iDAN
02 November 2008
Jawablah!: 'Susu diberi, tuba dibalas' (Hiburan)
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
Ifa Raziah
BARANGKALI akan ada yang beranggapan bahawa penyanyi Ifa Raziah cuba menegakkan benang yang basah apabila dia tampil memberi kenyataan balas atas dakwaan dia menganiaya pembantu peribadinya (PA), yang bernama Nurul Husna seperti yang disebarkan menerusi e-mel baru-baru ini.
Maklumlah, sebelum ini pun memang ramai yang melabelkan Ifa sebagai artis mulut laser, panas baran dan kaki gaduh. Jadi apabila cerita seperti ini timbul, tentunya mereka yang selama ini mempunyai persepsi buruk terhadap Ifa akan lekas mempercayainya.
Bagi mereka yang berpeluang membaca isi kandung e-mel itu, pasti akan terkejut kerana tidak menyangka, artis mudah didekati serta peramah ini bersikap sedemikian kepada seseorang yang pernah membantunya suatu waktu dulu.
Biarpun pada permulaannya, Ifa enggan memperbesarkan perkara itu kerana tidak mahu ia menjadi kecoh, namun mengenangkan imejnya sebagai pelakon serta ahli perniagaan sudah tercalar gara-gara cerita itu, Ifa merasakan sudah tiba masanya untuk dia bangkit menceritakan keadaan sebenar.
Sambil ditemani suami yang merangkap pengurusnya, Ahmad Yani, si pelantun lagu Panas serta pengasas produk kecantikan Serifa ini meluahkan segala yang terbuku di dada dengan harapan, arang yang terconteng di wajahnya ketika ini dapat segera dipadamkan.
Hip: Benarkah dakwaan yang mengatakan Ifa Raziah menganiaya bekas pembantu peribadi. Bagaimana isu ini boleh timbul?
Ifa: Saya sebenarnya sudah lama tahu pasal e-mel ini tetapi malas hendak memperbesar-besarkan kerana tidak mahu mengecohkan keadaan. Tetapi, apabila dia (Nurul) bertindak menyebarkan cerita ini kepada media, saya rasakan perbuatan itu sudah melampau. Bayangkan, bagaimana saya hendak mengadap muka kawan-kawan, rakan perniagaan, pelanggan saya apabila mereka membaca cerita yang kononnya Ifa Raziah menganiaya pembantu peribadinya. Saya berani memberi jaminan bahawa apa yang diceritakan dalam e-mel itu sememangnya tidak benar, berbaur fitnah dan cuba memburukkan saya dan suami. Walaupun saya sering membawakan watak jahat dalam drama namun saya tidaklah sekejam yang didakwa. Terus terang, apabila cerita itu keluar di akhbar, saya tertekan. Sudahlah anak saya sakit dan sedang dirawat di hospital. Ditambah pula terpaksa berdepan dengan cerita seperti ini. Memang rasa malu sangat kerana satu Malaysia tahu cerita itu.
Hip: Bolehkah orang percaya dengan cerita Ifa ini memandangkan sebelum ini memang banyak cerita negatif mengenai Ifa yang dipaparkan media.
Ifa: Baiklah, memandangkan maruah saya dan suami sudah tercemar gara-gara e-mel yang ditulis Nurul itu jadi saya mengambil peluang ini untuk menceritakan segala-galanya supaya orang di luar sana tahu siapa yang salah dan siapa yang benar. Saya ingin kupas satu demi satu dakwaan yang dilemparkan menerusi e-melnya itu. Saya akui, Nurul memang bekas pembantu peribadi saya. Dia mula kerja dengan saya pada bulan Julai lalu. Saya akui dialah orang yang membantu saya dengan meminjamkan bilik sewaktu peristiwa hitam di Genting Highlands, awal tahun lalu dan saya tak pernah lupa akan jasanya itu. Dalam e-mel itu, dia mendakwa yang saya masih berhutang dengannya kerana tidak mahu membayar gajinya selepas teruk bekerja. Di sini saya ingin menyoalnya balik, sejak bekerja dengan saya, berapa hari yang betul-betul dia berkhidmat dengan saya? Terus terang, sepanjang empat bulan dia menjalankan tugas sebagai PA, jumlah hari bekerja yang sepatutnya dilakukan amat sedikit. Pendek kata, tak berbaloi dengan gaji yang saya bayar. Saya ingin membuat pembetulan di sini. Saya sebenarnya tidak pernah menyuruh dia berhenti kerja di butik seperti yang didakwa. Mengenangkan dia pernah membantu saya, jadi saya ada tawarkannya bekerja secara sambilan dengan saya terutama pada waktu hujung minggu. Maklumlah, si Nurul ni bukan saja seorang pelajar yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi tetapi dia juga sudah berkahwin. Jadi saya memahami jadualnya yang padat. Itu yang saya tawarkan dia bekerja secara sambilan. Namun tak sangka pula dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan ingin mengikut saya. Memandangkan dia yang buat keputusan, saya pun okaylah. Melihat dia sudah tidak bekerja di butik, saya pun memasang niat untuk menjadikannya PA sepenuh masa saya. Iyalah ketika inipun rezeki saya dalam bidang lakonan murah, jadi teringin hendak menggunakan PA. Tapi tak sangka pula si Nurul ini seorang yang banyak sangat alasan. Setiap kali bila saya ada tugasan yang memerlukan dia berada di sisi, pasti ada saja alasannya untuk tidak mahu turut serta. PA apa macam itu? Boleh dikatakan, dalam sebulan, jumlah hari bekerjanya adalah dalam 4, 5 hari. Jadi cuba fikir, nak kira gaji macam mana? Tapi tak kisahlah dan saya cuba untuk bertolak ansur kerana memahami statusnya sebagai pelajar dan juga isteri. Namun, tak sangka pula susu yang kita bagi, tuba yang dibalasnya.
Hip: Bagaimana pula dengan isu tak bayar gaji?
Ifa: Seperti yang saya katakan tadi, dalam sebulan adalah dalam 4 atau 5 hari saja dia bekerja. Jadi takkan saya hendak bayar dia gaji penuh macam orang kerja sebulan. Saya bayarlah ikut hari. Tapi, saya tak pernah lupa bagi duit minyak padanya. Dia juga mendakwa yang kononnya dia bekerja selama 14 jam gara-gara ikut saya shooting Spa Q. Saya akui, ada satu hari itu penggambaran memang ambil masa lama tapi tahu tak apa yang dilakukannya sepanjang saya shooting tu. Dia bukannya berada di sisi saya serta membantu apa yang patut. Sebaliknya, dia tidur dan dia sendiri yang mengaku yang dia tidur. Tapi saya tak adalah marah dia. Dia sepatutnya beruntung dapat majikan macam saya. Cuba kalau artis lain yang pembantunya tidur sewaktu dia sedang bertungkus lumus di lokasi, sah-sah dah kena hamun di situ juga. Itu belum masuk bab saya biarkan dia ambil duit hasil jualan hamper saya. Ketika musim perayaan tempoh hari, saya ada juga memintanya jualkan hamper saya pada kawan-kawannya, tetapi saya tak ambil wang itu. Sebaliknya, saya berikan semua padanya. Apalah sangat duit itu berbanding dengan jasanya yang pernah membantu kami. Tapi itulah, dia masih tak sedar diri lagi dan menuduh kami macam-macam.
Hip: Jadi apakah Ifa akan melunaskan hutang Ifa padanya?
Ifa: Sebelum dia berhenti kerja pada 19 November lalu, dia ada memberikan kami surat. Rupa-rupanya isi kandung surat itu adalah luahan perasaan tidak puas hatinya terhadap kami berdua. Malah dalam surat itu dia sudah buat kira-kira, berapakah baki gaji dia yang kami belum lunaskan. Selepas ditolak dengan apa yang kami sudah berikan sebelum ini, baki yang tinggal adalah RM405. Bukan kami tak nak bayar tapi, suami Ifa kata kalau dia hendak sangat baki gaji itu, dia boleh berikan tapi dengan satu syarat, suami Ifa ingin bertemu dengan dia serta suaminya sendiri. Kami mahu bersemuka dengannya dan kami ingin dia menjelaskan beberapa perkara yang dicatatkan dalam surat setebal sembilan muka surat itu? Kami memang bengang sangat sebaik saja kami baca surat itu. Macam-macam perkara yang dibangkitkannya termasuk perkara yang tak ada sangkut paut dengannya. Yani sendiri ada menghantar SMS pada dia, meminta supaya kita bersemuka. Malah kami sanggup menambahkan jumlah wang menjadi RM450 asalkan dia datang berjumpa dengan kami dan menjelaskan apa tujuannya memburuk-burukkan kami.
Hip: Bagaimana pula dengan isu melayannya seperti binatang?
Ifa: Itu juga tidak benar. Kalau betul saya melayannya seperti binatang, sudah lama badan dia lebam-lebam atau saya simbah air panas padanya. Tapi tak pula berlaku. Dan kalau betul, sudah lama orang gaji saya di rumah itu menerima nasib yang sama. Saya tahu dia tak puas hati dengan saya sebab saya suka jerit atau marah padanya. Tapi cuba fikir, macam mana saya tak marah kalau dia berkelakuan tidak senonoh? Bayangkan, macam mana saya tak jerit kalau setiap kali saya memerlukannya, dia berada di tempat lain. Contohnya sewaktu shooting Spa Q, sudahlah lokasi penggambaran itu dilakukan di sebuah rumah yang teramat besar. Jadi apabila saya memerlukannya untuk mencari barang atau sediakan skrip dan dia hilang entah ke mana, terpaksalah saya menjerit untuk memanggilnya. Rupa-rupanya di sibuk melayan kru produksi bertugas. Saya bukannya apa, dia itu isteri orang. Saya tak mahulah suaminya menyangka yang bukan-bukan serta menuduh saya tak pandai jaga isterinya. Tapi itulah, dia tak boleh terima teguran. Selepas melihat perbuatan dan tindakannya, saya dapati dia sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya tugas seorang PA. Malah kalau hendak dibandingkan dia dengan PA orang lain, bezanya macam langit dengan bumi. Orang lain setia menunggu di sisi majikan mereka tapi si Nurul ni suka menghilangkan diri. Kalau tak dipanggil, tak nampak batang hidung.
Hip: Serik untuk menggunakan khidmat PA pada masa akan datang?
Ifa: Terus terang, saya memang serik nak gunakan khidmat PA. Bayangkan sepanjang lebih sedekad menjadi anak seni, Ifa tak pernah guna khidmat PA. Sebelum ini pun suami yang banyak bantu. Ingatkan hendaklah merasa bagaimana rupanya bila ada pembantu. Ingatkan kerja makin senang, rupanya lagi menambahkan masalah. Lagipun memang sebelum ini Ifa malas hendak menggunakan khidmat PA lebih-lebih lagi wanita dan sudah berkahwin sebab Ifa tahu, mereka ada banyak komitmen tapi mengenangkan jasanya yang membantu kami, saya ambillah dia bekerja. Sebenarnya ada banyak benda yang berlaku sepanjang dia bekerja dengan saya. Cerita duit kami hilang sebanyak RM1800 yang pada ketika kejadian itu berlaku, beg tangan saya berada dalam jagaannya. Tapi kami tak pernah bertanyakan hal itu kerana tidak mahu dia menyangka yang kami menuduhnya. Kejadian itu berlaku pada bulan puasa lalu. Jadi apabila dia mereka-reka cerita dan mendakwa kami dengan pelbagai tuduhan menyakitkan, itu adalah perkara yang amat menyedihkan kami.
Berita Minggu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan