Apr 23, 09 3:18pm |
Dalam emel satu sumber istana yang dikirim kepada laman berita tersohor republik itu semalam, Manohara Odelia dilaporkan sangat dicintai suaminya dan tidak mungkin berlaku penderaan seperti dakwaan ibunya, Daisy Fajarina.
"(Kerabat diraja) itu bukan jenis begitu," emel tersebut dipetik akhbar web itu.
"Mano lagi bahagia. Malah sudah gemuk lagi," seorang kerabat Kelantan yang enggan disebutkan namanya dilaporkan berkata.
Di Kelantan, menurut Detik.com lagi, pasangan Manohara Odelia bersama suaminya "dikenali baik dan murah hati".
"Very humble (sangat merendah diri). Mereka memang fall in love (saling jatuh cinta), dari hati suci," emel itu dipetik.
'Baik-baik saja'
Dalam laporan berasingan hari ini, akhbar web itu juga melaporkan "keadaan Manohara Odelia baik-baik saja" sewaktu kedutaan republik itu menghubungi istana Kelantan.
Diminta mengulas isu penderaan, duta besarnya Da'i Bachtiar dipetik berkata:
"Itu kan masih informasi yang belum kita lihat secara langsung.
"Upaya yang kita lakukan, kita berkomunikasi dengan Sultan Kelantan, ya katanya kondisinya (Manohara Odelia) baik-baik saja."
Sementara itu, agensi berita rasmi Indonesia melaporkan wanita muda itu "tiada tanda-tanda diseksa" sewaktu tampil di majlis rasmi bersama isteri-isteri wakil rakyat Kelantan, 18 April lalu.
Maklumat itu diperolehi daripada sumber wartawan-wartawan yang hadir di pertemuan tersebut yang diadakan di hotel Grand Riverview.
"Dia (Manohara Odelia) memperkenalkan diri kepada isteri-isteri wakil rakyat Kelantan. Manohara sendiri hadir bersama dengan suami.
"Tidak ada tanda-tanda beliau disiksa," seorang wartawan di Kota Bharu, Kelantan dipetik Antara petang ini.
Ramai wartawan yang hadir pada majlis itu "dan melihat langsung Monahara dalam keadaan sihat walafiat", lapor agensi itu lagi.
Daisy, dalam sidang media di Jakarta pada Isnin lalu, mendakwa anak bongsunya pernah dilukakan di bahagian dada.
Beliau juga dilaporkan mendakwa mempunyai bukti penderaan tersebut dan maklumat mengenainya disampaikan oleh orang istana sendiri yang bersimpati dengannya.
"Anak saya disiksa, di bagian dadanya disilet (ditoreh) silet.
"Itu yang ngomong dari pihak dalam istana yang punya hati nurani dan nggak (tidak) tega melihat penderitaan anak saya," wanita itu dipetik sebagai berkata.
Dalam perkembangan berkaitan, Harian Metro hari ini melaporkan pihak istana sedang meneliti dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap kerabat tersebut.
Pengelola istana itu Datuk Abdul Halim Hamad dipetik berkata kenyataan itu mungkin akan dikeluarkan hari ini.
Malaysia Kini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan