iDAN

04 April 2011

Kehadiran Cinta


Catatan ini bukan mahu menceriterakan tentang cinta kita terhadap Ilahi; ianya telah pasti & sentiasa kita jaga lantaran cinta kita kepada Ilahi amat abadi. Kekal & hadir buat dunia kini pun kelahiran semula di dunia nan kekal nanti.

Cinta yang mahu perkatakan adalah cinta terhadap pasangan kita yang dipanggil kekasih. Perlu diingat cinta ini jua akan dilahirkan semula di alam akhirat. Bagi seorang kekasih yang bernama perempuan atau isteri akan jadi Ketua Bidadari; usianya jika kita baca kitab sekitar 30an kekal & cantik biar pun tanpa dibantu solekan. Tinggi lampai bayangkan kulitnya amat lembut berseri sampaikan kalau kita baca kitab, andainya kaki Bidadari ini terjuntai dari langit; semua lelaki di dunia akan gila asmaradana. Emm! terlihat kaki belum lagi wajah & anggota.

Bila telah dinobatkan sebagai Ketua Bidadari bayangkan betapa cantiknya kekasih kita ini bersama dengan kejelitaan Bidadari-Bidadari yang lain.

Suami pula pastilah sekacak yang kita impikan, takkan tua, takkan amat boroi bagai aku ini, amat menyayangi isterinya malahan sentiasa bertanggungjawab kekal bernafas dalam suasana damai lagi harmoni. Jika kita baca kitab setiap hari Jumaat ada pasar lambak yang terlalu luas & para suami akan membawa pulang pelbagai hadiah untuk Bidadari-Bidadarinya. Yang menariknya pasar ini ada kelainannya seperti Hadith ini;

"Di dalam syurga terdapat sebuah pasar yang didatangi penduduk syurga setiap hari Jumaat. Angin bertiup dari sebelah kanan menyentuh muka dan pakaian mereka, menyebabkan muka dan pakaiannya bertambah cantik, tampan dan indah. Ketika mereka pulang ke rumah didapatinya isteri mereka bertambah cantik dan indah. Kata mereka kepada isterinya, “Engkau sungguh-sungguh tambah cantik dan pakaianmu tambah indah sepeninggalanku.” Jawab isterinya, “Engkau demi Allah sungguh tambah tampan dan pakaianmu tambah indah pula sekembalimu.”

Siapa tak mengidamkan kecantikan & ketampanan. Jika di dunia kita adalah manusia hodoh di sana tidak lagi; Jika di dunia kita ini tiada darjat & status di sana tidak lagi. Keimanan itu adalah status kita.

Isunya bukan aku nak ceritera perkara ghaib yang kita impikan; tetapi sesungguhnya untuk mendapatkan nilai keindahan syurga perlulah adanya cinta. Jika tiada cinta bagaimana akan ujudnya seorang isteri atau suami yang kita sayangi. Apalah indahnya syurga jika tiada seorang suami atau ketua rumah tangga. Apa maknanya Ketua Bidadari tanpa suami tempat mengadu. Ketua Bidadari yang mana milik jawatan ini adalah kekasih@isteri kita di dunia.

Jika tanpa cinta bagaimana seorang isteri mahu menghormati suami. Bagaimana seorang lelaki mahu menyayangi isterinya jika di hatinya hambar belaka. Jika tanpa rasa cinta bagaimana seorang isteri suka mendengar pendapat suami. Bagaimana mahu berbual mesra, berkawan rapat & saling rasa kerinduan.

Jika seorang kekasih itu adalah orang yang paling kita benci; pasti bayangnya pun kita benci. Hatta jika boleh bayangnya pun kita tak mahu jatuh pada anggota kita.

Cinta bukan boleh dipaksa; sering kita ucapkan begitu. Seyogia jika telah ada jodoh itu bukanlah namanya kahwin terpaksa. Itu adalah ujian agar kita belajar bercinta jika hati itu kering gersang terhadap pasangan kita. Jodoh bukannya hak kita, jodoh adalah ketentuan Ilahi. Kehadiran jodoh adalah kehadiran cinta yang perlu kita jagai. Kita sering tersilap bila sampai jodoh hati merewang pada nan lain. Hati tertipu sebenarnya bilamana jodoh telah di depan mata tapi kita biar & abaikan ia.

Apa akan jadi setelah kita mati; apakah di kelahiran semula kita berhak mencari jodoh segala; berhak kahwin lagi dengan paluan rebana & kenduri kendara di syurga sana. Dialah kekasih kita; isterilah kekasih kita, suamilah kekasih kita, biar buruk biar boroi biar gendut biar hitam legam biar rongak biar sakit mata memandang.

Kita asyik leka sebenarnya, asyik tergoda pada artis yang tampan & jelita, asyik berangan nak kejar Amoi Arab atau Pria Tampan atau Anak Raja. Tertipu bagai Adam & Hawa sampaikan dicampak dari syurga. Kenapa kita tidak belajar menyintai kekasih@isteri@suami kita seadanya. Sesungguhnya. Selagi & semahu-mahunya.

Tiada ulasan: