iDAN

02 Jun 2009

Mujur acara lewat sehari (Ceritera)



Oleh Hadzlan Hassan, Mohd Nasif Badruddin, Baharom Bakar, Zainuddin Mohamad dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, runtuh pagi semalam, kurang 24 jam sebelum kira-kira 5,000 kakitangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pasukan daripada Kementerian Pengajian Tinggi menyertai kejohanan Sukan Staf IPTA ke-34 di situ, hari ini.

Mereka dijangka ke stadium itu untuk acara olahraga, boling dan tarik tali.

Temasya sukan yang dihoskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini hingga 13 Jun ini, bagaimanapun tetap akan diteruskan, namun acara yang sepatutnya berlangsung di stadium terbabit dipindahkan ke gelanggang lain.

Timbalan Pendaftar UMT, Zakaria Ibrahim, berkata acara olahraga dan tarik tali diadakan di padang latihan berhampiran berikutan arahan penutupan stadium berkenaan.

Acara boling pula dipindahkan ke Terengganu Equestrian Resort (TER) dan KT Bowl.

“Kami akan memaklumkan kepada semua peserta dan pegawai pasukan mengenai pemindahan venue acara dalam satu sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan UMT, malam ini (malam tadi).

“Seramai 5,000 pegawai dan atlit daripada 21 IPTA, termasuk pasukan daripada Kementerian Pengajian Tinggi terbabit dalam kejohanan itu yang dijangka dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Stadium Tertutup, lusa,” katanya.

Semalam, sebahagian bumbung stadium bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Gong Badak yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu selepas ia menjadi saksi kejuaraan Kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia ke-12 (Sukma) tahun ini, menyembah bumi kira-kira jam 9.30 pagi.

Sehingga jam 9 malam tadi, insiden yang dianggap memalukan negara oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor itu hanya merosakkan beberapa kenderaan dan tidak membabitkan kehilangan nyawa.

Namun, ia terpaksa ditutup sepenuhnya kepada sebarang aktiviti.

Yang pasti semua pihak menarik nafas lega kerana jika kejadian terbabit berlaku hari ini pasti ada kehilangan nyawa.

Beberapa saksi di tempat kejadian menyifatkan kejadian itu berlaku sekelip mata.

Mereka terdengar dentuman seolah-olah bunyi enjin kapal terbang sebelum beberapa bahagian stadium tersembam akibat runtuhan pada bumbungnya.

Ketua Eksekutif Lembaga Pengurusan Kompleks Sukan Gong Badak, Arpin Deraman, berkata mujur tiada sebarang acara sukan dianjurkan ketika bumbung di kawasan grand stand runtuh.

“Ketika kejadian hanya ada sekumpulan kakitangan bekerja di kawasan sekitar stadium. Saya tak dapat bayangkan bencana berlaku jika bumbung runtuh ketika acara sukan seperti bola sepak diadakan apabila puluhan ribu penonton duduk di grand stand,” katanya.

Menurutnya, tiada sebab untuk dia meragui aspek keselamatan stadium itu kerana sudah mendapat kelulusan layak menduduki daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Kami mempunyai gelanggang boling dan skuasy dalam stadium itu. Nasib baik bumbung runtuh sebelum kemudahan berkenaan dibuka pada 10 pagi,” katanya.

Tinjauan mendapati hampir seluruh struktur bumbung stadium berkenaan mengalami kerosakan dan dikhuatiri mengalami nasib sama menyebabkan pihak berkuasa menutup kawasan itu beberapa meter bagi mengelak ia dihampiri orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said adalah antara orang pertama tiba di lokasi kejadian, malah beliau berada di trek untuk meninjau keadaan sebelum ditutup kepada orang ramai yang membanjiri kawasan itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tiba beberapa minit selepas itu dan memberitahu pemberita beliau akan mengadakan sidang akhbar di pejabatnya jam 4 petang.

Beliau bagaimanapun menemui wartawan di tempat kejadian sebaik Shaziman tiba di lokasi kira-kira jam 2 petang.

‘Insiden memalukan’

KUALA TERENGGANU: “Walaupun bersyukur tiada sebarang kemalangan berlaku, tetapi kejadian ini amat memalukan imej negara,” kata Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang bergegas melawat runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu turut mencalarkan imej Malaysia kerana ia stadium baru dan masih dalam tempoh kecacatan (bawah tanggungan kontraktor).

Menurutnya, meskipun kos kerosakan mungkin ditanggung kontraktor, ia tetap memberi imej tidak baik kepada kerajaan.

“Saya tidak mahu menuding jari mencari salah sesiapa dan akan menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“JKR juga akan melantik jururunding untuk menyiasat perkara ini dan saya tidak berikan tempoh masa, biar dia bagi laporan lengkap dan jika ada pihak bersalah, kami akan ambil tindakan dan tiada apa yang hendak disembunyikan,” katanya.

Menurutnya, kejadian runtuhan bangunan agak membimbangkan ketika ini kerana bukan saja bangunan lama boleh runtuh, malah bangunan baru seperti stadium ini runtuh dan lebih teruk, bangunan yang hendak diruntuhkan juga runtuh sendiri.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, berkata beliau dukacita dengan kejadian itu dan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Saya serahkan kepada JKR yang akan melantik satu konsultan bebas untuk menyiasat punca kejadian itu.

“Saya dimaklumkan runtuhan bumbung di bahagian timur itu sepanjang 400 meter dan jumlahnya dianggarkan bernilai RM25 juta,” katanya.

>Ranap sekelip mata

KUALA TERENGGANU: “Semuanya berlaku sekelip mata, saya dikejutkan dengan bunyi bingit seperti enjin kapal terbang tetapi selepas menoleh ke belakang saya tergamam seketika apabila melihat kira-kira 30 peratus dari Stadium Sutan Mizan rebah ke bumi kira-kira jam 9.30 pagi.

“Saya panik melihat kejadian itu dan hanya mampu mengucap. Saya rasakan seperti masa terhenti seketika dan bertambah panik apabila mendapati Perodua Kancil saya yang diletak di sejak jam 8 pagi turut tertimbus dalam runtuhan itu,” kata Hanafiah Osman, 27, yang ketika itu berada kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Hanafiah yang ditugaskan untuk menyelenggara tiang lampu di stadium menyifatkan runtuhan yang berlaku adalah kecuaian dan sikap lepas tangan pihak berkaitan ketika menjalankan kerja pembinaan.

“Saya bersyukur kerana kejadian tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan pengunjung atau kakitangan.

“Bagaimanapun, saya mesti berjumpa dengan pihak terbabit menuntut ganti rugi RM20,000 bagi membaiki semula kereta yang tertimbus dalam runtuhan itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Sharul Halim, 22, berkata dia hampir terbabas ketika menaiki motosikal melalui jalan hadapan stadium berkenaan.

Menurutnya, ketika perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit dia melihat detik mencemaskan itu dan terpaksa menekan brek motosikalnya secara mengejut kerana terpaku melihat runtuhan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Pauzan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.45 pagi dan tiga pasukannya yang terdiri daripada 25 anggota tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian.

“Selepas memeriksa semua lokasi kejadian tiada mangsa maut ataupun cedera ketika kejadian itu dilaporkan. Sebuah kereta dan tiga motosikal terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: