iDAN

13 Jun 2009

Bukan main kayu tiga (Hiburan)

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal menafikan dia pernah bercinta dengan penyanyi nasyid itu ketika masih dalam perkahwinan pertama sebaliknya hubungan mereka mula terjalin semasa dia dalam proses perceraian.

Maizawati, 33, berkata dia tidak pernah `mencari' Akhil ketika masih menjadi isteri orang tetapi terkilan apabila muncul dakwaan dia meninggalkan bekas suami untuk bersama penyanyi nasyid dan penceramah bebas itu.

“Saya berjumpa semula dengan Akhil di tempat kerja semasa saya dalam proses perceraian dengan bekas suami dulu dan bukan mencarinya,” katanya yang dihubungi semalam.

Menurutnya, perpisahan yang berlaku pada perkahwinan pertamanya tidak ada kaitan langsung dengan pertemuannya dengan Akhil.

“Semuanya takdir Allah yang menentukan jodoh, hidup dan ajal kita. Memang kami berkenalan sebelum itu dan ditakdirkan semasa dalam proses perceraian, kami bertemu semula,” katanya.

Maizawati berkata demikian selepas wujud dakwaan dia meninggalkan bekas suami untuk bersama Akhil yang dilaporkan sebuah akhbar mingguan.

“Saya terkilan kerana ada yang mengambil kesempatan menghangatkan isu perceraian saya dengan Akhil melalui laporan yang tidak benar sehingga mencemarkan nama baik saya,” katanya.

Dia berkata, cerita seperti itu bukan saja memburukkan namanya malah mengundang persepsi negatif orang ramai.

“Saya bukan mencari glamor kerana wartawan yang cari saya bukan saya mencari mereka, tetapi saya kesal apabila cerita lain pula keluar.

“Tidak elok berbuat begini kerana saya juga ada perasaan malah boleh mengambil tindakan jika saya mahu kerana ia memburukkan saya pada pandangan masyarakat.

“Saya harap perkara ini tidak berulang lagi, berilah saya peluang untuk menyelesaikan kes saya (cerai) pada 15 Julai ini,” katanya.

Pada 2 Jun lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, membenarkan penangguhan kes tuntutan perceraian Maizawati dengan Akhil selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan menyelesaikan kes itu secara baik sehingga 15 Julai ini.

Sebelum ini, Maizawati mendedahkan keretakan rumah tangganya dengan penyanyi yang turut digelar Ustaz Rock itu menerusi stesen televisyen dan akhbar sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat dan dikaitkan dengan penyanyi Waheeda.

Sejak itu, kisah rumah tangga mereka terus menjadi tumpuan walaupun Akhil lebih selesa mengambil sikap berdiam diri daripada memberi ulasan mengenai isu itu.

Harian Metro

E-mel anda: Nasihat untuk Ustaz Akhil

NASIHAT peribadi saya kepada Ustaz Akhil Hayy ialah kembalilah ke pangkuan isteri, Maizawati Zainal yang banyak berjasa bukan sahaja menjaga keharmonian rumah tangga, tetapi melahirkan anak-anak yang perlu kasih sayang kerana mereka perlu membesar dengan sempurna dan damai.

Fikir habis-habis dan renungkan mata anak-anak sebelum membuat keputusan kerana tersilap langkah menyesal seumur hidup. Hidup bukan untuk mencari masalah, tetapi untuk mendapatkan ketenangan dan untuk itu kita akan lakukan apa sahaja kerana ketenangan tidak boleh dijual beli.

Walaupun Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada satu, tetapi jika dengan perkahwinan itu tidak mampu mententeramkan jiwa, eloklah dibatalkan niat itu.

Perceraian menyebabkan anak memendam rasa dan apabila membesar jiwa mereka memberontak dan terjadilah konflik dalaman dan dendam kepada ibu bapa.

Ingatlah, perempuan yang kita cintai belum tentu memberi kebahagiaan sebagaimana kita telah hidup bersama isteri menempuh bahtera rumah tangga dengan pahit maung serta susah senangnya bersama, tetapi akhirnya istana yang kita bina dan berjaya itu kita runtuhkan.

ABANG SYED
Seremban.

Harian Metro

Tiada ulasan: