iDAN

30 September 2009

Penjara sedia sebat Kartika (Ceritera)

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KAJANG: Hukuman sebat terhadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sekarang kerana Jabatan Penjara sudah mempunyai tukang sebat bertauliah untuk melakukan tugas berkenaan.

“Pihak penjara kini menunggu arahan mahkamah untuk menjalankan hukuman yang tertangguh itu dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakannya,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau mengulas isu penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang sepatutnya dijalankan di Penjara Wanita Kajang di sini.

Menurut Abu Seman, isu ketiadaan pegawai penjara yang bertanggungjawab untuk menjalankan hukuman berkenaan tidak timbul berikutan sudah ada pegawai bersesuaian untuk tujuan itu.

“Perkara berkenaan dianggap selesai kerana kami sudah ada pegawai penjara bertauliah untuk melaksanakan hukuman sebat terbabit.

“Pihak penjara menunggu arahan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan untuk melaksanakan hukuman sebat berkenaan dan apa saja masalah di luar perlu diselesaikan pihak bertanggungjawab (mahkamah itu),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Menengah Pengurusan Penjara Siri 1/2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Zulkifli Omar.

Julai lalu, Kartika Sari dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah minum arak di pusat hiburan di Cherating, pada Disember tahun lalu.

Ibu dua anak yang tetap dengan pendirian enggan merayu supaya hukuman diringankan dan berulang kali menyatakan kesediaan disebat pada bila-bila masa, kini menunggu keputusan pihak bertanggungjawab memberi arahan kepadanya untuk menjalani hukuman itu.

Harian Metro

iDAN: Bukan Kartika sahaja yang dikenakan hukuman sebatan, sebelum dia telah pun telah ada hukuman tersebut. Sila rujuk artikel di Blog ini.

Penjelasan Hukuman Sebat Syariah kerana kesalahan Minum Arak


Penjelasan yang dinyatakan di bawah saya perolehi melalui e-mel yang dikirim oleh salah seorang pensyarah undang-undang sivil dan syariah yang sama-sama mengajar di AIKOL, UIAM. Beliau menerimanya dari penulis yang bernama Naser al Qurawiyy. Pada pendapat saya fakta-fakta yang tersebut tidak meragukan. Wallhua’lam

Ekoran dari isu hukuman sebat terhadap bekas model Kartika Sari dewi Sukarno,
wajar diperjelaskan bahawa –

1. Kartika bukan lah orang pertama disebat atas kesalahan minum arak. Di Kelantan seramai 6 orang lelaki telah pernah disebat. Tahun 1997; 4 orang, tahun 2001; seorang dan 2003; seorang.

2. Kartika juga bukan wanita pertama dijatuhi hukuman sebatan. Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada tahun 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan.

3. YA Hakim Dato’ Abdul Rahman yang menjatuhkan hukuman sebat ke atas Kartika juga telah pernah menjatuhkan hukuman yang sama beberapa tahun lalu ke atas 2 orang adik beradik yang melakukan kesalahan minum arak . Mereka juga memfailkan rayuan dan rayuan mereka belum didengar.

4. Tohmahan kononnya Kartika dijadikan target untuk disebat adalah fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian.Pada masa kejadian, selain dari Kartika, juga telah ditangkap 2 orang lain.- seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya juga dijatuhi hukuman yang sama denda 5000 dan 6 sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang. Justeru, bagi memastikan keadilan dan Kartika tidak dihukum lebih berat dari dua orang lagi yang merayu itu, kesnya telah diputuskan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang untuk disemak semula.

5. Hukuman keatas Kartika belum dibatalkan, hanya digantung berikutan keputuasan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato’ Abdul Hamid hendak membuat semakan terhadap hukuman ke atas Kartika.

6. Jabatan Penjara pula sudah pun mempunyai seramai 171 orang tukang sebat terlatih termasuk 2 orang tukan sebat wanita. Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, Syariah dan Kanak-kanak.

7. Seorang penyebat wanita telah membuat demo sebatan Syariah dengan penuh bergaya di hadapan Hakim Rayuan JKSM YA Dato’ Asri. YA kemudian mengesahkan dan berpuas hati dengan cara sebatan tersebut.

8. Prosedur sebatan Syariah adalah termaktub dalam sek.125 Tatacara Jenayah Syariah Pahang. Di Negeri lain pun ada tatacara yang sama. Gambarannya, apabila melakukan sebatan, hanya tangan yang terangkat tanpa menampakkan ketiak. Tidak seperti sebatan sivil yang memang bersifat cruel dan menyiksa pesalah, sebatan Syariah bersifat mendidik. Justeru adalah tidak wajar sebatan Syariah disamakan dengan sebatan sivil.

9. Kartika sendiri telah insaf dan bertaubat atas perbuatannya dan menuntut supaya beliau dekenakan hukuman berkenaan. Inilah bukti keberkesanan hukuman sedemikian di zaman ini. Keputusan sama ada Hukuman sebat ke atas Kartika akan dilaksanakan atau sebaliknya terserah kepada Jawatankuasa Rayuan Syariah Pahang yang akan bersidang bagi menyemak hukuman YA Hakim Mahkamah Tinggi Pahang itu tidak lama lagi.

Naser alQurawiyy

http://blogs.iium.edu.my

Tiada ulasan: