka hutan di kebun ini sendirian. Banyak pokok buahan yang dia tanam. Asalnya dia pajak tanah dusun ini tetapi tuan tanahnya mahu semula kerana ingin dijual kepada orang lain. Rumah asal Pak Toyo nampah mewah dengan cermin gelap tingkap-tingkapnya. Rumah ini agak istimewa kerana tidak bertiang, ianya telah dibaiki & nampak lebih kemas. Seperti ada penghuninya. Tutup; mungkin balik kampung, halaman rumahnya nampak bersih, redup di kelilingi oleh pokok buahan. Selain durian banyak pokok rambutan, cempedak, nangka, jering, pisang & perbagai lagi. Ladang ubi kayu & keledek telah tiada. Dulu memang ladang ubi kayu Pak Toyo agak luas; dia ada kilang kerepek sendiri. Sekitar satu km dari rumah asal, aku nampak Pak Toyo sedang membersihkan kandang lembunya. Nampak dia memasukkan tahi lembu ke dalam guni. Aku parkir sebelah kanan; ia itu hadapan rumah Pak Toyo terdapat tanah lapang sekitar seekar lebih. Di tumbuhi rumput tidak bersabit. Kain Mila habis disangkuti kemuncup. Membebellah Mila cakap Jawa. "Ada orang beli ke tahi lembu itu Pak Toyo?" "Iyah! bila sudah banyak ada orang yang datang ambil" Loghat Jawa Pak Toyo memang pekat. Payah nak tangkap percakapannya. Dengan Mila memang mereka cakap Jerman. "Berapa iyer seguni?" "Tak tentu, kebiasaannya RM2!! seguni" "Waduh! untung besar orang tu Pak Toyo, setahu saya baja tahi kambing pun sekilo sekitar RM6 ke RM8 !." Dia menghisap kretek Dji Sam Soe. Aku ingin mencapainya tapi tak larat dengar bebelan Mila. Sedap banget Dji Sam Soe ini. Aku jarang hisap Dji Sam Soe sebab susah nak dapat. Lagi pun agak mahal. Selalu aku hisap kretek jenis lain. Terkadang Nusantara Hijau. Dedulu. Sekarang memang nak nahas, sudah lima kali ke doktor pakar nak hisap juga rokok. Telah lama aku tidak merokok; kot-kot sesekali pergi memancing atau kekawan hulur adalah terhisap. "Rumah lama Pak Toyo itu ada penghuninya?" "Ada, tuan tanah baru yang tinggal di sana..!" "Kenapa tak dipindahkan?" "Tak dikasi, katanya tuan tanah baru mahu rumah itu, hanya dibayar Rm500 sahaja!" "Lol! begitu punya cantik rumah hanya dibayar RM500 .." Aku menggeleng kepala. Bila aku tiba rumah Kak Eton, teramatlah terkejutnya. Kiri kanan rumahnya telah berpagar. Sebelah kiri sekadar pagar dawai berduri kandang lembu Emie. Kanannya pula dipagar dawai jaring hijau. Siap dikonkrit bawahnya. Rapat dengan dapur Kak Eton. Emmm! mengikut kata Abg Zul tuan tanah ini amat sombong orangnya. Dia pun tak sanggup mahu menyapanya. Tanah Kak Eton ini dipisahkan dengan rumah Wak Nah. Hanya semuat badan sahaja mahu ke rumah Wak Nah menyusur teping tali air. Ada orang kaya jenis begini. Cara hidup di kota dibawa kampung. Pokok durian yang besar depan rumah telah ditebang. Abg Zul berkira-kira mahu memindahkan rumahnya ke tengah tanahnya. Rumah kayu Kak Eton kalau beramai boleh dipindahkan. Pertama kali aku magrib di rumah Kak Eton. Amat damai sembahyang di suasana kampung. Bunyi kera tiga ekor di halaman amat bising. Selepas sembahyang aku duduk termenung di anak tangga. Aku lihat Abg Zul memindahkan ketiga-tiga ekor keranya ke satu pondok. "Kera ini kalau tak tidur sekali memang bising!" Abg Zul mengikat kera-keranya di satu pondok. Semasa ke rumah Wak Nah; ibu Kak Eton, kami berkali-kali memberi salam. Rumah Wak Nah hanya sebilik, rumah kayu bertiang rendah, kecil amat. Kak Eton kemudian datang cuba membuka pintu hadapan terkunci, kemudian ke pintu dapur. Melalui celahan dinding, nampak ibunya sedang memanaskan makanan di dapur. Tak pasti telah berapa tahun Wak Nah tinggal sendirian. Pendengarannya semakin berkurangan. Usianya telah lebih dari 70 tahun. Tanah Wak Nah ada beberapa pokok durian tengah luruh buahnya. Ada empat biji di dapur. Selang beberapa minit kami bertandang, ada anak angkat Wak Nah datang bertandang. Tolong belahkan durian untuk kami. Duriannya berisi tebal, bijinya pipis sahaja. Sedaplah pula. Adoi! tambah peninglah aku. Banyak ulas juga aku makan. Durian memang pantang bagi pesakit Diabetes, aku pula selalunya tak berapa suka durian, tapi durian Wak Nah sedaplah amat!. Hatiku telah berada di Jenaris. Sampai di rumah Nyaie sekitar jam 9:30 malam. Aku makan sedikit takut lapar pula di Jenaris. Teringat nak bawa Pucuk Mengkudu balik. Cari beg plastik tak jumpa. Harapanku Mila akan simpankan Pucuk Mengkudu yang banyak lagi kupetik. Ianya aku biarkan di bawah tudung saji meja makan ala Jepun di dapur. "Mila kami nak balik ni!... kalau lambat sangat takut ayah mengantuk!" Jam telah 10:15 malam. "Bila Mila nak balik Jenaris?... Esok ada nak beraya lagi ke?..." "Esok baliklah!, masa nak balik Mila nak singgah lagi dua buah rumah.." Esok adalah Hari Raya keempat. Nak balik Perak mungkin tidak. Minyak & tol berulang alik Jenaris ke Meru pun nampaknya sudah lebih dari balik ke Perak. Lari bajet. "Kalau dua buah rumah....sekitar jam 5:00 petang kita kena balik Jenarislah!, ayah malas memandu malam, badan tak berapa sihat ni!?" Aziq & Anif terus terlelap dalam Avanza. Nasiblah si Azim tolong temankan aku berbual. Sekitar Puchong aku telah memandu terhuyung-hayang. Berhenti sekejap basuh muka pelbagai. Sedang memandu beberapa kilometer layu balik biji mataku. Begini rupanya orang berumur. Belum lagi 12:00 malam mata sudah tak boleh dikawal lagi. Sampai di Saujana Impian nyaris tak terbabas, sudah hilang daya agakkan. Azim yang terjerit suruh ayahnya belok ke kanan. Kalau tak tragedi tentunya. Sampai di Jenaris, terus telan enam jenis ubat. Kemudian pengsan. Tak tahu jam berapa anak-anak terunaku itu tidur. Afiz balik dari kerja di KFC pun aku perasan macam mimpi terdengar suara dia. Aku terjaga sekitar 3:00 pagi tenguk Azim masih mengadap komputer. Azim baru Darjah Lima. nak tegur, kasi canlah Hari raya. Aziq dengan PS2nya. Anif cepat pulak tidurnya. Besoknya lepas solat subuh aku sambung tidur; bila bangun sekitar jam 8:00 pagi aku bertanya Azim yang nampak bermalas di kamar panjang. "Jam berapa malam tadi baru Azim tidur?..." "Azan subuh ayah!" Aku tersenyum lebar, agaknya masa aku bangun solat subuh tadi dia pura-pura tidur. "Emmm! Azim sambunglah tidur..! nanti nak balik Meru ayah kejutkan!." Azim kembali memeluk bantal busuknya. - bersambung. Nota: Baiki Barangan Elektrik & elektronik TV, kipas, mesin basuh, monitor, radio, hifi, dvd & lain-lain. Barang siapa tinggal sekitar Kajang mesti tahu Sungai Ramal Luar. Sebaris dengan Masjid Sungai Ramal Luar ada rumah tanah lot. Jika anda dari Kajang, anda boleh susur bawah jejantas menyeberang ke kanan & terus menuju ke arah Serdang Putrajaya; anda akan ikut jalan lama sebelah lebuh raya. Anda akan jumpa Restoran Perantau, longkang besar, Dewan Umno, Masjid & simpang tiga ada lampu isyarat. Betul-betul di simpang tiga ini..di kanan anda akan nampak Papan Tanda baiki barangan elektrik... kepunyaan Azam Electronic. Di depannya ada rumah sewa, rumah mertua Azam sederhana besar di tanah lot rumah sewa beberapa pintu. Ada kolam hiasan di anjung rumah mertua Azam ini. Azam sebenarnya adalah golongan kurang upaya. Kedua kakinya bermasalah tetapi masih boleh berjalan. Rasanya elok kita membantu Azam di samping membaiki barangan elektrik kita. Nur Azam bin Md Nor seorang yang mahir. Dulunya dia berkerja dengan cina sekarang dia berkerja sendiri dengan kerjaya ini untuk menyara keluarganya. Dia selalunya akan memberi nasihat akan barangan elekrik masih okey! atau kos baikinya tidak menguntungkan. Terpulanglah kepada kita jika memang sayang atau mahu ianya dibaiki. Ini nombor telefon Azam 013 372 9415 atau 014 234 3879.

2 ulasan:

Cetusan berkata...

fushh..durian...memang ..tak tahan..

iDAN berkata...

Sdr Zeq

Saya punyai dusun di kampung yang terbiar, hinggakan pokok durian kian banyak yang mati.

Zaman saya kanak-kanak, jika musim durian; tak termakan durian, Arwah Emak sampaikan membuat tempoyak sahaja & dijual di kedai Arwah Apak.

Maka itu saya tak sabar mahu balik kampung!.