iDAN

25 Julai 2009

Kartika terima balasan dunia (Ceritera)

Bapa wanita pertama yang dijatuhi hukuman enam sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan, Kartika Sari Dewi, mengakui hatinya bagai disentap bila mengetahui anaknya itu minum arak di khalayak ramai.


KARTIKA bersedia menerima hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

APA yang dilakukannya sangat aneh dan mungkin tidak masuk akal. Mana tidaknya, hukuman enam sebatan ke atasnya bukan sahaja diterima dengan hati terbuka bahkan mahu ia dilaksanakan segera.

Bagi Kartika Sari Dewi Shukarno, 33, hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mesti dijalani.

Isnin lalu, Kartika dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus selepas didapati bersalah mengambil minuman keras di khalayak ramai di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Tiada langsung hasrat untuk merayu malah kata Kartika, tidak pernah terlintas di fikiran untuk dia melarikan diri daripada menerima 'hukuman dunia' atas ketelanjurannya dua tahun lalu itu.

"Saya mengaku dan amat kesal dengan perbuatan itu. Ia bukan sahaja memalukan diri tetapi turut membawa penghinaan kepada seluruh keluarga saya.

"Saya harap hukuman itu dapat dijalankan secepat mungkin supaya ia memberi pengajaran kepada orang lain," kata ibu kepada dua anak ini di Ipoh, Perak, Rabu lalu.

Kartika bakal bergelar wanita Islam pertama dihukum sebat di bawah Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

"Tiada siapa yang paksa saya supaya meminta hukuman itu dilaksanakan segera. Ia lahir daripada rasa keinsafan yang amat mendalam," katanya.

Terlepas daripada hukuman penjara, Kartika telah melunaskan bayaran denda RM5,000 itu.

Bagaimanapun, peristiwa beliau dicekup pihak berkuasa ketika asyik meneguk minuman keras itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam.

"Semua ini ketentuan Allah. Saya dibalas kerana terleka serta memandang ringan soal agama meskipun sudah dididik supaya menjauhi arak.

"Jika saya tidak ditangkap, mungkin saya masih hanyut dalam keseronokan dunia," katanya.

Berasal dari Sungai Siput, Perak, Kartika dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan nilai kekeluargaan serta kewajipan sebagai seorang Islam.

Bapanya, Shukarno Abdul Mutalib, 60, seorang pengusaha resort di Kuala Kangsar, adalah seorang yang kuat agama.


KARTIKA (berdiri dan mendukung Wan Katleen) bersama suami, Mohamad Afendi, manakala ibu bapanya, Wan Badariah dan Shukarno, duduk bersama seorang lagi anak Kartika, Mohd. Asfar.


Mendirikan rumah tangga dengan warga Singapura, Mohamad Afendi, 35, Kartika mengakui insiden di Cherating itu adalah kali pertama dan terakhir beliau minum arak.

Ia tidak kena-mengena dengan kerjayanya sekarang iaitu model sambilan di Singapura, negara yang telah didiaminya selama 15 tahun.

Kartika memberitahu, beliau menjadi model pelancongan selepas terpaksa melepaskan jawatannya di sebuah hospital di Singapura beberapa bulan lalu.

Kekangan cuti untuk menghadiri perbicaraan di Kuantan sejak ditangkap menyebabkan beliau tiada pilihan. Bidang itu juga dianggap sesuai dengan jiwanya.

Bapa cium berkali-kali

Sepanjang perbicaraan, tidak pernah sekali pun Kartika gagal menghadirinya.

Wanita ini bernasib baik kerana keluarga terutama ibu, bapa dan suaminya menerima kejadian itu dengan hati terbuka.

Dalam satu pertemuan dengan Jurnal Jumaat lalu, Shukarno tanpa berselindung mengakui hatinya bagaikan ditusuk dan direntap tatkala mengetahui anak yang diasuhnya dengan nilai-nilai keagamaan itu telah melakukan satu dosa besar.

"Luluh hati saya kerana semua sembilan anak saya termasuk Kartika diberikan ilmu agama yang sepatutnya mampu membawa mereka ke jalan yang diredai Allah.

"Namun, saya tahu dia hanya tergelincir dan menjadi kewajipan saya sebagai wali, 'membawanya pulang'.

"Sejurus mendapat tahu, saya terus ke Singapura untuk bertemu dengannya dan saya menciumnya berkali-kali. Saya yakin dia bukan sengaja melakukannya," kata Shukarno yang mengaku sangat mengagumi bekas Presiden Sukarno dari Indonesia.

Walaupun berdarah Melayu Perak tulen, Shukarno telah memilih nama beberapa anak Presiden Sukarno termasuk Kartika Sari Dewi semasa menamakan anaknya.

"Ramai yang anggap saya melepaskannya ke Singapura seawal usia 18 tahun. Sebenarnya, Kartika ke sana kerana mengikuti suami selepas bernikah iaitu pada usianya 19 tahun.

"Anak lelaki saya, Subandrio dan seorang lagi anak perempuan bersama suaminya, juga tinggal di rumah yang sama dengan Kartika di Singapura. Pendek kata, segala pelakuan Kartika pasti diketahui adik-beradiknya yang lain," katanya.


'SAYA tahu dia hanya tergelincir dan menjadi kewajipan saya sebagai wali, membawanya pulang' - Shukarno.


Menurut Shukarno, selepas episod turun naik mahkamah Kartika disiarkan media, beliau sentiasa memberi semangat kepada anaknya itu supaya menyelesaikannya dan jangan lari daripada sistem perundangan negara.

Ibu guru al-Quran

"Kartika mungkin boleh tidak hadir ke mahkamah atau menghilangkan diri dalam tempoh dua tahun selepas ditangkap, namun itu bukanlah satu tindakan yang bijak.

"Saya juga sentiasa berpesan kepadanya, walau apa pun hukuman yang dikenakan ke atasnya, terimalah kerana itu akan memberinya pengajaran," katanya.

Shukarno bagaimanapun bersyukur, isterinya, Wan Badariah Meor Abdul Salim yang merupakan bekas guru al-Quran turut menyokong dan membantu Kartika khususnya dalam menghadapi saat-saat yang mencabar itu.

Tidak mahu dianggap riak apatah lagi dicap sebagai individu yang mahu memperbesar-besarkan tindakan anaknya yang mahu hukuman sebat itu dipercepatkan, Shukarno percaya apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya dan keluarga tidak pernah memujuk atau mendesak Kartika supaya reda dengan hukuman itu.

"Jika sepanjang dua tahun ini dia boleh turun naik mahkamah, mengapa perlu mengelak untuk menerima hukuman?

"Sebagai seorang Islam dan menjunjung kedaulatan undang-undang, Kartika tidak perlu takut menghadapinya," katanya.

Kosmo!

Tiada ulasan: