iDAN

28 Mei 2013

Sasterawan Negara 12























BAHA ZAIN atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal, dilahirkan pada 22 Mei 1939, di Batu 15, Hutan Melintang, Perak. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 di Universiti Malaya dan Sarjana Sastera di Universiti Indonesia Jakarta, pada tahun 1972.

Baha Zain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 sehingga menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1984. Kemudian beliau berkecimpung dalam dunia perniagaan dalam bidang penerbitan.

Dalam ujana kesusasteraan tanah air, Baha merupakan aktivis yang aktif dalam memartabatkan sastera dan bahasa di persada antarabangsa. Keringat dan cetusan fikirannya banyak dicurahkan ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera, Ketua Pengarang Majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya, dan sidang pengarang jurnal Tenggara. Kini, beliau meneruskan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu di syarikat penerbitannya, Pustaka Cipta Sdn. Bhd. Yang menerbitkan karya sastera dan bahasa di persada tanah air.

Baha Zain menulis esei, kritikan, puisi, dan cerpen. Beliau juga menyusun semula Hikayat Bakhtiar, Hikayat Omar Umayyah, dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Namun dalam genre puisi merupakan pilihan utamanya. Banyak puisinya termuat dalam beberapa antologi bersama dan empat buah kumpulan puisinya telah diterbitkan, iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam, dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from A Journey) dalam dwibahasa. Dalam genre kritikan pula, Baha Zain bukan sahaja sebagai pengkritik yang disegani malah gaya penulisannya menarik dengan cetusan fikirannya yang mengajak khalayak berfikir.

Baha banyak melibatkan diri dalam kegiatan sastera, bahasa, dan budaya. Dalam tahun 1972, beliau menghadiri Persidangan Bahasa Kebangsaan Negara-negara Asia di Manila, kemudian dalam tahun 1974, beliau menyertai Kongres Puisi Dunia Kedua di Taipei dan beberapa pertemuan lain di Jepun, Korea, dan sebagainya. Selain itu, Baha juga menjadi Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak 1986 hingga kini, Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994), Timbalan Presiden PPM (1985-1991), dan sebagainya.

Kecemerlangan, ketokohan, dan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu, bahasa, dan budaya diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Antara yang diperolehnya ialah SEA Write Awards (1980), Anugerah penyair GAPENA (1988), Darjah Cura Simanja Kini (P.C.M) daripada DYMM Sultan Perak (1986), Darjah Kesastria Mangku negara (1982), dan Darjah Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) pada tahun 1998 yang membawa gelaran Datuk.


BIOGRAFI

Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain)
Dilahirkan pada 22 Mei 1939, di Batu 15, Bukit Melintang, Perak.

Pendidikan : (1). Sekolah Melayu Sabak Bernam, Selangor, 1946 - 1949. (2). Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak, 190 – 1957. (3). Sekolah Anderson, Ipoh, Perak, 1958 – 1959. (4). Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1960 – 1963. (5). Fakultas Sastera, Universitas Indonesia, Jakarta, Indonesia, 1970 – 1972.

Kerjaya : (1). Penolong Pegawai Penyelidik, Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 1963 – 1969. (2). Penolong Ketua Bahagian Perkamusan, DBP, 1970. (3). Ketua Cawangan Kajian, Bahagian Perkembangan Sastera DBP, 1972 - 1976. (4). Ketua Bahagian Perkembangan Sastera, DBP, 1977 – 1981. (5). Timbalan Ketua Pengarah DBP, 1982 – 1984. (6). Penerbit Pustaka Cipta Sdn. Bhd, Petaling Jaya, 1984 – hingga sekarang.

Kegiatan : (1). Ketua Pengarang majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya serta anggota sidang pengarang jurna Tenggara ketika bertugas sebagai Ketua Bahagian Perkembangan Sastera, 1977 – 1981. (2).Penyusun semula beberapa hikayat lama , iaitu Hikayat Bakhtiar, Hikayat Umar Umayyah dan Hikayat Cekel Waneng Pati. (3). Anggota penyusun Kamus Dewan, terbitan DBP, 1970. (4). Menerbitkan mingguan Berita, ERA ketka mendirikan penerbitannya, Pustaka Cipta Sdn. Bhd , 1985. (5). Ahli Lembaga Pengelola, DBP, 1989 – 1992 dan dilantik semula pada awal tahun-tahun 2000an. (6). Perunding penerbitan bagi majalah terbitan Malaysia Toutism Board, (7). Ahli Mjlis Buku Kebangsaan, Kementerian Pelajaran Malaysia. (8). Ahli Lembaga Amanah Yayasan Penataran Ilmu. (9). Presiden Ikatan Penerbit-Penerbit Buku Bumiputera Nasional (10) Pengerusi Eksekutif Dasar Padu Sdn. Bhd. (11). Setiausaha Persatuan Penulis Nasional (PENA) 1969/1970. (12). Ketua Dua PENA, 1992 – 1994. (13). Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), 1978/1980.

Pencapaian : (1). Penyusunan semula Hkayat Cekel Waneng Pati oleh beliau telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai bahan bacaan tambahan yang baik untuk pelajar di peringkat sekolah menengah, 1967. (2). Terpilih melanjutkan pelajaran di Universitas Indonesia oleh DBP untuk mengikuti pendidikan khusus tentang masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian peringkat sarjana, 1970 – 1972. (3). Di peringkat antarabangsa, beliau menyertai Kongres Puisi Dunia ke-2 di Taipei, 1974. (4). Beliau diberi kepercayaan dan tanggungjawab sebagai Pengarah Persidanan Penulis-Penulis ASEAN yang pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, 1977. (5). Mewakili Malaysia ke Persidangan Bahasa Kebangsaan Negar-Negara Asia di Manila, Filipina, 1972.

Inovasi: (1). Sebagai penerbit, beliau mengambil inisiatif mempelopori penerbitan majalah berita mingguan pertama seumpamanya di Malaysia apabila ERA mula masuk pasaran pada Mac 1985. Walaupun majalah ini tidak kekal bertahan dan menutup tirainya dua tahun kemudian, , tetapi impaknya kepada masyarakat amat besar, terutama dari segi isu dan kandungannya yang mirip majalah Tempo di Indonesia, Time di Amerika Syarikat atau Asiaweek di Hongkong. (2). Pustaka Cipta pimpinan beliau mencadangkan penyelenggaraan program tv. Siri Ilham, 10 episod tentang pemikir dan cendekiawan Melayu dalam pelbagi bidang, terutama bahasa, sastera dan persuratan Melayu, 2002.

Kajian : Pada tahun 1972 beliau membuat kajian tentang novel-novel terbaru terbitan Indonesia melalui tesisnya yang berjudul “Manusia Dalam Pergolakan: Satu Analisis dan Tafsiran Novel-novel Indonesia 1966 – 1971”. Tesis kesarjaaan beliau ini adalah di bawah bimbingan pengkritik terkemuka Indonesia, H.B. Jassin.

Salah sebuah buku Dato' Baha Zain "Esei dan Puisi Baha Zain" edisi istimewa yang diterbitkan sendiri.

Penulisan : (1). Perempuan dan Bayang-Bayang , DBP, 1974. (2). Keranda 152, 1967. (3). Teluk Gong, 1967). (4). Dari Kertas Catatan Tengah Malam, 1978. (5). 10 Sajak, 1979. (6). Tiga Catatan Perjalanan, 1978. (7).Hikayat Bakhtiar, 1963. (8). Hikayat Umar Umayyah, yang kemudian menjadi buku teks perinkat SPM 1964. (9). Hikayat Cekel Waneng Pati, 1965. (10). Mendekati Kesusasteraan , 1975. (11). Esei Sastera Baharuddin Zainal, 1980. (12). Thee Sketches from a Journey, (Dwibahasa Melayu dan Inggeris), 1980. (13). Sejumlah 11 antologi puisi besama penulis-penulis lain, antaranya Bahasa Alam yang kemudian menjadi buku teks di peringkat SPM, Lagu Kehidupan dan Bintang Mengerdip.

Anugerah: (1). Anugerah SEA Write Award oleh Kerajaan Thailand, 1980. (2). Anugerah Penyair Gapena oleh Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), 1988. (3). Anugerah bintan kebesaran Darjah Cura Simanja Kini (PCM) oleh Sultan Perak, 1986. (4). Anugerah bintang kebesaran Darjah Kesasteria Mangku Negara (KMN) oleh Sulan perak, 1982. (5). Anugerah bintang kebesaran Darjah Paduka Mahkota Perak (DPMP), oleh Sultan Perak, yang membawa gelaran Dato’, 1998.

Tiada ulasan: