iDAN

06 November 2008

MMms18 Cuaca suram (Singgahsana)

Lim Apek 2025 telah keluar dari kamar doktor. Tengah menunggu ambil ubatnya. Dia aku lihat masuk semula ke bilik air. Berasap lagilah tu!. Abg yang gempal juga telah pun ketemu doktor pakar. Nampak isterinya telah ada di sebelahnya. Samalah dengan Lim Apek 2025.

Bilamana Lim Apek 2025 ini telah tiada memang terasa sunyi tempat menunggu di Wad Kecemasan ini. Aku lihat di luar cuaca semakin beransur gelap. Telah hampir maghrib. Bayang Mila & anak-anak tak muncul-muncul. Aku terbayang kapcai aku nun jauh di PKupm. Tak kan aku mahu menatap nanti, jauh tu, kalau nak dekat kena panjat pagar ladang UPM. Silap-silap kena belantan jaga UPM nanti. Huh!.

Aku sempat menyapa cikgu yang gempal tadi.

"Doktor kata tak bahaya, tapi dia suruh saya datang lagi 3 bulan nanti; kalau apa-apa kecemasan cepat rujuk ke hospital ini"

"Baguslah macam itu cikgu!"

"Tapi saya ingat nak jumpa juga doktor pakar lain, tiga bulan itu terlalu lama rasanya!" Aku juga rasa begitu, ketika masalah batu karang dulu pun bagitu. Di hospital kerajaan ramai sangat pesakitnya terpaksa menunggu dua atau tiga bulan. Lainlah sudah kronik sangat. Hospital kerajaan memang tidak cukup doktor. Kerajaan perlulah memikirkan masalah ini dengan serius.

Menjelang maghrib barulah agak laju nombor giliran bergerak. Pastinya telah ramai doktor yang bertugas. tapi asyik nombor yang bermula dengan 2++ sahaja. Doktor sudah lupa kut! nombor aku 1015. Azan bergema selang beberapa ketika terbit nombor 1016. Pulak. Memang menaikkan tekanan darahku. Aku bangun menuju ke kamar doktor. Mengetuk pintu.

"Doktor bila nombor ini nak dipanggil doktor, saya menunggu sejak pagi tadi!" Aku menunjukkan nomborku, Doktor Melayu nampak muda sekitar 30an kut!.

"Maaf! lepas ini nanti saya panggil" Wajah selamba. Aduh! memang menguji kesabaran.

Abg Rustam dapat cuti seminggu, sukanya dia. Nampak ceria di wajahnya. Tapi dia kena datang ke hospital esok untuk doktor mengambil sempel apa pun aku tak tahu. Dia memohon diri & mendoakan agar aku sembuh segera.

7:34 malam barulah
1015 nombor keramat. Congaklah berapa lama aku menunggu untuk ketemu doktor sejak 11:44 pagi tadi. Aku masih melihat pintu utama kut! kalau nampak kelibat Mila, masih tiada. Aku meminum lagi air isotonik yang hampir ke titis akhir.

"Okey, tekanan darah Encik sudah normal!" Aku nampak 135/79
mmHg. Bagus.

"Saya boleh balik tak doktor atau kena tahan di wad?"

"Boleh balik, kalau ada apa-apa cepat datang kembali ke sini, ini saya kasi ubat untuk encik makan!'

"Memang beginikah setiap hari doktor, lama sangat pesakit terpaksa menunggu!"

"Tak juga, kadang-kadang kalau tidak banyak ada kemalangan, cepatlah kami dapat merawat!."
Mungkin alasan, mungkin juga benar. Pembantu Perubatan pun kasi tahu hari ini banyak kemalangan jalan raya. Doktor dua orang yang ada terpaksa menumpukan perhatian kepada pesakit yang agak kronik itu.

"Terima kasih doktor..." Aku bersalaman & menuju ke kaunter ubat. Huh! tak sampai pun 15 minit ketemu doktor pelbagai ceritera aku temui.

Aku menuju ke Surau untuk solat maghrib. Terus menelefon Jenaris.

"Siapa ini? ... Azim ke?"

"Azim, nak cakap dengan ibu ke ayah!"

"Panggil ibu!"

"Kejap Azim panggil dia atas sembahyang kut!" Agak lama aku menunggu, tak kisahlah sebab di telefon awam hanya aku seorang. Orang sekarang sudah kaya, semua guna telefon bimbit. Sudah tak sanggup kut nak dail telefon awam. Payah guna siling.

"Mila jemput ayah Mila, laparlah amat ini, kapcai ayah di UPM, malam-malam siapa nak tolong jemput ayah!.."

"Tak kan tak boleh naik bas, kawan ayah yang dekat situ tak ada ke?, Mila mana reti nak ke Hospital tu malam-malam macam ini... bla, bla, bla.." Aduh! si Mila ini, bukan risau suami ditahan di Wad Kecemasan, nak jemput si Suaminya kena marah. Tak tanya pun tentang sakit, tak tanya pun kenapa tak jadi di tahan di wad. Kau tanggunglah sendiri duhai nasib badan!.




Tiada ulasan: