iDAN

07 April 2011

Fantasi jadi realiti



SELAMA lebih kurang 17 tahun mengabadikan diri di dalam bidang lakonan, akhirnya kerjaya seni Shaheizy Sam Abdul Samad sampai ke kemuncak setelah berjaya merangkul gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular (ABP10) baru-baru ini.

Dia mengaku teringin benar merangkul pencapaian sebagai artis paling popular. Malah, pelakon yang mesra dipanggil Sam itu juga tidak malu untuk mengaku bahawa sejak tiga tahun lalu, dia memasang fantasi untuk merangkul gelaran tersebut selepas melihat Datuk Siti Nurhaliza, Nabil dan Mawi menerima anugerah yang sama.

Secara spontan juga, anak teruna pelakon Khaty Fauziah itu berterima kasih kepada Siti yang memberi laluan kepada rakan artis lain termasuk dirinya untuk merasa digelar paling popular.

Katanya: “Memang dari dulu saya teringin merangkul anugerah paling popular. Tapi saya tak sangka, pencalonan kali pertama disenaraikan lima teratas telah menjadikan fantasi saya satu realiti.”

Bagi pelakon watak hero yang mula diminati melalui filem Adnan Sempit itu lagi, dia ingin dikenali sebagai pelakon yang baik memandangkan lakonan adalah karier tetapnya dari dahulu hingga kini.

Tambahnya, peminat yang menyokong dan mengundi itulah sebenarnya yang membuatkan dirinya dekat dengan populariti.

“Selain berterima kasih kepada ibu dan keluarga saya, peminat juga adalah tunjang kemenangan saya ini. Kerana sebaik mana pun saya bekerja, saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongan dan bantuan mereka,” tutur Sam yang begitu menghargai sokongan peminat terhadapnya selama ini.

Bagaimanapun dia sedar, sebaik memegang gelaran paling popular, maka dia memikul tanggungjawab berat dengan memastikan jalur kerjayanya berada pada tahap yang tidak kendur. Dia tidak boleh membuat para peminat hilang kepercayaan terhadap dirinya kerana terbuai dengan keindahan menjadi orang popular.

Bagi Sam juga, memenangi anugerah sebegini rupa bukan merupakan penghujung di dalam karier dan tidak lagi perlu berusaha keras.

Katanya, dia belum lagi berpuas hati dengan apa yang dimilikinya hari ini. Bukan tamak, tetapi kata Sam, dia mendidik dirinya agar tidak cepat selesa.

“Mungkin bagi orang lain, kemenangan seperti ini merupakan kemuncak segalanya dalam karier seni mereka, tetapi bagi saya, masih jauh lagi perjalanan di dalam industri ini.

“Sekarang saya mahu terus memberi fokus terhadap kerjaya dan jika kita ikhlas atau buat yang terbaik, orang lain akan nampak perkara itu,” katanya bersungguh-sungguh.

Tak pandai letak harga


SAM secara terbuka menyelar penerbit filem tempatan yang kedekut untuk mengeluarkan modal yang banyak bagi menghasilkan filem yang bermutu tinggi.


Bagai menjadi satu resam, harga bakat yang disumbangkan oleh seseorang artis akan mendadak naik apabila memenangi sesuatu anugerah.

Sewaktu persoalan tentang ‘harga diri’ yang bakal dikenakan kepada pihak yang berminat untuk menerima khidmatnya selepas ini, Sam memberi jaminan dia tidak akan demanding sesuka hati. Sebaliknya harga yang dimintanya berpatutan dengan khidmat yang bakal diberikan.

“Sebenarnya diangkat sebagai paling popular adalah bonus terhadap saya. Saya berani katakan, karier saya tidak akan berubah dan saya akan sentiasa menjadi diri saya yang dahulu.

“Saya akan bekerja seperti biasa. Saya percaya, setiap tawaran yang saya terima, pihak yang menawarkan sudah mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya tentang habuan yang akan mereka berikan kepada saya. Jujurnya, saya bukan orang yang bijak meletak harga diri,” katanya serius.

Justeru kerana tidak tahu meletak harga khidmat yang ditawarkan, dia memilih untuk duduk di bawah syarikat pengurusan dan segala urusan pembayaran atau sebagainya bukan di atas bidang kuasanya.

Sokong industri tempatan

Mengajak adik kepada pelakon Zizie Ezzette itu berbicara tentang naik turun industri tempatan, pantas dia memberitahu, industri tempatan akan maju sekiranya seluruh rakyat Malaysia bersatu menyokong industri seni sendiri.

“Apabila kita semua bersatu menyokong industri seni sendiri, saya percaya, secara automatik, industri ini akan maju. Saya ambil contoh, apabila semua peminat saya bersatu mengundi saya untuk jadi popular, maka bayangkan kalau semua rakyat Malaysia berbuat hal yang sama untuk menyokong produk tempatan, hasilnya adalah industri seni kita yang maju,” tuturnya.

Malah tanpa teragak-agak, Sam menyelar sikap penerbit yang mahu industri maju, tetapi kedekut mengeluarkan bajet yang tinggi untuk menghasilkan filem yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Katanya: “Bagi saya, penerbit kini takut mahu keluarkan wang yang banyak kerana bimbang produk yang dikeluar atau dihasilkan tidak diterima oleh orang kita sendiri.

“Mereka takut rugi jika orang kita tak sokong produk tempatan. Jadi, jika masyarakat menyokong produk kita, saya percaya harga atau bayaran yang bakal diberi pihak penerbit mungkin akan menjadi lebih baik.”

Kekasih ibu

“Hidup saya adalah ibu saya. Ibu saya telah membesarkan saya dan kerana dia saya sampai ke tahap begini. Saya mahukan yang terbaik untuk dia kerana kesusahan yang telah dia tempuhi sepanjang tempoh membesarkan saya,” ujar Sam sedikit emosi sehingga menitiskan air mata apabila bercakap tentang ibunya, Khaty Fauziah.

Hal itu menjadi penegasan kepada kehidupannya yang kini diakui Sam sebagai masih solo. Dia juga memberitahu cintanya hanya untuk ibunya.

“Buat masa ini, hanya ibu yang menjadi ‘kekasih’ saya,” ungkapnya.

Malah, Sam turut menegaskan walau usia makin meningkat dia tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang lagi. Bagi Sam, perjalanan kariernya baru bermula dan dia tidak mahu memecahkan momentum kerja dengan hal peribadi.

Kosmo!

Tiada ulasan: