iDAN

16 Ogos 2015

Tiga beranak maut, dua yatim piatu

Tiga beranak terkorban, dua lagi anak mereka kini yatim piatu. FOTO ihsan Hartati dan PDRM




Kuala Lumpur: Tiga beranak termasuk bayi perempuan berusia 7 bulan maut selepas SUV Pajero Sport dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua Perodua Myvi di Kilometer 6.3 Lebuhraya Duke arah Jalan Duta, dekat sini, 1.05 pagi tadi.

Fairuz Nizam Husain, 35, meninggal dunia di tempat kejadian, isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan berlaku apabila Pajero dipandu Fairuz Nizam berada di lorong tengah sebelum dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah Myvi menyebabkan Pajero itu terbabas ke sebelah kiri lalu dilanggar oleh sebuah lagi Myvi yang berada di lorong kiri.

“Akibatnya, Pajero itu berpusing beberapa kali. Pemandu dan semua penumpang tercampak di atas jalan raya.

“Pemandu Myvi di lorong kiri tidak cedera, manakala satu lagi pemandu Myvi cedera di mulut dan dirawat di HKL,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham Nova Safitri, Hartati Hassan Basri berkata, ketika kejadian dua lagi anak perempuan Nova Safitri Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, berada di rumah mentuanya dan dia serta suami dalam perjalanan mengambil mereka di Taman Batu Muda, Batu Caves.

Katanya, jenazah tiga beranak itu akan dikebumikan selepas Solat Asar ini di Taman Batu Muda.

myMetro 2 Mei 2015


‘Jaga amanah abang'

KUALA LUMPUR 2 Mei - tiga sekeluarga termasuk seorang bayi tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayinya, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga terbalik Pajero Sport yang dinaiki mangsa. Bagaimanapun dakwaan itu masih dalam siasatan pihak polis.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, kemalangan berlaku apabila Pajero Sport dipandu mangsa yang berada di lorong tengah bergesel dengan sebuah Perodua Myvi ketika mangsa hendak mengubah laluan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke sebelah kiri.

Beliau berkata, selepas terbabas, kenderaan mangsa dirempuh oleh sebuah lagi Perodua Myvi yang berada di lorong kiri.

“Akibat rempuhan yang kuat, kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan terbalik di atas jalan berkenaan sehingga menyebabkan kesemua mangsa tercampak keluar dari kenderaan yang dinaiki mereka.

“Pemandu Perodua Myvi yang memandu di lorong kiri tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu yang mula-mula bergesel dengan kenderaan mangsa mengalami cedera di mulut dan dirawat di HKL,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nadzri lagi, kedua-dua pemandu Perodua Myvi berkenaan telah diambil darah serta melakukan ujian saringan air kencing dan pihaknya sedang mendapatkan keterangan empat lagi pemandu yang turut terlibat.

“Mayat mangsa telah dihantar ke HKL untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Sementara itu, abang mangsa, Hamlizar Husain, 43, ketika ditemui pemberita di HKL berkata, sebelum kejadian, adiknya sekeluarga telah menghadiri majlis kenduri perkahwinan rakannya di Putrajaya.

“Sebelum pulang, dua lagi anaknya Nur Firuza Amira,7, dan Nur Firuza Aqila,4, meminta untuk ditinggalkan di rumah nenek mereka di Putrajaya dan dalam perjalanan pulang ke rumah ketiga-tiga mangsa terlibat dalam kemalangan.

“Seorang saksi yang membawa Nur Firuza Annisa ke HKL mendakwa yang dia terlihat sekumpulan enam pemandu Pe­rodua Myvi berlumba di atas lebuh raya berkenaan sehingga terlihat sendiri salah satu kereta tersebut melanggar kenderaan adik saya.

“Sejauh mana kesahihan dakwaan tersebut, kami serahkan kepada polis untuk menyiasatnya,” ujarnya sambil memberitahu seluruh keluarga terkejut dengan berita sedih itu kerana beberapa jam sebelum kejadian mereka baru berjumpa.

Utusan 3 Mei 2015


Enam pemandu Myvi diambil keterangan

KUALA LUMPUR 2 Mei – Polis sedang menyiasat dakwaan enam pemandu Myvi berlumba sesama mereka sebelum berlaku kemalangan hingga mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi mereka di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini awal pagi ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden S. Markandan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan enam pemandu Perodua Myvi terbabit bagi mengetahui punca sebenar kemalangan itu.

Menurutnya, dua daripada me­reka telah diambil keterangan selepas ditahan di tempat kejadian manakala empat lagi menyerah diri di Balai Tun H.S Lee kira-kira pukul 6.30 petang ini.

Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan seorang saksi yang turut berada di tempat kejadian.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian. Dakwaan berlaku perlumbaan juga sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu kenderaan pacuan empat roda Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayinya yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan beberapa blog yang menjadi viral di media sosial, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada enam pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa ahli Familia Myvi Club (FMC) yang sedang berlumba dan kemudian berlanggar dengan Pajero Sport yang dinaiki tiga beranak berkenaan.

Kenyataan itu menyebabkan ahli FMC dikecam hebat oleh pengguna laman sosial lain.

Turut tersebar dan menjadi viral ialah kenyataan seorang wanita dikenali sebagai Yana yang mendakwa mewakili kelab terbabit dan menafikan ahli FMC terlibat dengan perlumbaan itu.

Sementara itu usaha Mingguan Malaysia mendapatkan kenyataan daripada FMC mengenai dakwaan tersebut gagal.

Utusan 3 Mei 2015


Luluh hati abang...

Kuala Lumpur: Luluh hati seorang abang apabila melihat mayat adiknya terbaring kaku di atas jalan selepas kenderaan yang dinaiki bersama isteri dan bayi mereka terbabit dalam kemalangan, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian di Kilometer 6.3 Lebuhraya DUKE, jam 1.05 pagi itu, Fairuz Nizam Husain, 35, disahkan terbunuh di tempat kejadian manakala isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan anak mereka yang berusia tujuh bulan Nur Firuza Annisa meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Abang Fairuz Nizam, Hamlizar Husain, 43, berkata dia menerima berita buruk itu daripada seorang anak saudaranya yang kebetulan melalui jalan berkenaan kira-kira jam 1.30 pagi.

Sebaik menerima berita itu, katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat adiknya dan isteri terbaring di atas jalan sambil dibantu pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Ketika saya sampai, seorang pengguna jalan memberitahu anak adik saya dibawa orang ramai ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

“Saya tidak dapat pastikan cerita sebenar kejadian, tetapi ada saksi yang memberitahu saya bahawa kedua-dua kenderaan yang melanggar kereta adik saya itu dipandu laju,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HKL, semalam.

Adik Fairuz Nizam, Faiznurr Asyraf, 25, pula berkata, arwah pernah berpesan kepadanya supaya menjaga syarikat pengurusan acara milik keluarganya jika dia sudah tiada.

myMtero 3 Mei 2015


Pemandu Myvi mengaku tak salah

Kereta Perodua Myvi warna putih (kiri) dan Myvi warna kuning yang didakwa terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya DUKE, Kuala Lumpur mengorbankan tiga beranak pada Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Dua pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa menyebabkan kematian tiga beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam.

Tertuduh, Siti Noor Aini Mohd. Said, 35, penolong pengurus restoran, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, juruteknik komputer bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd. Nayan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh ma­sing-masing didakwa memandu kereta Perodua Myvi secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam di Kilometer 6.2 Lebuh Raya DUKE dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini pada pukul 1.05 pagi 2 Mei lalu.

Siti Noor Aini yang memandu Perodua Myvi warna kuning manakala Mohammad Fizal yang memandu Perodua Myvi warna putih didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Kosmo 9 Mei 2014

Tiada ulasan: