iDAN

05 April 2011

Tukar Kerja.


Afiz tukar kerja lagi, bila aku congak tak kurang telah berkerja di lima tempat. Kerja sementara, ada yang gaji bulan ada yang kira hari.

"Afiz tak kerja hari ini Mie?" aku telah terbiasa panggil Husna dengan panggilan Mie.

"Dah berhenti!"

"Sejak bila pula ni?"

"Baru hari ini"

"Kenapa pula, apa masalah dengan Billion tu?"

"Dia tak puas hati dengan potongan gajinya" aku malas nak ambil tahu sangat, ada banyak kemungkinan. Mungkin lantaran Afiz datang lewat, mungkin ada masalah pengurusan.

Setahu aku Afiz jenis pekerja yang tekun, cermat & tabah dalam kerjayanya. Bayangkan berapa tahun dia kerja di KFC, balik sering lewat malam. Jarang bercuti, malahan ketika hari raya pun dia berkerja. Adalah tak kena di mana-mana seingat aku sekitar dua bulan sahaja dia berkerja di Billion Jalan Semenyih.

Sehari dua dia menganggur, hari ini Afiz kerja di TESCO. Sebagai Juruwang. Aku berharap dia akan berkerja dengan tekun di TESCO. Dalam bualan aku dengan dia, apa yang Mie kasi tahu itu memang benar; Billion buat potongan yang tak munasabah. Aku suruh juga dia telefon untuk bertanya Pengurusnya; setidak-tidak orang lain nanti tak terkena seperti dia.

"Biarlah ayah dia aniaya pekerjanya & ambil duit cara begitu... kalau kita telefon pun pasti ada jawapan dari pihak mereka." aku diam sahaja, aku sekadar takut rekod kerja Afiz menurun. Biarlah berhenti secara elok.

Kerja sementara gajinya pun tak sebanyak mana. Sekitar gaji Pencuci bagai PATI sahaja; Bagi asasnya sekitar RM600 tak cecah pun RM1,000. Termasuk elaun, lebih masa itu ini sekitar RM700 ke RM800 sahaja sebulan.

Bagaimana pun aku mahu Afiz dapat merasakan betapa payahnya mencari duit. Biar pun ada kelulusan bukan semudahnya nak mendapat kerja. Kerja memang banyak di negara ini tapi begitulah hakikatnya; bukan kerja kolar putih yang ada status yang stabil. Seyogia Afiz telah berkerja di KFC dua tempat, 7 Eleven pun dua tempat & Billlion sekadar pekerja sementara bila-bila boleh dipohon.

Aku yakin jika PATI yang datang itu mata wang negara mereka tinggi dari kita memang mereka tak jejak ke bumi ini. Mereka berebut ke sini lantaran mata wang negara kita lebih tinggi. Gaji mereka pun tak macam kita, kalau PATI namanya tentulah tiada potongan KWSP, di sini majikan telah dapat laba.

Sehari kalau kerja kontrak dapat sekitar RM50 sehari pun majikan sanggup kasi sebab tak ada elaun lain. Jika kerja dua puluh hari dah dapat RM1,000 digandakan pula dengan duit mereka. Aku pun tak pasti berapa bandingan mata wang Bangla & kita. Bangladeshi taka BDT. Mungkin sekitar (RM1 = BDT 22.++). Tak pasti. Tapi kira lumayanlah bagi mereka.

Dengan gaji bawah dari RM1,000 apakah kita boleh hidup di negara ini jika telah punyai isteri & anak. Teringat ini maka memang tak jauh bedanya dengan kehidupanku sebagai Pesara; pun terasa akan kepayahannya. Rasanya baik Gaji Terendah atau pun Ganjaran buat Pesara kerajaan kenalah memikirkan kadar bulanan yang lebih munasabah.

Paras Garis Kemiskinan (PGK)

"Kos hidup yang berbeza di Kuala Lumpur mendesak setiap keluarga mesti mempunyai pendapatan minimum di antara RM2,500 hingga RM3,000.
"
- Maklumat tahun 2009

"Penduduk bandar yang berpendapatan RM1500 ke bawah sebagai miskin lantas wajib dibantu."
- MIMBAR(Skim Mikrokredit Miskin Bandar).

Bagi Afiz yang baru nak memulakan kehidupan ada lojiknya dia kena bersusah dahulu, tidak bagi golongan sokongan & pesara seperti aku ini yang sumber pendapatan hanya sekadar sekitar RM1,000. Sukar mahu tambahkan pendapatan atas faktor usia & kesihatan. Tanpa tabungan amat rumit tentunya.

Maka itu aku berpesan pada penjawat awam atau pekerja swasta. Menabung itu amat penting. Apalah lagi sumber kewangan jika telah berusia begini selain berharapkan tabung yang kukuh. Selain ASB mungkin boleh menabung di Tabung Haji. Selain menabung di Bank Simpanan perlulah ada aset lain seperti rumah sewa, tanah untuk dipajak, bermodal di syarikat yang ada pengurusnya. Apa juga aset jaminan masa depan. Jangan perabis duit KWSP dengan barangan mewah yang susut harga.

Fikirkanlah ketika usia masih muda & tenaga masih mampu bekerja: Bagaimana nak menabung untuk usia Warga Emas nanti. Jangan asyik berhutang terutama kereta mewah. Berhutang untuk harta tanah itu okey!.

Perjalanan kerjaya Afiz masih panjang. Biar pun dia telah berapa kali pergi temuduga tetapi rezeki Afiz masih samar & tak pasti. Aku masih yakin rezeki itu adalah milik Dia nan Esa; ianya turun dari langit & tak siapa dapat menduga ianya milik siapa. Agar Afiz ingat peribahasa ini: Batu yang bergolek tak akan ditumbuhi lumut. Jika dapat nanti jawatan tetap serta sesuai dengan kelayakan agar sentiasa tekun & setia dengan satu organisasi.




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bersusah-susah dulu bersenang-senang kemudian la kn...tapi kalau dh memang ada sikap...bukan senang nk kikis..huhuu

iDAN berkata...

berboros serta membazir bukan ajaran agama kita, dalam apa jua cara hidup lakukanlah secara sederhana...