Keringkasan gaya yang bebas daripada tarikan komersial pulau yang keterlaluan boleh dirasai di D’Coconut Island Resort.
Siapa kata pulau ini tiada tarikannya? Bayangkan percutian tiga hari dua malam, tidak sibuk dengan kunjungan ramai hingga mengganggu ketenteraman, serta gaya hidup pulau yang masih dijaga.
Pendek kata, tuntutan komersial destinasi ini belum sampai menjejaskan tarikan kesederhanaannya.
Pasti ramai yang bersetuju betapa banyak pulau peranginan di negara ini terlalu pesat dibangunkan sehingga hilang identiti perkampungan gaya pulau.
Maka, dalam pencarian suasana yang tenang biarpun dalam musim kemuncak, EKSTRA mengesyorkan Pulau Besar di Johor.
Hanya tiga buah pusat penginapan utama beroperasi di pulau ini. Kesemuanya setara dari segi layanan dan perkhidmatan, D'coconut Island Resort adalah yang paling disebut-sebut dalam banyak catatan pengembara bebas.
Di atas halaman rumput hijau yang dikepung pagar kayu rendah yang ringkas, D'coconut Island Resort menjanjikan konsep istirehat dalam tema penginapan berkonsep rumah Melayu tradisional.
Sambil melepaskan nafas lega selepas mengharung perjalanan dengan bot dari Mersing, naungan atap rumbia di ruang masuk resort begitu melegakan. Apatah lagi minuman kepala segar dan sejuk dihidangkan.
Menurut pemilik dan pengarah resort, Wan Suhaimi Ahmad, resort itu telah melalui proses penambahan dan baik pulih dari semasa ke semasa. Pada awalnya, operasi hanya dimulakan dengan 10 buah bilik penginapan.
Antara yang boleh dilakukan sepanjang menginap di resort ini tentunya aktiviti riadah dan rekreasi seperti bersnorkel, berkayak, bermain bola sepak dan bola tampar pantai.
Kalau bukan menghabiskan waktu bermandi-manda di hamparan pantai yang landai, tentunya aktiviti rentas hutan menjadi pilihan.
Lebih menarik, keseronokan bermain air tanpa perlu bimbang pada ketidaktentuan arus dan ombak boleh disertai oleh seisi keluarga di sebuah kolam renang.
Disediakan bersama binaan pancuran air besar, ia nyata membuatkan anak-anak kecil gembira dalam perhatian orang dewasa. Sebuah bar pinggir kolam sedia melayani mereka yang dahaga.
Ingin mengenali Pulau Besar secara praktikal dan sihat? Pasti sesiapa pun bakal bergembira seandainya berpeluang mengayuh basikal bersama teman-teman dan ahli keluarga di sepanjang laluan utama di sepanjang pantai.
Perkhidmatan tipikal yang disediakan pengusaha resort ini semestinya pilihan popular.
Sambil mengayuh dan berkejar-kejaran, nikmatilah kesunyian pulau yang hanya diserikan landskap rimba dan pohon-pohon kelapa, sahutan ternakan peliharaan orang tempatan serta udara yang segar.
Itulah antara definisi ringkas sebuah percutian pulau.
Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan