iDAN
21 Mei 2009
Terkenang Awok AF7 (Hiburan)
Datuk Khatijah Ibrahim sering menyebut agar Aril@Awok akan mengantikan sahabatnya Allahyarham Sudirman.
Tak dapat dinafikan manusia bernama Awok ini punyai bakat besar, suaranya biarpun tidak sehebat Hafiz sebagai juara. Tetapi punyai pakej & potensi yang besar untuk lebih berjaya. Aku yakin satu ketika nanti Awok bakal dinobatkan artis paling popular di tanah air. Suaranya serak & unik jika digilap pasti akan gempak dunia seni kita.
Sebagai contoh Naib Juara One in a Million musim pertama Faizal Tahir, jauh lebih berjaya & popular berbanding juaranya Suki. Suki & peminatnya macam syok sendiri sahaja. Mendatar serta tak tahu di mana halatuju persembahannya. Yang pasti SMS telah merubah bakat & hak sebenar peserta. Maka itu aku terkadang amat benci dengan rancangan realiti yang melibatkan SMS. Yang lebih berbakat sering terpinggir.
Tenguk apa jadi kepada Mawi, mana dapat dia mengatasi Datin Siti Nurhaliza yang saban tahun terusan dapat mengekalkan kepopularannya. Yang pasti Raja SMS Mawi mungkin satu hari akan hilang dari dunia seni. Jika tanpa bantuan SMS. Bakat SMS memang tak sekekal mana. Sekarang dia bergantung kepada machoo gondolnya sebagai duta produk barangan sahaja. Itu pun nampaknya Power Root tak lagi menggahkan sangat namanya. Rosyam Noor masih digahkan iklan di TV hingga ke hari ini.
Cubalah kita bandingkan Mawi & Sudirman. Sudirman memang kaya dengan bakat & perbagai auranya. Perbagai kejutan dalam persembahannya menjadikan dunia seni tanah air amat meriah. Biar pun filem Kami lakonannya tidak segempak mana tetapi bakatnya dalam bidang lakonan tidak dapat kita perkecilkan. Aku tak nampak aura Mawi selain biarpun dia gondolkan kepalanya tetapi masih nampak machoo. Itu saja worldnya dia.
Harapanku terhadap Awok seperti juga harapan Datuk Khatijah Ibrahim; agar satu hari dia menjadi artis yang disegani & bakatnya terus berkembang; sebaik Allahyarham Sudirman.
Astro terlibat menaikkan nama Awok tetapi melalui Diari AF7 kita dapat rasakan betapa lagu pada pertandingan akhir Toksik yang dicipta khas buat Awok sememang sekadar tangkap muat sahaja. Nak kata joget pun bukan, pop pun bukan, aku tak arif tentang lagu; memang merasakan payah buat Awok mahu menonjolkan bakatnya melalui lagu tersebut. Dalam diari AF dia cuba membaiki tempo & konsep persembahan tetapi nampak sangat Awok terpinggir. Dia memerlukan kumpulan koir tetapi tidak dilayani; kedua-dua persembahan Awok tanpa pengiring. Sendirian tidak seperti peserta lain. Mungkinkah dia menolak atau bagaimana keadaan yang sebenarnya; hanya Awok yang tahu.
Aku sebagai peminat Awok tentunya terkilan dengan kegagalannya menjadi Juara;
Sungguh Hafiz punyai bakat & lokal yang baik. Bakat tanpa daya persembahan yang kreatif tidak akan ke mana. Takkan mahu bergaya dengan cara mengelap gajah semata, & bergantung dengan SMS satu Sarawak sahaja. Hafiz kenalah lebih berusaha agar bakatnya berkembang megar. Tenguk wajah Hafiz aku teringat akan Herman Tino yang aku minati. Suara sedap cumanya asyik bawa kain pelekat ke pentas menjadi identitinya sampai ke zaman kini. Bayangkan jika sesekali Herman Tino terbang pakai dawai bagai Faizal Tahir. Huh! Gawat. Hafiz jangan tiru macam Suki. Jadi juara tetapi tak ramai mengenalinya. Tranformasi biar berkesan. Jika mahu lebih berjaya pastinya Hafiz kena berhijrah ke semenanjung. Baru meriah.
Hafiz menerima hadiah lumayan berupa kereta Honda Accord (2.0) tajaan Honda Malaysia, pakej percutian ke New York untuk dua orang tajaan Maybelline New York, Aktif bersama Hotlink selama setahun, Arezzo Hoffman (5.1 Home Theatre System), kamera U1030 tajaan Olympus, Hyundai Air Purifier tajaan MSP Advance, jam tangan tajaan Hugo Boss, Brand’s InnerShine tajaan Cerebos untuk dinikmati setahun, telefon bimbit Nokia 5730 XpressMusic tajaan Nokia dan wang tunai RM20,000 tajaan Astro.
Dengan layanan Astro yang tidak samarata; kemahuan yang diimpikan Awok diketepikan setidak-tidaknya memberi impak kepada persembahannya. Kasihan Awok hilang banyak hadiah yang seharusnya dimilikinya jika menjadi juara. Kereta, melancong ke luar negara sebagai hadiah utama; semua itu adalah impian semua orang.
Nak buat macam mana bukan rezeki Awok! Sepatutnya tempat kedua... Naib Juara carilah penaja yang lebih gempak, dapat motor besar atau scooter melancung biarlah jauh sikit bukan ke Siam atau Endon. Baucar percutian RM3,000 sekitar Asia sahaja kot!. Bagaimana pun tahniah Awok & Akim mungkin tawaran berlakon untuk filem muzikal di Jakarta itu satu langkah permulaan yang baik. Semoga Awok & Akim akan mengasah bakat di sana pun menambah ramaikan lagi peminatnya di sana, agar kalian berdua akan terus menuju mercu kejayaan.
Naib juara, Aril atau Khairil Azam Pilus, 24, dari Kuala Lumpur menyanyikan lagu Kasih Tak Sampai (Padi) dan Toksik ciptaan Alim dan Shazee Ishak serta lirik oleh Nurfatima. Dia membawa pulang hadiah berupa baucar percutian bernilai RM3,000 tajaan Maybelline New York, kamera U1030 tajaan Olympus, Arez-zo Hoffman Karaoke Set tajaan Areezo, Hyundai Air Purifier tajaan MSP Advance, jam tangan tajaan Hugo Boss dan wang tunai sebanyak RM10,000 tajaan Astro.
Tempat ketiga yang dimenangi oleh Akim; Setidak-tidaknya Akim nampak lebih kreatif dengan persembahan yang dapat memukau penonton. Jika Awok di tempat pertama mesti Akim menjadi pencabar Awok. Begitulah sebaliknya. Lagu Bercinta yang didendangkannya memang penuh aksi; cumanya terlalu lama ianya terikat dengan kain putih itu buat kita rasa rimas. Tetapi dia ada daya kreatif yang boleh kita banggakan & manis untuk dikenang.
Tempat ketiga menjadi milik Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dari Johor Bahru yang mendendangkan lagu Bencinta (Faizal Tahir) dan Bengang ciptaan Amir, manakala lirik oleh SQ. Kejayaan itu membolehkannya membawa pulang hadiah baucar percutian bernilai RM2,000 tajaan Maybelline New York, kamera FE320 tajaan Olympus dan wang tunai sebanyak RM8,000 tajaan Astro.
Yazid atau Mohd Yazid Ibrahim, 22, dari Johor Bahru menyampaikan lagu Kasidah Cinta (Dewa 19) dan Ya Papa ciptaan Tun Taja, manakala lirik oleh Hairul Anuar Harun, menduduki tempat keempat. Dia membawa pulang hadiah berupa kamera FE320 tajaan Olympus dan wang tunai RM3,000 tajaan Astro.
Yasid memang anak emas Astro; tetapi pemilihan lagu buat dia jadi hilang sengat.
Astro pun satu... tempat kelima sekadar tropi apakah mencukupi. Duit melalui SMS bukan sedikit yang dibolot; sekadar tropi apalah kata peminat yang SMS & suami Isma yang berkorban bukan seminggu dua berjauhan dengan isterinya. Belikan sebuah kamera pun kira dah okey!. Bukanlah mahal sangat kamera digital di zaman ini. Kasilah hadiah saguhati RM500 pun dah okey buat Isma belikan gula-gula untuk anak-anaknya.
Memang AF ini kena buat banyak post mortem agar benar-benar tepat & puas di hati peminat. Jangan asyik nak gesa & korek duit peminat sahaja. Keuntungan masuk kantung sendiri; artis berbakat jadi bahan dagangan semata. Biarlah AF mendatang ada timbang tara & keadilan dalam memperdagangkan bakat seni seseorang artis yang digilap.
iDAN
Aril AF7 Mendapat tempat KEDUA
Posted by admin
KEHADIRAN jejaka ini di Akademi Fantasia 7 (AF7) memberi impak besar kepada rancangan realiti TV paling popular itu dek personalitinya yang ceria selain memiliki pakej yang digilai ramai.
Namun, penyingkirannya pada konsert mingguan ketujuh di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil baru-baru ini memeranjatkan ramai hinggakan ada pihak sanggup membuat petisyen di Internet untuk mengembalikannya ke AF7, selain mengharapkan pihak produksi mengadakan undian AFMASUK seperti pernah dilakukan beberapa musim sebelum ini.
Ramai pemerhati seni, termasuk penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim dan Adibah Nor menyelar pengundi yang dianggap ‘kurang bijak’ dalam membuat keputusan tidak mengundi jejaka berasal dari Ampang, Selangor ini sehingga menyebabkannya tersingkir.
Hari ini mungkin peminat dapat melihatnya kembali menerusi kaca TV kerana peminatnya boleh menebus semula kesilapan dan berpeluang melihat Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 23, beraksi di peringkat akhir AF7.
Peluang terbuka apabila Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina mengumumkan talian AFMASUK dibuka pada konsert mingguan kelapan, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ada pihak membantah keputusan itu kerana berpendapat pihak produksi ‘sengaja’ mengadakan AFMASUK bagi membenarkan Aril melangkah ke final AF7 walaupun tersingkir.
Ini terbukti selepas beberapa hari waktu undian dibuka sejak Isnin lalu, kedudukan Aril pada tahap tertinggi berbanding bekas peserta lain seperti Aishah, Claudia dan Zizi yang disebut-sebut sebagai pesaing terdekatnya.
“Bercakap mengenai AFMASUK, saya langsung tidak terfikir sama ada bersetuju atau tidak dalam perkara ini kerana semua keputusan bergantung kepada pihak produksi dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” kata adik kepada penyanyi Izwan Pilus ini.
Malah, dia tidak menaruh harapan tinggi memandangkan peluang sama rata diberi kepada peminat setiap pelajar yang tersingkir sebelum ini, apatah lagi rakannya bukan penyanyi yang calang-calang.
“Saya setuju jari menjadi juri dalam pertandingan ini, jadi saya serahkan sepenuhnya kepada pengundi di luar sana untuk membuat keputusan, dan saya berterima kasih dengan sokongan yang diberi kepada saya,” katanya.
Ketika penyingkirannya, ramai terkena tempias kemarahan peminat yang kecewa melihatnya menarik beg turun dari pentas transformasi AF7, termasuk bintang AF3, Marsha Milan Londoh yang dikatakan punca peminat tidak mengundi jejaka berkulit cerah itu.
“Tidak perlu kecewa dengan penyingkiran saya. Memang saya kesal kerana apabila saya sudah tiada di AF7 baru ada yang menyatakan rasa terkilan dan sebagainya, walaupun saya percaya rezeki ada di mana-mana.
“Usah salahkan Marsha kerana tidak adil untuk menghukumnya, sedangkan dia langsung tidak bersalah dalam hal ini,” katanya.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia seni nyanyian, tarian dan pengacaraan, anak ketiga daripada empat beradik ini berjaya mengembangkan bakatnya sebagai pengacara rancangan Trendy yang memfokus kepada isu remaja selain memaparkan gaya hidup, fesyen dan muzik.
“Saya ditawar menjadi pengacara selepas mengikut abang (Izwan) ke sebuah rakaman di RTM, dan penerbit berminat dengan sifat saya lalu memanggil saya ke uji bakat.
“Tidak sangka juga saya ditawarkan tanggungjawab itu, dan saya mengacara rancangan itu selama tiga musim,” katanya.
Menyentuh pembabitannya dalam seni tari, Aril mengakui pernah memenangi Festival Tarian Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2007 dan aktif dalam tarian ‘shuffle’ sehingga dia dan rakan menubuhkan komuniti penari ‘shuffle’ dinamakan Hardstyle Republic yang mendapat sambutan hangat daripada golongan muda.
“Saya mengagumi AC Mizal kerana dia boleh buat semua seperti mengacara, berlakon, menari dan menyanyi.
“Saya juga hendak jadi seperti itu dan mahu membuktikan kepada pengetua dan tenaga pengajar yang saya boleh menjadi ikon serba boleh yang mereka cari,” kata Aril yang cemerlang menerusi persembahan lagu Yang Pernah daripada Estranged dan Nakal nyanyian asal Gigi ketika persembahan mingguan.
Jom ke Jakarta Aril & Akim
Teks oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 18 MEI 2009: Kalau bintang Akademi Fantasia Musim 7 (AF7) lain mula sibuk memenuhi jadual kerjaya seni mereka di dalam negara, Aril dan Akim pula terus terpaksa terbang ke Jakarta, Indonesia, awal pagi ini, Isnin.
Pemergian mereka ke sana adalah untuk memenuhi tawaran membintangi sebuah projek drama muzikal yang diterbitkan secara usahasama oleh produksi Malaysia dengan Indonesia. Difahamkan tawaran ini telah diterima ketika mereka masih berada di dalam akademi lagi.
Mengulas tentang pemergiannya ke Indonesia, Aril ketika ditemui murai.com.my di ibu negara, semalam berkata, tawaran itu sungguh menarik kerana bercorak drama muzikal tetapi masih belum bertajuk.
Jangan Tak Lihat
"Saya terharu mendapat tawaran itu tapi saya pergi tidak lama, cuma seminggu saja. Mudah-mudahan semuanya akan berjalan dengan lancar. Apapun, semua ini adalah satu permulaan kerana perjalanan saya dalam bidang ini masih lagi terlalu jauh," katanya.
Biarpun dihimpit dengan kutukan dan cacian, bintang AF7 yang kini mula menjadi ikon di kalangan peminatnya masih mampu mengukir senyuman serta masih tabah meneruskan kehidupan.
"Kalau hendak diikutkan, saya rasa sedih juga dengan apa yang segelintir orang cakap tentang diri saya tetapi inilah cabaran yang harus saya hadapi dalam AF7. Lagipun untuk berjuang dalam industri ini, kita harus menjadi kuat.
"Mujur ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada saya termasuklah saudara mara dan kawan-kawan dalam AF7 sendiri iaitu Hafiz, Yazid, Akim dan Kak Isma. Waktu saya di AFMasuk, mereka inilah yang banyak memberikan sokongan yang tidak berbelah kepada saya.
"Saya juga terharu apabila melihat begitu ramai rakan-rakan serta peminat di luar sana yang menyokong saya sewaktu beraksi dalam konsert final dulu. Selalunya apabila pelajar di AF Masuk mereka akan mendapat sorakan 'booo' tapi ia jadi sebaliknya.
"Jadi saya mahu berterima kasih kepada mereka yang menyokong saya selama ini. Buat yang tidak menyokong dan menolak saya, ia tidak menjadi masalah," katanya.
Tentang kemenangannya sebagai naib juara, Aril berkata, dia sebenarnya terkejut.
"Saya sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa. Yang penting, saya ingin membuat yang terbaik pada malam itu khususnya untuk penyokong serta pengundi-pengundi saya. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki," katanya.
Sementara itu, Akim pula mengakui sangat teruja untuk memenuhi tawaran membintangi drama muzikal yang sama bersama Aril di republik itu.
"Penat AF7 belum hilang lagi tetapi saya dan Aril dah kena terbang ke Jakarta. Akim seronok sangat sebab dan lama teringin ke sana. Akim ingin timba ilmu tambahan daripada orang-orang di sana pula," katanya.
Selaku bintang AF7 yang dianggap sebagai underdog, Akim berkata, dia langsung tidak berkecil hati sekiranya ramai yang tidak perasankan kehadirannya dalam AF7.
"Saya makin bersemangat pada minggu-minggu terakhir AF7 kerana melihat sokongan penonton. Tapi semua ini tidak akan berhasil jika saya sendiri yang tidak sanggup mengubah atau memperbaiki kelemahan pada diri saya. Cikgu-cikgu sudah berikan tunjuk ajar mereka, jadi kita kena praktikkan.
Akim juga berkata, jika diberikan tempoh waktu yang lebih lama lagi di dalam akademi itu, dia percaya dia akan lebih mampu menggugat pelajar lain.
"Saya bersyukur dengan kemenangan di tempat ketiga. Bagi saya apa yang lebih penting ialah transformasi yang saya lalui di dalam akademi," kata Akim.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan