KETIKA ini, hatinya bercampur baur apabila memikirkan tentang pementasan monodrama Rebab Berbisik yang akan membuka tirainya di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, malam esok.
Sudah pasti, hati Rosnan Rahman berbunga riang apabila melihat Rebab Berbisik kembali dipentaskan di IB yang sememangnya cukup dikenali sebagai pentas seni bertaraf dunia itu.
Namun, pada masa sama, Rosnan juga tidak mampu menyembunyikan debaran kerana bimbang lakonannya dalam pementasan itu tidak dapat menangkap emosi penonton.
"Saya harus akui cabaran kali ini cukup tinggi dalam monodrama ini. Seperti mana semua sedia maklum, saya membawakan empat watak dalam pementasan ini yang memiliki suntikan emosi yang berbeza kerana ia meliputi empat fasa umur yang berlainan.
"Dalam empat watak itu, saya harus akui watak Pak Su Mat yang paling banyak menguji kredibiliti saya sebagai seorang pelakon kerana luahan emosinya cukup berat.
"Setiap dialog yang saya lontarkan semuanya mempunyai maksud dan konotasi berbeza. Malah, ia memperkatakan tentang subjek berat yang menjadi perdebatan ketika ini khususnya tentang isu makyung itu sendiri.
"Oleh kerana tidak mahu penonton cepat berasa bosan, saya perlu bijak mewarnakan dialog saya dengan suntikan humor agar mereka tidak berasa penat menonton monodrama ini," luah Rosnan.
Rosnan yang juga dikenali sebagai seorang pakyung tu berkata demikian selepas sidang akhbar kedua Rebab Berbisik yang berlangsung di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; penerbit Rebab Berbisik, Muwazir Mansor dan pengarah monodrama tersebut, Rahimidin Zahari.
Selain watak Pak Su Mat, Rosnan juga membawakan tiga watak lain iaitu Mek Ning, Mimi dan Azri.
Menyambung perbualan, graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang senibina itu memberitahu, dia telah melakukan persediaan yang cukup rapi kali ini.
Memandangkan kali ini ia dipentaskan di IB, dia menggunakan segala kemudahan yang ada untuk mencipta set dan sebagainya bagi memantapkan lagi persembahannya.
"Saya perlu memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar agar duit yang dikeluarkan oleh penonton itu berbaloi dengan apa yang mereka tonton.
"Bukan itu sahaja, saya juga kini giat bersenam dengan berjoging untuk mendapatkan stamina yang tinggi kerana Rebab Berbisik bukan hanya memerlukan saya melontarkan dialog tetapi juga menyanyi dan menari," kata Rosnan yang juga pernah membintangi teater muzikal antarabangsa antaranya The Sound of Music, Cats dan Saturday Night Fever ini lagi.
Untuk membintangi sebuah monodrama kata Rosnan, bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan konsentrasi dalam lakonan.
"Itulah cabaran untuk seorang pelakon teater dan jika dia mampu melakukannya dengan baik serta cemerlang, maka, mereka tidak akan berdepan untuk memberikan lakonan yang mantap dalam filem serta drama," katanya yang turut berlakon dalam filem ...Dalam Botol arahan Khir Rahman.
Dalam perkembangan lain, Rosnan juga melahirkan rasa gembiranya apabila mengetahui penjualan tiket Rebab Berbisik sudah melebihi 70 peratus.
Sambil menyifatkan ia pencapaian luar biasa, Rosnan melihat kejayaan itu memberikan suntikan baru bukan hanya untuk dirinya tetapi juga buat industri teater secara keseluruhan.
Sementara itu, Muwazir pula berkata, pementasan Rebab Berbisik bukan hanya sekadar untuk memberi hiburan semata-mata.
Tetapi, misinya adalah untuk membuat kerja amal dan sebahagian daripada hasil penjualan tiket akan dibahagikan untuk disumbangkan kepada empat tokoh makyung terkenal.
"Mereka yang telah dikenal pasti ialah Ibrahim Senik, Dollah Daud @ Hamat, Tuan Kecik Tuan Yeh dan Haminah Hussin. Kesemua mereka ini sedang uzur dan hidup dalam serba kedaifan di Kelantan.
"Kami juga bangga dan gembira apabila Rebab Berbisik juga mendapat perhatian daripada badan bukan kerajaan seperti Yayasan Pink Triangle dan Institut Terjemahan Negara.
" Malah, syarikat korporat seperti JW United Corporation Sdn. Bhd. juga memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi," katanya.
Bagi mereka yang masih lagi berminat untuk menonton Rebab Berbisik dan membuat tempahan serta pembelian tiket, bolehlah menghubungi talian 03-41478600 atau layari laman web www.ticket2u.biz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan