iDAN
12 Jun 2009
Hari kahwin rupanya hari bekerja (Hiburan)
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
IKUT perancangan asal pelakon dan pengacara, Serina Redzuaswan, 26, mahu mengadakan majlis perkahwinan serentak dengan sambutan hari lahirnya pada 1 Jun lalu.
Begitupun detik indah yang mahu diabadikan bersama jejaka pilihannya Gavin, 33, atau nama Islamnya, Salahudin terpaksa ditunda pada 1 Januari depan.
Anak gadis kepada tukang masak terkenal, Redzuawan Ismail atau Chef Wan mula teruja mahu mengakhiri zaman solonya.
Menurut Serina majlis berkenaan terpaksa ditunda pada tarikh berikut disebabkan beberapa perkara.
"Majlis perkahwinan sepatutnya berlangsung 1 Jun serentak dengan majlis sambutan hari jadi saya, namun disebabkan tarikh berkenaan jatuh pada hari Isnin ketika hari bekerja kami berasa tidak sesuai diadakan majlis itu. Kami kemudiannya sepakat untuk menunda majlis itu.
"Keluarga Gavin juga tidak mendapat cuti yang panjang. Selepas berbincang semula, hari pertama tahun baru adalah tarikh yang paling sesuai untuk mengadakan majlis itu. Secara tidak langsung bermula fasa hidup yang baru buat diri saya," katanya.
Seperti rakan selebriti yang lain majlis perkahwinan Serina turut mendapat perhatian dan dinantikan banyak pihak. Apatah lagi bapanya, Chef Wan turut melahirkan perasaan teruja untuk melihat puteri kesayangannya mengakhiri zaman solo bersama jejaka Inggeris yang mempunyai perniagaan berkaitan mempromosi sukan bola sepak.
Perkenalan lebih setahun lalu ketika menghadiri satu majlis akhirnya membuahkan bunga cinta pasangan berkenaan.
Bercerita lanjut mengenai detik pertemuan mereka, Serina yang sebelum ini pernah merasa perit bercinta mengakui dia langsung tidak terfikir untuk jatuh hati dengan jejaka yang berasal dari London itu.
"Saya memang tidak memikirkan soal bercinta selepas merasai sendiri pedihnya pengalaman apabila putus dengan seorang jurutera tidak lama dulu. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.
"Saya bertemu Gavin ketika menghadiri satu majlis. Dia tiba-tiba datang menegur saya dan memberikan kadnya pada saya. Ketika itu saya sedang cakap dengan seorang pelajar.
"Dia minta nombor telefon bimbit saya, tapi saya cakap saya tidak ada dan kalau hendak juga, saya boleh berikan nombor papa saya.
"Memang kelakar apabila diingatkan kembali detik itu. Dia tidak berani pula ambil nombor papa saya. Hendak dijadikan cerita, saya terjumpa semula kad yang dia berikan dalam seluar jeans ketika sedang mengemas pakaian tidak lama kemudian.
"Saya sendiri tidak mengetahui bagaimana hati ini tergerak untuk menghubunginya," kata Serina ketika ditemui pada majlis pelancaran drama kepolisan, Akademi Polis musim ke-4 di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
Tambahnya, Gavin akhirnya mengetahui dia adalah seorang artis selepas melihat wajah Serina menghiasi iklan mempromosikan akhbar Harian Metro yang diletakkan di tempat menunggu bas di hadapan sebuah hotel di ibu kota.
Serina mengakui selesa berkawan dengan jejaka itu yang disifatkan seorang yang rendah diri dan pandai membawa diri.
"Saya selesa berkawan dengannya kerana dia tidak melihat saya sebagai seorang artis. Dia juga ada memaklumkan menyukai saya disebabkan karakter saya yang selamba dan boleh berdikari.
"Saya suka berkawan dengannya kerana kami mempunyai keserasian dan berkongsi minat yang sama.
"Malah, dia juga tidak banyak kerenah mungkin kerana sudah lapan tahun menetap di sini.
"Lebih menggembirakan saya apabila melihat dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampung. "Saya pernah membawanya pulang ke kampung di Sungai Koyan, Pahang dan dia tidak nampak kekok. Dia suka makanan Melayu terutamanya rendang daging.
"Dia memang pandai membawa diri. Sebab itu saya rasa papa juga merestui hubungan kami. Selain seorang yang terpelajar, dia seorang yang sederhana," katanya.
Tambah Serina lagi, dia bersyukur dan gembira apabila keluarga Gavin juga turut menyambut kehadirannya dengan baik ketika berkunjung ke London, baru-baru ini.
"Alhamdulillah, penerimaan mereka baik. Dan jika Allah benar-benar merestui jodoh kami ini, saya akan cuba sama-sama bimbing Gavin dengan agama Islam.
"Saya juga sedar saya bukanlah hebat sangat, tetapi saya akan belajar bersama-samanya.
"Disebabkan itu saya juga menyarankan kepada Gavin supaya rapat dengan pak cik saya yang mahir dalam agama.
"Malah Gavin sendiri sudah lama memeluk agama Islam, sebelum berkenalan dengan saya.
"Dia memang tertarik dengan Islam dan sentiasa ingin tahu mengenai agama Islam. Justeru, tidak timbul banyak masalah," katanya.
Harian Metro
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan