iDAN

02 Jun 2013

Kelantan waspada hadapi Johor DT

KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak menyifatkan pertembungan dengan Johor Darul Takzim pada perlawanan akhir Piala FA bakal menyuntik motivasi tinggi barisan pemainnya.

Menurut Hodak, beliau menjangkakan perlawanan sengit menentang Johor DT pada aksi akhir.
"Mereka (Johor DT) bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk ditewaskan kerana mempunyai barisan pemain berstatus bintang.

"Begitu juga dengan kita yang turut mempunyai pemain berstatus bintang. Jadi saya tidak perlu memikirkan cara memberikan motivasi dan mereka (pemain Kelantan) sudah memahami bahang perlawanan tersebut.

"Bagaimanapun, saya yakin kita mampu memenangi perlawanan tersebut berdasarkan momentum pasukan setakat ini. Apa pun kita tetap waspada dengan ancaman Johor DT," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambah Hodak, beliau gembira dengan pertemuan tersebut dan menjangkakan perlawanan akhir nanti akan dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan.
Johor DT mara ke akhir Piala FA selepas menumbangkan Pahang menerusi kelebihan jaringan tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Sementara itu, Kelantan selaku juara bertahan layak ke pentas akhir selepas menyingkirkan seteru tradisi, Terengganu dengan agregat 6-5.

Kedua-dua pasukan akan berentap di pentas akhir bagi merebut kejuaraan Piala FA musim ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun ini.

Dalam pada itu, Hodak memberitahu, pasukan Kelantan akan mula menjalani latihan hari ini sebagai persiapan ke perlawanan akhir.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: