Translate

||| Tentang Aku |||

Foto saya
Jenaris, Kajang Selangor, Malaysia
¤¤ Penyair nan tidak akan berhenti memaparkan sesuatu. Berkata benar biar pahit sekali pun. Kata kata biarlah membawa makna. Makna jangan berbau hina.¤¤

Perlu Baca

masalah tanah pusaka Md Sesh masih tidak selesai Klik Label: Pusaka Mengambil hak milik orang lain tanpa mengikut panduan Islam adalah HARAM; akta tanah yang dipinda oleh manusia hanya perangkap NERAKA bagi mereka yang tamak akan harta dunia

27 Mac 2012

MISKIN


Prestasi Baik NKRA-LIH Dalam Tempoh Setahun

May 10th, 2011

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) — Melalui Program Transfomasi Kerajaan, satu daripada teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meningkatkan taraf hidup golongan rakyat yang mempunyai isi rumah berpendapatan rendah (LIH).

Selepas setahun pelaksanaannya, ia berjaya mencapai prestasi memberangsangkan.

Tanggungjawab menjayakan NKRA-LIH diletakkan di bawah bidang tugas unit Pejabat Pengurusan Pelaksana NKRA-LIH, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Matlamat utama NKRA-LIH ialah untuk membasmi kemiskinan tegar yang dialami sejumlah 44,643 ketua isi rumah selain menurunkan kadar kemiskinan negara daripada 3.6 peratus kepada 2.8 peratus menjelang Disember 2010.

Bagi mencapai matlamat itu, kementerian menjalankan proses saringan untuk memadankan golongan yang berdaftar dalam sistem e-Kasih dengan program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) secara berperingkat di seluruh negara.

Menurut Pegawai Unit Pejabat Pengurusan Pelaksana NKRA-LIH, Ahmad Najib Aris, data terkini menunjukkan jumlah keseluruhan ketua isi rumah yang berdaftar dalam sistem e-Kasih ialah 253,862 orang yang merangkumi 11,382 keluarga miskin tegar, 98,800 keluarga miskin dan 143,680 keluarga mudah miskin.

“Hampir semua ketua is rumah yang pernah berada di dalam kategori miskin tegar berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing sekaligus membolehkan mereka terkeluar daripada kelompok itu,” jelas beliau.

Data sehingga 31 Dis 2010 menunjukkan kementerian ini berjaya mengurangkan jumlah ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar di dalam sistem e-Kasih sebanyak 99.8 peratus atau 44,535 keluarga.

Selain itu, sebanyak 26 peratus daripada jumlah ketua isi rumah miskin juga berjaya dikeluarkan daripada kategori itu.

Golongan miskin tegar ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai pendapatan kurang RM440 sebulan di Semenanjung Malaysia, atau RM540 sebulan di Sabah atau RM520 sebulan di Sarawak.

Golongan miskin pula ditakrifkan sebagai berpendapatan kurang RM750 sebulan jika di Semenanjung Malaysia, atau RM960 sebulan untuk penduduk Sabah atau RM830 sebulan di Sarawak.

Semua keluarga yang mempunyai pendapatan bawah RM2,000 sebulan di kategori sebagai mudah miskin.

AKHIRI ZAMAN MISKIN

Pencapaian penting NKRA-LIH ialah menyediakan golongan miskin dengan kemahiran dan keupayaan bagi meningkatkan pendapatan, iaitu melalui program 1AZAM yang memberi peluang menambah pendapatan melalui gabungan pekerjaan dan keusahawanan.

Data kementerian sehingga tarikh 28 Feb 2011 menunjukkan sebanyak 7,401 ketua isi rumah golongan miskin dan miskin tegar sedang dilatih melalui enam bidang program yang diuruskan oleh agensi pelaksana yang dilantik.

Enam bidang itu ialah AZAM Tani yang melibatkan 1,074 ketua isi rumah yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, AZAM Niaga dan AZAM Khidmat yang diuruskan Amanah Ikhtiar Malaysia, masing-masing mengendalikan 718 ketua isi rumah dan 100 ketua isi rumah. AZAM Kerja pula melibatkan 684 ketua isi rumah yang diuruskan Kementerian Sumber Manusia, manakala AZAM Sabah dan AZAM Sarawak yang masing-masing melibatkan 1,959 dan 2,866 ketua isi rumah yang diuruskan kerajaan negeri masing-masing.

ANJUNG SINGGAH

Lagi pencapaian terkini ialah inisiatif menyediakan kediaman sementara yang dikenali sebagai Anjung Singgah kepada mereka yang tidak mempunyai rumah atau hidup gerlandangan.

Rumah itu akan menjadi pusat sehenti dengan perkhidmatan menyeluruh kepada golongan miskin dan gerlandangan termasuk menjadi tempat mengadu dan mendapatkan nasihat tentang peluang kerja, kemudahan perumahan dan bantuan kebajikan.

Kemudahan baru ini dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Bangunan Ehsan, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur pada 23 Mac.

Tempat itu menyediakan kemudahan bilik kaunseling, dan bilik penginapan berasingan yang boleh menempatkan 76 orang lelaki dan wanita yang memerlukan.

PADANAN e-KASIH

Sehingga tarikh artikel ini ditulis, kementerian berjaya mengesan dan mendaftarkan lebih suku juta keluarga yang menepati definisi miskin tegar, miskin dan mudah miskin ke dalam sistem e-Kasih.

e-Kasih ialah pangkalan data untuk keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Sistem yang diwujudkan sejak 2007 itu, menyimpan data keluarga untuk ketua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar atau RM1,500 dari kawasan bandar.

Meskipun keluarga yang tersenarai di dalam daftar e-Kasih tidak semestinya layak menerima bantuan di bawah program pembasmian kemiskinan yang dijalankan kementerian dan agensi berkaitan, data itu memainkan peranan penting di dalam usaha membangunkan rakyat miskin.

Data yang disediakan dianggap tepat kerana ia dibekalkan kepada pegawai daerah oleh ketua kampung, yang mempunyai hubungan rapat serta mengenali masyarakat setempat.

Setiap kes yang didaftarkan di dalam e-Kasih akan disahkan melalui bancian oleh Jabatan Statistik Negara secara berterusan untuk memastikan agar tiada rakyat Malaysia yang tergolong di bawah kategori miskin tegar tertinggal daripada menerima bantuan kerajaan.

Individu berkenaan juga boleh terus mendaftar menerusi laman web www.ekasih.gov.my.

LAHIR USAHAWAN WANITA

Selain itu, sasaran bagi melahirkan seramai 2,000 usahawan wanita yang mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM3,500 ke atas, selama tiga bulan berturut-turut, juga dicapai.

Daripada jumlah itu, seramai 800 usahawan wanita yang menamatkan latihan di bawah program NKRA-LIH turut berjaya mencapai pendapatan bulanan melebihi RM5,000.

Kini, seramai 3,387 lagi usahawan wanita masih dilatih melalui kursus yang disediakan oleh agensi pelaksana, Amanah Ikhtiar Malaysia manakala 3,433 lagi usahawan wanita sedang dibangunkan melalui Jabatan Pembangunan Wanita.

BANTUAN PERUMAHAN

Sasaran di bawah matlamat sub-bidang perumahan NKRA-LIH iaitu untuk meningkatkan pemilikan rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) juga berjaya dilaksanakan.

Setakat ini, sebanyak 79 peratus daripada sejumlah 44,146 unit rumah kos rendah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), iaitu 35,095 unit, ditawar untuk dijual kepada penghuni rumah berkenaan.

Kementerian juga memperuntuk sebanyak RM5 juta kepada DBKL bagi mengurangkan beban penyenggaraan kediaman kepada lebih 11,000 golongan miskin dan miskin tegar.

PENCAPAIAN LAIN NKRA-LIH

Selain memberi tumpuan kepada golongan miskin, kementerian turut menyediakan peruntukan sebanyak RM2.318 juta kepada Majlis AIDS Malaysia untuk membantu golongan terpinggir dengan membaik pulih dan mempertingkat perkhidmatan 15 buah rumah perlindungan Anjung Damai di seluruh negara.

Anjung Damai menyediakan perlindungan kepada golongan terpinggir yang meliputi wanita, kanak-kanak dan juga lelaki dewasa yang disisihkan keluarga dan masyarakat contohnya seperti pesakit HIV, bekas banduan, bekas penagih dadah, remaja nakal dan bekas pekerja seks.

Kebanyakan pencapaian tambahan NKRA-LIH setakat ini melibatkan pendidikan, termasuk Program Bakul Nutrisi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia yang memberi manfaat kepada lebih 35,000 kanak-kanak.

Kementerian juga membantu membaiki dan menaiktaraf 490 sekolah dan asrama daif seluruh Malaysia serta menderma set uniform sekolah kepada lebih 48,000 murid yang didaftarkan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Sumber : Bernama

Tiada ulasan: