iDAN

11 Ogos 2011

Video Asyraf tersebar

Klik sini VideoYouTube Asyraf disamun depan mata orang ramai!

LONDON 11 Ogos - Satu rakaman video yang memaparkan seorang pelajar Malaysia dalam keadaan bingung dan berdarah 'dibantu' sekumpulan remaja yang menyamunnya, menjadi sinonim dengan rusuhan di London.

Video memaparkan Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, diserang dan disiarkan di laman web YouTube kelmarin, tersebar dengan meluas serta menjadi kejadian paling diingati dalam rusuhan selama empat hari di negara ini.

Muhammad Asyraf sedang berbasikal dengan seorang rakan di timur London tiga hari lalu untuk membeli juadah berbuka puasa apabila dikepung oleh sekumpulan 20 remaja dan kanak-kanak.

Mereka kemudian merampas basikal dan telefon bimbit Muhammad Asyraf selain menyerangnya menyebabkan tulang rahangnya patah.

Kejadian itu menggemparkan Britain, sehinggakan Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan kejadian itu sebagai satu tanda-tanda keruntuhan moral dan akhlak masyarakat di Britain.

''Terdapat sejumlah anggota masyarakat kita telah rosak akhlak dan moral.

''Apabila kita melihat kanak-kanak berumur antara 12 dan 13 tahun mencuri dan kemudian ketawa mengenainya, apabila kita lihat seorang lelaki muda cedera dengan orang ramai berlakon untuk membantunya tetapi sebaliknya menyamun dia, ia jelas menunjukkan ada yang tidak kena dengan masyarakat kita,'' katanya.

Seorang rakan Muhammad Asyraf, Dzuhair Hanafiah berkata, pelajar jurusan akaun itu dibiarkan sahaja tanpa bantuan selepas diserang. - AP

Keluarga Muhammad Asyraf terharu

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Keluarga Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, pelajar Malaysia yang cedera dibelasah oleh perusuh di London, Selasa lalu bersyukur dan terharu atas keprihatinan UMNO menaja mereka sekeluarga ke London untuk melawat anaknya.

Sambil berterima kasih, ibu Muhammad Asyraf Haziq iaitu Maznah Abu Mansor, 47, menyifatkan bantuan kira-kira RM20,000 itu amat bermakna.

"Sebelum ini kami sekeluarga bertanyakan saudara-mara dan rakan-rakan jika ada pihak tertentu yang boleh membantu memandangkan kami tidak mampu untuk ke sana.

"Alhamdulillah, UMNO menghulurkan bantuan bukan setakat membelikan tiket untuk saya dan suami (Rossli Harun), malah untuk anak bongsu kami, Muhammad Fitri yang sangat rapat dengan abang sulungnya itu," katanya.

Maznah berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tiket ke London oleh UMNO yang diwakili oleh Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan kepada ibu dan bapa serta adik bongsu Muhammad Asyraf Haziq di sini, hari ini.

Selain bantuan tiket, segala urusan mereka seperti makan dan minum serta penginapan dan pengangkutan sepanjang di sana ditanggung oleh Kelab UMNO London.

Bercerita mengenai apa yang berlaku kepada Muhammad Asyraf Haziq, Maznah yang merupakan seorang guru berkata, mereka sekeluarga mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh pegawai Majlis Amanah Rakyat pukul 9 pagi kelmarin.

Pada mulanya, mereka beranggapan Muhammad Asyraf Haziq dibelasah oleh kumpulan samseng namun, tidak menyangka ia berpunca daripada perusuh yang menyertai demonstrasi jalanan.

Utusan.

UMNO taja keluarga Asyraf ke London


Ahmad Maslan (dua dari kanan) melihat gambar Muhammad Asyraf Haziq Rossli dalam pertemuan dengan ibu bapa mangsa di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Rossli Harun (empat dari kanan), Maznah Abu Mansoor (tiga dari kiri) dan Mohamad Fitri Rossl (tengah).

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Keluarga pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli yang cedera dibelasah oleh perusuh di London, Selasa lalu, kini boleh menarik nafas lega apabila UMNO tampil menghulurkan bantuan menaja tiket penerbangan mereka ke London, esok.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, selain tiket penerbangan, semua urusan ibu dan bapa Muhammad Asyraf serta adik bongsunya sepanjang di London akan ditanggung oleh Kelab UMNO London.

''UMNO bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Muhammad Asyraf Haziq dan terpanggil untuk membantu keluarganya kerana mereka bukanlah daripada keluarga yang berada.

''Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan kebimbangan mereka mengenai nasib Muhammad Asyraf Haziq selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan itu di sini, hari ini.

Turut hadir, ibu bapa Muhammad Asyraf Haziq iaitu Rossli Harun, 49, dan Maznah Abu Mansor, 47, serta anak bongsu mereka, Muhammad Fitri, 8.

Pada majlis itu, Ahmad turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada ibu bapa Muhammad Asyraf Haziq sebagai persediaan ke London.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Maslan turut menasihati para pelajar Malaysia di London supaya mengelak daripada terlibat dan terjebak dalam demonstrasi jalanan.

Katanya, meskipun keadaan dilaporkan semakin pulih, pelajar dan rakyat Malaysia masih perlu berhati-hati dan tidak sesekali keluar bersendirian.

''Kita juga berharap mereka sentiasa berhubungan dengan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London atau wakil-wakil Kelab UMNO di sana," kata beliau.

Utusan

Kes Asyraf: Warga London buat laman web bantu kutip dana

11/08/2011 12:41pm

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Walaupun berbeza latar belakang kaum, agama mahu pun warna kulit, warga London menunjukkan keprihatinan terhadap nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, yang disamun sehingga mengakibatkan rahangnya terpaksa dibedah Isnin lepas.

Seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di London, Shahrul Muzammir Mohd Sahir berkata, satu laman web diwujudkan warga London.

Laman web yang beralamat http://somethingniceforashraf.tumblr.com/ itu direka oleh The Minimalist dan ia antara lain menggunakan tagline: 'Let's Do Something Nice For Ashraf Haziq'.

Beliau berkata, turut dipapar di laman web itu ialah video dari YouTube yang merakam detik-detik cemas ketika Asyraf disamun oleh beberapa remaja berkulit putih dan hitam yang berpakaian ala remaja hip-hop.

Di laman web itu juga, The Minimalist mencadangkan agar satu kutipan dana dibuat bagi membantu Ashraf dan satu ruangan undian kepada pelawat memilih cadangan terbaik bagi membantu penuntut malang itu.

Antara cadangannya ialah: 'Pay His student fees' (bayar yuran pengajiannya), 'Pay for his family to come and visit him in hospital' (bayar perbelanjaan keluarganya untuk datang dan melawat beliau di hospital) dan 'Buy back the stuff that got nicked, PSP, bike, phone' (membelikan semula barangan yang dicuri, PSP, basikal, telefon bimbit). – Bernama

Mohd. Asyraf selamat jalani pembedahan

KOTA KINABALU 11 Ogos - Penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rosli, 20, yang cedera diserang dan disamun sekumpulan lelaki dalam kejadian rusuhan di London selamat menjalani pembedahan di Hospital Royal London hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Muhammad Asyraf kini berada di dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital berkenaan.

"Dia menjalani pembedahan selama lebih tiga jam bagi memasukkan plat logam di rahangnya antara pukul 1 petang hingga 4.45 petang.

"Wisma Putra juga memaklumkan keadaan penuntut itu kepada ibunya, Maznah Abu Mansor," katanya di sini hari ini.

Menurutnya pada masa ini hospital yang menempatkan Muhammad Asyraf dipenuhi wartawan tempatan dan antarabangsa yang ingin mengetahui perkembangan penuntut berkenaan.

Asyraf sihat dan boleh dibenarkan keluar hospital - Mara

11/08/2011 8:25pm

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pelajar Malaysia di London, Asyraf Haziq Rosli yang cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di London, kini berada dalam keadaan sihat dan boleh dibenarkan keluar daripada hospital.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagaimanapun Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan masih tidak dikeluarkan daripada hospital atas sebab tertentu.

"Beliau dah selesai menjalani rawatan dan berada dalam keadaan yang baik serta sudah boleh keluar daripada hospital.

"Sebenarnya cuma tak dikeluarkan lagi kerana kita tak mahu apabila dia keluar banyak sangat pemberita... dan kita tidak mahu ganggu dia sangat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran dan Penubuhan Inkubator, Usahawan Kolej Poly Tech Mara Kuala Lumpur dan bazar Ramadan di sini, hari ini. - Bernama

Diplomat Britain luah simpati

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia hari ini meluahkan rasa simpati dengan nasib malang yang menimpa penuntut Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang cedera dibelasah dan disamun oleh sekumpulan remaja dalam rusuhan di London, kelmarin.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain, Ray Kyles berkata, pihaknya terkejut dengan serangan yang disifatkan sebagai tindakan pengecut terhadap penuntut dari Malaysia itu dan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian tersebut.

Katanya, rusuhan yang berlaku di London serta beberapa bandar utama di Britain sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan meningkatnya rasa bimbang terhadap tahap keselamatan individu serta harta benda.

"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal. Pihak berkuasa di sana (Britain) telah melakukan tugas untuk menghalang para perusuh ini dengan baik. Saya difahamkan bilangan polis telah ditambah kepada 16,000 berbanding 6,000 sebelum ini dan ditempatkan di sekitar London bagi menjamin keselamatan awam.

"Saya juga diberitahu, kerajaan Britain telah mengambil inisiatif dengan menyampaikan mesej melalui laman sosial seperti Twitter supaya orang ramai tidak keluar ke kawasan rusuhan," katanya pada sidang akhbar bagi menjelaskan situasi di Britain di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku di Barking, Timur London itu, Muhammad Asyraf mengalami patah tulang rahang dan gigi sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Royal London.

Difahamkan ketika kejadian, penuntut bidang perakaunan yang berasal dari Ampang itu keluar bersama rakan-rakannya untuk membeli juadah berbuka puasa.

Visual Muhammad Asyraf yang duduk sambil mengusap mulutnya yang berdarah dan dikelilingi lebih 10 remaja itu dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube hari ini di bawah tajuk Heartless robbery in London riots!!!!.

Video itu juga sempat merakamkan aksi seorang pemuda berkulit putih yang dengan selamba membuka beg galas Muhammad Asyraf dan menyamunnya lalu berlalu tanpa sesiapa pun menegahnya.

Rusuhan di negara tersebut bermula dengan satu protes kecil secara aman di pinggir kota London iaitu di Tottenham, Sabtu lalu, berpunca daripada kejadian seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis.

Bagaimanapun, protes tersebut bertukar menjadi rusuhan dan merebak ke seluruh kota itu sebelum melarat ke beberapa bandar raya utama iaitu Birmingham, Bristol, Liverpool dan Luton.

iDAN:

Saya sendiri pernah diperas ugut di Kota London, sejak berzaman memang di sana bukan kota selamat apabila kita sendirian. Rakan saya pun menceritakan pengalaman yang sama sekitar tempat yang sama. Soho itu memang kawasan kunjungan ramai tetapi dianggap kawasan hitam. Jika zaman dulunya ianya bak Chow Kit yang banyak lorong gelap. Jangan cari nahas.

Kes Asyraf ini berbeda, yang kena tembak adalah orang kulit hitam, kenapa perusuh ganggu orang Asia. Asyraf sekadar keluar mencari juadah berbuka puasa.

Tiada ulasan: