iDAN

23 April 2009

Blog: Tidak benar Manohara derita (Ceritera)


Jimadie Shah Othman
Apr 23, 09
1:41pm
kemaskini 5.20pm Tidak benar Manohara Odelia Pinot menderita bersama suaminya, seorang kerabat diraja Kelantan, seperti didakwa oleh ibunya Isnin lalu, demikian menurut dua blog Malaysia hari ini.

Satu lagi koleksi foto bekas model muda Indonesia itu, termasuk yang didakwa terbaru, kini dimuatkan di blog Truth Appeared selepas siri foto yang diterbitkan sejak minggu lalu.

Koleksi foto tersebut termasuk sewaktu Manohara Odelia menghadiri satu majlis bersempena Keputeraan Sultan Kelantan.

Di atas gambar itu - yang menunjukkan beliau sedang bersedia menari poco-poco - tertera tarikh 29 Mac lalu.

Selain sembilan keping foto, blog yang tidak mendedahkan identitinya itu meninggalkan catatan:

"Gambar-gambar di bawah adalah foto setelah Manohara pulang dari umrah, lihatlah ini bukan gambar yang di-superimposed.

"Ini adalah gambar benar, tulen, maka dustalah berita yang mengatakan 'Pangeran Kelantan Aniaya Manohara'.

"Pihak-pihak yang menyiarkan berita dusta diharap perbetulkan untuk kebaikan antara dua negara."

Mesra dengan suami

Pasangan diraja itu pulang daripada umrah 9 Mac lalu.

Penampilan Manohara Odelia sentiasa kelihatan bersopan, mesra, dihormati dan tidak lekang dengan senyuman manis.

Beliau bahkan, disambut penduduk tempatan seperti seorang selebriti.

Sekeping gambar bertarikh 31 Mac lalu menunjukkan orang ramai berebutan untuk mengambil gambar dan bersalaman dengan wanita muda berusia 17 tahun itu.

Sementara gambar yang didakwa diambil selepas Manohara Odelia pulang daripada mengerjakan umrah memperlihatkannya sedang menyerahkan hadiah kepada seseorang, sambil disaksikan orang ramai.

Kelihatan seorang jurugambar dalam program itu merakamkan peristiwa itu.

Manakala dalam foto santainya pula mempamerkan hubungan mesranya dengan suami.

Sekeping foto bertarikh 8 April – terbaru dalam koleksi itu – Monohara Odelia dilihat dipimpin suami dan seorang perempuan ketika mengharungi semak-samun.

Malukan istana

Gaya kasualnya itu nyata berbeza dengan kehadirannya dalam majlis rasmi. Beliau kali ini hanya mengenakan jeans ketat biru dan kemeja T putih.

Rambut panjangnyanya yang hampir separas pinggang dilepaskan, menjadikannya kelihatan ayu.

"Sayang sang suami pada isteri. Halanglah usaha untuk memisahkan mereka berdua," coret penulis blog di bawah gambar itu.

Sementara foto 4 April lalu memperlihatkan gadis kacukan Perancis-Indonesia itu sedang menjalani latihan menembak.

Suaminya berkemeja T merah, berkaca mata putih dan bertopi hanya memerhatikan isterinya.

Blog Yang Kudengar dan Kulihat pula memuatkan sekeping foto mesra pasangan diraja itu - kelihatan Manohara Odelia sedang berbisik sesuatu kepada suaminya di satu majlis - yang bertarikh 5 April lalu.

Penulisnya Mohd Soberi Shafii, yang mendakwa kenalan dekat kerabat tersebut, berkata gambar itu "dengan sendiri menafikan bahawa (kerabat tersebut) bertindak kasar terhadap isteri yang dihebohkan oleh media di Indonesia."

"Berita yang sengaja diada-adakan untuk memalukan keluarga istana Kelantan.

"Adalah diharapkan urusan keluarga dapat diselesaikan dengan baik, seeloknya pihak media tidak memburukkan suasana keharmonian di antara Mano dan (kerabat tersebut)," tambahnya.

"Perpisahan di antara (emak Manohara) Ibu Disey dengan anaknya Manohara bukan bererti meraka tidak lagi akan bertemu, perpisahan ini adalah perpisahan mata, bukannya perpisahan hati.

"Perpisahan berlaku itu tentu ada hikmahnya apabila suami isteri, anak menantu sama-sama bertemu Tuhan di Mekah, tentunya ada janji diikat terutamanya di antara suami dan isteri. Allah maha adil."

Papar foto satu 'rekayasa'

Usaha Malaysiakini mendapatkan ulasan lanjut Mohd Soberi sejak semalam masih gagal.

Usaha mendapatkan reaksi istana Kelantan juga belum berhasil.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan pihak istana sedang meneliti dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap kerabat tersebut.

Pengelola istana itu Datuk Abdul Halim Hamad dipetik berkata kenyataan itu mungkin akan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, ibu Manohara Odelia sehingga hari ini dilaporkan masih mencurigai kemesraan yang dipaparkan dalam foto-foto tersebut, dan menyifatkannya sebagai sebagai satu "rekayasa".

"Saya yakin itu untuk mengcounter (menepis) pemberitaan-pemberitaan yang ada saat ini," Daisy Fajarina dipetik akhbar web Detik.com ketika mengadukan nasib anaknya kepada suruhanjaya hak asasi wanita di Jakarta hari ini.

Anak sulungnya Dewi Sari Asih pula mendakwa koleksi foto tersebut sengaja diatur.

"Ada beberapa orang di sana yang baik hati menginformasikan foto-foto itu diset untuk mengcounter berita," beliau dilaporkan berkata sewaktu mengiringi Daisy.

Tiada ulasan: