iDAN

10 Februari 2006

Suram 6 Februari ii Belenggu ISO

10.2.2006

Kilat masih sambung-menyambung; awan pekat likat; sesekali angin basah mengimbas diri. Hati masing-masing berbelah bagi, sedih, murung, sesal, marah perbagai bercampur-baur.

Marah sebab aku terdengar suara dari mulut ke mulut; kata isteri arwah, dia tuduh arwah tak bertanggungjawab. Tak mahu bertanggungjawab membesar anak-anak mungkin itu maksudnya; Maka itu arwah mengambil jalan pintas mengantung diri; Dalam hatiku berkata, selain sebab tekanan kerja yang pernah arwah cerita kepadaku;

ISO contohnya yang berterusan kena dibereskan sendirian; memang di makmal dia seorang saja kena membereskan semua, borang ISO bukannya sedikit, kelas amali, projek pelajar, dia juga kena jaga pinjaman buku projek pelajar. Bebanan hutang; kereta & van isterinya dia yang jadi penjamin, masalah anak-anak; teringat masa anak-anaknya kena deman campak, masa itu isterinya dah mula liar; jarang ada di rumah. Dia sendirian menjaga anak, tu yang Anuar marah sangat dengan bosnya Zaman, bila dia ngadu masalah rumah tangganya, ayat yang paling mudah... semua orang tahu ayat lepas diri;

"Jangan campur-adukkan masalah keluarga dengan kerja!"

& lantaran terlalu sayangkan isterilah arwah membuat keputusan sebegitu. Selebihnya mungkin lantaran iman, syaitan bila dapat menyelusup ke dalam diri & hati memang payah kita tepis pujukan ia agar kita tersesat. Mahunya aku & teman-teman tak marah bilamana mendengar ucapan isteri arwah begitu.

"Dia suami yang tidak bertanggungjawab."

Isk aku kenal lama arwah, tak mungkin arwah sebegitu. Sakitnya hatiku bilamana dalam waktu sedih bungkam begini boleh diandaikan Arwah Nasha begitu.

Mahu tidaknya sebagai umat Islam pemergian secara menggantung diri memang tak siapa dapat menerimanya. Cuma terubat rasa putus asa melalui kata-kata Iman di sini;

"Janganlah kita persoalkan cara pemergian arwah, kita yakinkan hati yang arwah pergi dalam keadaan TAK sedar diri; bukan mustahil arwah dalam kerasukan. Bila kerasukan memang seseorang itu akan hilang ingatan. Orang yang hilang ingatan memang terlepas dari hukum-hakam; umpama orang gila, memang dia akan terlepas dari hisab di akhirat nanti. Harapan kita yang hidup begitulah, biarlah antara dia dengan Tuhan."

Jenazah arwah selamat dimandikan & dikapankan; selamat disembahyangkan dalam suasana yang amat suram. Suram sesuram-suramnya. Jua amat tragis.

Kekinian aku telah berada di dalam kereta jenazah. Depan sekali Tuan Syed Abg Rahman (pensyarah KKK), abg ipar arwah aku di belakang sekali. Di bangku depan cuma pemandu & Pak Iman Muda. Keset bacaan suci al-Quran dimainkan. Hari semakin menjelang senja. Satu kejadian aneh berlaku, entah dapat maklumat mana pemandu van jenazah boleh bawa arwah tawaf ke fakulti, kami tertanya-tanya juga kenapa mesti ke fakulti. Dia kata tadi ada orang suruh dia ke fakulti tidak terus ke Tasik Raban Perak. Isk! siapa orang tu, tak ada siapa pun yang menunggu di fakulti.

Emm! dalam hatiku berbisik memang kuat badinya orang meninggal sebegini, mungkin roh arwah masih sayang sangat nak meninggalkan makmal dia, mahu jasadnya lama bersemadi di sana; atau nak lihat syaitan yang menghasutnya tengah berpesta gembira ke? Lantaran berjaya memesungkan satu jiwa anak Adam.

Bau setanggi & kapur barus memang likat menyusut hidung, kami meninggalkan fakulti menjelang maghrib sebaik saja tiba di tol UPM bergemalah azan serentak itu penutup keranda kain yang bertulis ayar al-Quran terjatuh ke lantai. Kemungkinan ketika itu jalan tak rata, atau keranda yang memang licin, atau entahlah. Jadi kami terpaksa menyelimutkan semula keranda pun terpaksa memegangnya sepanjang perjalanan. Siren kereta jenazah dibunyikan sepanjang lebuh raya menuju utara, di belakang ada dua buah Pajero mengekori. Aku tertanya-tanya mana perginya Tok Perak katanya dia ingin sekali mengiringi jenazah. Tak pasti siapa yang bersama dengan dua buah Pajero itu, yang tentu ada, Meor, Man, & Fairus sebab mereka memang satu jabatan KPM. Bila telah melepasi KL siren dihentikan sebab kenderaan dah mula reda.

Cermin van jenazah tersebut memang gelap. Hujan tak henti, kejap lebat kejap renyai-renyai. Aku cuba juga meninjau ke luar... emmm tak nampak apa-apa pun. Keset al-Quran pun dah senyap, sunyi amat abang ipar arwah tak bersuara, Tuan Syed nampak ada wuduk tengah sembahyang duduk. Mungkin dia jamak Isyak ke Magrib. Bau kapur barus memang melemaskan aku, aku terus melayan fikiran.

Teringat bagaimana arwah bersama aku mencari rebung di jeram belakang taman perumahan kami. Teringat bagaiman arwah memang mahir mengikis batang rebung tersebut di aliran air jernih. Aku, Tok Perak, Atan, Abang Din, Abang Soib dan Kamal memang pernah bersama arwah meredah hutan, mencari rebung, pucuk paku, pucuk ubi & jantung pisang. Kami memang rajin ke sana sewaktu cuti, malahan jika putus sayur arwah selalu bercerita padaku dia pergi bersama anak-anak ke hutan tersebut mencari rebung, pucuk paku dan lain-lain. Tok Perak memang rajin menerang hutan tiapkali kami ke sana, ladang pucuk paku kami memang semakin luas. Tapi sayang ladang kami itu kini hampir pupus dimusnahkan oleh Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn Bhd (“SILK”), betul-betul merentas tempat kami selalu bersantai.

Terlampau sepi, cuma deru van jenazah, sesekali silau lantaran cahaya kilat; hujan tak henti-henti; terasa makin sebak dada mengenang Arwah Nasha. Aku bersuara mengajak abang ipar arwah berbual, tak mampu lagi mengisi kesepian yang maha panjang; apatah lagi memikirkan perjalanan amat jauh lagi. Emmm... abang ipar arwah jenis orang sepatah tanya, sepatah menjawab, jadi memang tambah lama amat rasanya perjalanan mengiringi jenazah ini....

- bersambung

Klik Suram 3

Posted on 10.2.2006 at 2:29 AM

Tiada ulasan: