iDAN

05 Januari 2014

Pekan Kota Bharu Perak



Jangan salah faham... nanti marah pula orang-orang Kelantan bila saya menyebut Kota Bharu sebagai pekan lama. Kota Bharu yang saya maksudkan bukanlah ibu negeri Kelantan Darul Naim, tetapi adalah Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng didalam negeri Perak Darul Ridzuan. Rasanya bagi penduduk negeri Perak Darul Ridzuan juga agak asing dengan kedudukan pekan ini. Saya sendiri mengakui bahawa inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Kota Bharu ini. Mari ikuti catatan perjalanan saya. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita kongsikan.

Selepas sahaja keluar dari simpang pekan ke pekan Malim Nawar, saya meneruskan perjalanan saya ke destinasi seterusnya iaitu menghala ke utara. Sasaran saya ialah pekan Kota Bharu yang terletak tidak jauh dari bandar Gopeng. Namun untuk ke pekan ini kita kan melalui satu jalan yang sunyi. Hanya sesekali sahaja motosikal saya berselisih dengan kenderaan lain. Pada awalnya agak ragu-ragu juga diri saya untuk ke pekan ini. Namun saya gagahkan juga hati dan perasaan saya untuk melihat sendiri pekan kelahiran kartunis tersohor Malaysia ini iaitu Dato' Lat.

Sampai sahaja ke pekan ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah sunyi, sepi dan tenang. Namun dapat saya rasakan, dahulu ia sebuah pekan yang agak hidup dengan aktiviti penduduknya. Namun kini ia seolah-olah menunggu masa sahaja untuk mati. Sebuah balai polis yang pada saya agak besar tidak sesuai dengan saiz pekan ini menyambut kehadiran saya. Pelik juga saya... hanya beberapa orang manusia sahaja yang saya temui di pekan ini. Itupun memandang saya dengan pandangan yang tajam.

Balai Polis Pekan Kota Bharu

Pekan Kota Bharu bolehlah disifatkan sebagai sebuah pekan perkampungan. Setelah melintasi balai polisnya, nun jauh disana dapat dilihat sebuah jejambat merintangi pekan ini. akibat dari projek pembinaan  landasan berkembar. Dalam fikiran saya sudah pasti pekan ini akan terputus dua seperti yang terjadi terhadap pekan Malim Nawar dan Tanjong Malim. Tekaan saya tepat, memang pekan ini terputus dua. Namun sesuatu yang melegakan saya ialah, rumah kedai lamanya masih wujud dan masih boleh dilihat. Namun keadaannya agak uzur. Sempat saya merakamkan gambar-gambar kenangan rumah kedai yang terdapat di pekan ini.
 

Rumah kedai klasik yang masih terdapat di pekan Kota Bharu.
Dapat dilihat jejambat yang merintangi landasan keretapi 
yang memisahkan pekan ini kepada dua bahagian.

Rumah kedai di pekan Kota Bharu

Saya juga sempat meninjau kawasan di seberang landasan keretapi. Rupa-rupanya masih ada rumah kedai yang uzur. Ia kelihatan seperti sebuah kedai makan. Seperti biasa ianya tetap sunyi dan tiada manusia yang kelihatan. Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGUNG. Errmm.. ini mungkin bermakna satu ketika dahulu di pekan ini terdapat sebuah panggung wayang. Lokasinya tidak pula saya berjumpa.

Antara rumah kedai lama 

Papan tanda jalan yang tertulis JALAN PANGGONG 
di hadapan deretan rumah kedai lama

Apa yang menyedihkan ialah jalan-jalan di sekitar pekan ini adalah tidak berturap denganh sempurna. Malahan di sesetengah kawasan hanya jalan pasir sahaja yang ada. Pekan Kota Bharu kelihatan terlalu uzur. Namun demikian, terdapat sebuah klinik kesihatan kecil di pekan ini. Rasanya itu sahaja kemudahan kesihatan yang ada di pekan ini. Oleh kerana kedudukan pekan ini berhampiran dengan bandar Gopeng, secara tidak langsung penduk-penduduk di sini lebih selesa membeli - belah di bandar Gopeng. Saya tidak menjumpai pejabat pos di sini. Sebuah masjid yang agak besar menjadi bukti bahawa penduduk Kota Bharu adalah mejoritinya terdiri dari Melayu Islam.

Klinik Kesihatan Kota Bharu

Masjid Jamek Kota Bharu

Dari tinjauan didalam internet saya mendapati suatu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi di Kota Bharu. Besar juga harapan saya supaya stesen keretapi lama Kota Bharu masih wujud sebagai suatu tinggalan sejarah yang berharga. Namun demikian apa yang saya fikirkan itu tidak menjadi kenyataan. Sebuah stesen keretapi baru telah dibina bagi mengantikan stesen yang lama. Namun demikian stesen keretapi baru ini tidak lagi digunakan untuk penumpang tetapi khusus untuk perkhidmatan barang sahaja. Lesu fikiran saya. Nampaknya stesen-stesen keretapi lama semakin hilang dari pandangan.

Pintu masuk ke stesen keretapi baru pekan Kota Bharu

 Stesen keretapi Kota Bharu Perak baru yang
hanya mengendalikan perkhidmatan barangan sahaja.

Papan tanda stesen keretapi lama Kota Bharu
( http://zkeretapi.blogspot.com/ )
ejaan sebenar Kota Bharu bukan Kota Bahru.

Apa yang menarik perhatian saya ialah kewujudan bangunan-bangunan kuarters kerajaan lama yang masih berfungsi sehingga ke hari ini. Pada pandangan saya berkemungkinan bangunan lama ini dahulunya milik pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ). Namun kini ianya telah dijadikan sebuah taman asuhan kanak-kanak. Sebuah Dewan Masyarakat yang klasik juga boleh dilihat. Ia sebuah bangunan yang sunyi dan sepi. Lama saya berdiri di hadapan bangunan dewan ini. Ada sesuatu yang seolah-olah meminta saya memandangnya. Aahhh...secara tiba-tiba hati saya menjadi sayu sendiri. Saya sendiri tidak tahu kenapa.

Bangunan lama yang dijadikan taman asuhan kanak-kanak
dari pandangan atas

Bangunan lama dari pandangan sisi. Ia sangat klasik

Dewan Masyarakat Kota Bharu

Lama juga saya di Kota Bharu. Dari seberang landasan keretapi berkembar, saya memandang bangunan stesen keretapi Kota Bharu. Sunyi .... tiada lagi penumpang yang menunggu di situ. Pekan Kota Bharu juga semakin sepi. Terserempak saya dengan beberapa orang pekerja warga Indonesia yang senyum simpul melihat saya termangu dan termenung dipinggir landasan keretapi. Berapalah hayat rumah-rumah kedai yang masih tersisa di Kota Bharu ini, itu saya tidak tahu. Pekan-pekan kecil dan lama seperti ini bagaikan tempat menangis sendiri menunggu saatnya hilang ditelan zaman.

Saya bergerak meninggalkan pekan Kota Bharu  ketika hari sudah agak redup. Sepanjang perjalanan meninggalkan pekan ini fikiran saya kosong. Tidak ada apa-apa yang bermain di kepala saya melainkan cuma satu .... semoga saya ketemu lagi dengan pekan sunyi dan sepi ini. Sasaran saya selepas ini ialah pekan Kampung Kepayang. Motosikal yang saya naiki terus membawa saya dengan setia.

Di Kota Bharu ada rasa tenang yang sayu terjumpa disini. Hati bagai menangis melihat landasan lama menjadi saksi bisu kewujudan sebuah pekan kecil yang menunggu mati.... semoga ketemu lagi pekan Kota Bharu !!!!
 

1 ulasan:

sweetie berkata...

Sesuai sangat kalau dijadikan lokasi penerbitan filem yang bertemakan sebelum merdeka. Klasik!