KITA tidak dapat menganalisis sesuatu kelemahan yang dilakukan sendiri, lebih-lebih lagi masalah hutang melibatkan kad kredit.
Menyedari masih ramai di kalangan ahli keluarga atau sahabat handai kita tidak berdisiplin ketika membeli-belah, minggu ini saya catatkan tabiat buruk yang ada pada diri sendiri agar kita tidak mengulangi kesilapan lalu.
Menyalahgunakan pemindahan baki kad kredit
Memindahkan baki kad kredit dari bank yang memberikan kadar faedah yang tinggi ke bank yang memberikan kadar faedah yang rendah merupakan satu langkah yang baik dalam mengurangkan bayaran semula hutang. Tetapi kesilapan besar yang kerap berlaku ialah apabila kita masih lagi menambah transaksi-transaksi pembelian yang baru.
Kelewatan pembayaran kredit
Jangan sesekali melewatkan pembayaran kredit, tidak kiralah hutang kad kredit, pinjaman rumah mahupun kereta. Anda akan berhadapan dengan kerugian yang besar sekiranya masih bersikap sebegini setiap hujung bulan. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera, ia boleh mendatangkan kerugian lebih beribu-ribu ringgit dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang.
Selalunya, setiap bank akan memberikan tarikh yang tertentu untuk membuat pembayaran. Oleh kerana kita sudah biasa dengan membayar semua bil-bil pada permulaan bulan, selalunya bayaran pada pertengahan bulan akan dibayar lambat atau dibayar pada bulan hadapan. Di sinilah kesilapannya.
Walaupun kita rasakan faedahnya hanyalah RM32 sahaja tetapi, kalau ditambah dengan beban hutang yang baru dan dilambatkan lagi pembayarannya, faedahnya juga akan menjadi bertambah.
Apa yang boleh kita lakukan ialah mencatit tarikh pembelian dan tarikh perlu dibayar dalam masa 20 hari. Ini kerana, bank yang memberikan kad kredit telah memberikan tempoh 20 hari untuk membayar tanpa dikenakan faedah. Antara kaedah lain untuk mengelakkan kadar faedah tinggi adalah dengan segera membuat pembayaran dalam talian.
Menggunakan kad kredit walaupun mempunyai wang tunai
Menjadi lumrah hidup kita yang tinggal di bandar, setiap kali membeli-belah kad kredit yang digunakan. Sama ada seorang diri mahupun dengan keluarga, kita lebih gemar menghulurkan kad kredit walaupun saku, dompet dan beg kita dipenuh dengan wang tunai.
Walaupun jumlah pembelian kecil, ia tetap meningkatkan dan menambahkan lagi baki bulan lepas yang masih belum berbayar.
Melengahkan dana kecemasan
Masih ramai di kalangan ibu bapa hari ini melengahkan simpanan keluarga menerusi dana kecemasan. Wang yang disimpan dalam dana ini amat mustahak kerana ia akan menyelamatkan kita apabila berlakunya kecemasan. Keadaan kecemasan inilah yang memaksa kita menggunakan kad kredit dan ini secara tidak langsung akan menambahkan lagi bebanan hutang.
|
|
BAHAGIAN 2
">MINGGU lalu, kita telah menganalisis kenapa mereka yang gemar menggunakan kad kredit mengalami masalah hutang yang kian meningkat.
Tabiat buruk dalam mengendalikan kewangan boleh membawa kemudaratan. Antara tabiat yang telah saya catatkan dalam artikel minggu lalu adalah:
*Menyalahgunakan pemindahan baki kad kredit.
*Kelewatan pembayaran kredit
*Menggunakan kad kredit walaupun mempunyai wang tunai
*Melengahkan dana kecemasan
Pada minggu ini, saya bentangkan beberapa tabiat buruk kewangan yang boleh dihentikan bagi membantu anda mengurus kewangan dengan lebih sistematik.
Tabiat buruk kelima
Bajet adalah satu perkataan yang dibenci.
Perkataan ini selalu mengingatkan kita betapa susahnya seseorang perlu 'mengikat perut', mengurangkan perbelanjaan yang membawa kepada pembaziran, kurangkan makan di restoran-restoran mewah, hadkan pembelian kasut atau beg tangan berjenama dan lain-lain perkara yang mengingatkan kita kepada kemewahan.
Bajet merupakan tabiat yang perlu dijadikan amalan seperti memberus gigi pada setiap hari. Satu perancangan yang baik adalah membuat bajet untuk pembayaran yang akan dibuat dalam tempoh terdekat seperti membayar premium insurans, sewa rumah dan lain-lain bayaran yang dijelaskan.
Sekiranya kita mengalami masalah bajet dan mempunyai masalah kekurangan wang, apa kata kita catatkan semua transaksi kewangan selama sebulan atau dua bulan. Kemudian, perhatikan di manakah kita membuat pembaziran.
Tabiat buruk keenam
Gagal memberitahu masalah kewangan kepada pihak bank atau pemberi hutang.
Tatkala ini banyak syarikat terpaksa memberhentikan pekerjanya di tengah-tengah kegawatan ekonomi. Berita ini kadangkala memberikan kita kesan yang negatif.
Kalaulah anda berada di tempat ini, saya nasihatkan anda menghubungi atau menulis surat kepada pihak bank atau pemberi hutang untuk mendapatkan bantuan. Antaranya seperti melanjutkan tarikh pembayaran pinjaman-pinjaman yang boleh ditangguh atau mengurangkan kadar faedah seperti pembayaran kad kredit yang tinggi.
Tabiat buruk ketujuh: Menggunakan dengan sewenang-wenangnya kad kredit yang diberikan oleh pihak bank yang bekerjasama dengan kedai serbaneka.
Kad kredit yang diberikan bank yang bekerjasama dengan kedai-kedai serbaneka inilah yang selalunya disalah gunakan. Sebagai pemilik kad kredit, kita diberikan beberapa manfaat yang tertentu, akan tetapi apabila disalah gunakan, ia akan mendatangkan masalah kepada semua kad kredit yang lain.
Tabiat buruk kelapan
Membuat bayaran minimum dalam pembayaran kad kredit.
Sangkaan kita, apabila kita membuat bayaran minimum, ia sudah cukup baik daripada tidak membuat apa-apa bayaran langsung. Tanpa kita sedari, wang baki hutang ini akan dibawa ke penyata bulan yang akan datang. Baki inilah yang menyebabkan anda dikenakan faedah terlalu tinggi. Tahukah anda, faedah yang dikenakan ke atas baki yang tidak berbayar adalah 1.5 peratus sebulan atau 1.5 peratus x 12 bulan (18 peratus setahun). Jika kita campurkan semua faedah ini, jumlahnya membolehkan kita membayar bil-bil elektrik, telefon dan lain-lain.
Oleh itu, apabila kita membeli sesuatu dengan menggunakan kad kredit, cubalah membayar keseluruhan jumlah pada hujung bulan atau membayar lebih daripada amaun minimum. Sekiranya kaedah ini mendatangkan masalah, cuba cari pendapatan yang kedua atau berniaga kecil-kecilan untuk mengurangkan bebanan hutang.
Langkah terbaik, jangan malu atau segan sekiranya anda mempunyai beberapa tabiat buruk kewangan seperti yang dinyatakan di atas. Dapatkan pertolongan daripada sanak saudara, sahabat handai atau pengurus kewangan yang bertauliah. Semoga kita menuju kepada kekayaan dunia dan akhirat.
Pesona
Tiada ulasan:
Catat Ulasan