iDAN

29 Jun 2009

Ada ibu bapa masih bimbang (Ceritera)

Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Assunta 1 & 2, di sini yang dikenakan perintah kuarantin bermula 19 Jun lalu sudah memulakan sesi persekolahan mereka semalam, selepas seminggu ditutup.

Tinjauan Harian Metro ke sekolah berkenaan mendapati sesi persekolahan bermula seperti biasa dan kebanyakan murid hadir dengan memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan daripada wabak selesema babi.

Bagaimanapun, ibu bapa yang menghantar semula anak mereka ke sekolah dilihat masih bimbang walaupun diberi jaminan tiada lagi masalah wabak itu di sekolah berkenaan.

Suri rumah, Abby Samad, 31, berkata apabila mendapat tahu sekolah akan dibuka semula dia masih bimbang untuk menghantar anaknya.

“Perasaan bimbang memang ada tetapi apabila lihat ibu bapa lain turut menghantar anak mereka ke sekolah sedikit sebanyak perasaan itu hilang.

“Namun saya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyuruh anak memakai topeng muka. Tapi saya sangat berharap wabak selesema babi ini tiada lagi di sini mahupun di mana-mana,” katanya.

Menurutnya, ketika mendapat tahu terdapat murid di sekolah itu dijangkiti selesema babi, keesokannya dia terus tidak menghantar anaknya ke sekolah kerana khuatir akan berjangkit.

Sementara itu, Manisha Mohamed, 34, berkata mencegah lebih baik daripada merawat dan sebagai ibu bapa dia turut berharap tiada lagi kes wabak itu menular di sekolah anaknya.

“Mereka masih di bawah umur, jadi jika berjangkit wabak ini sudah pasti kita sedih tengok mereka yang tidak mengerti apa-apa lagi dan sebagai orang tua kita juga perlu mengambil langkah berjaga terlebih dulu.

“Walaupun pihak sekolah tidak memberi topeng muka secara percuma kepada pelajar tetapi kami mengambil inisiatif sendiri membelikan topeng muka untuk mereka pakai ketika berada di sekolah,” katanya.

Bagi Shida Mad Asah, 30, dia memberanikan diri untuk menghantar anaknya ke sekolah dan sebagai suri rumah sepenuh masa mudah untuknya memantau keadaan anaknya dengan lebih kerap.

“Syukur hari ini sudah boleh mula belajar seperti biasa, jadi anak tidaklah ketinggalan pelajaran dan setiap hari saya akan memastikan mereka menitikberatkan kebersihan sepanjang berada di sekolah,” katanya.

Harian Metro

‘Kita belum perlu pelan kontigensi’

KUALA LUMPUR: Sungguhpun berdepan tekanan berikutan penularan virus influenza A (H1N1) yang kini merebak ke Negeri Sembilan dan Johor, wabak itu masih terkawal kata Menteri kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sehubungan itu, katanya, kementerian belum memerlukan pelan kontigensi, tetapi tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan semakin serius.

“Mengikut perancangan asal kita, memang ada pelan kontigensi jika penularan semakin serius antaranya menutup semua sekolah dalam sesuatu komuniti terbabit.

“Kementerian belum ambil langkah ini kerana kita masih lagi dapat kawal keadaan. Jika wabak semakin merebak, program penjauhan sosial akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak 20 kes baru dicatatkan semalam, menjadikan 144 kes keseluruhannya.

Harian Metro

Tiada ulasan: