iDAN

19 Ogos 2009

BERNIKAH-LAH Wahai Remaja Moden!!! (Agama)

November 26, 2007 n-fashya "Apabila cinta itu berbunga, terasa indahnya memenuhi segenap ruang imaginasi. Jiwa dan hati meronta-ronta ingin kepada si dia. Ingin sekali mengenalinya, dan mendekatinya. Untuk menawan hatinya, agar perasaanya menjadi sama seperti apa yang dirasa oleh dirinya. Apabila cinta itu mengetuk pintu hati, siapakah yang mampu menghalang. Siapakah yang mampu mengejutkan. Siapa pula yang akan membimbing… " Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum 30: 21) Di dalam ayat di atas menunjukkan betapa Allah telah menciptakan manusia itu dijadikan fitrahnya berpasang-pasangan yang mana di kalangan mereka itu adalah saling memerlukan di antara lelaki dengan wanita. Iaitu saling melengkapi. Malah, setiap satunya sama ada lelaki atau wanita, memiliki keinginan terhadap satu dengan yang lainnya. Ini, lantas membuktikan bahawa manusia itu diciptakan dengan mempunyai fitrah untuk memilki dan dimiliki terhadap pasangan mereka masing-masing menurut pilihan dan citarasa keinginan mereka. Mereka memiliki sikap dan sifat untuk disayangi dan menyayangi. Itulah sifat neutral/fitrah setiap insan. Ia adalah merupakan suatu bentuk fitrah yang tidak boleh dihalang dan merupakah suatu sunnahtullah atau ketetapan, malah keperluan bagi kehidupan manusia yang sempurna dan harmoni. "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu fitrah kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita dan anak-anak". (Ali Imran 3:14) Apabila sampai waktu dan ketikanya, fitrah dan naluri itu akan datang mendesak dengan kuatnya, untuk mendekati dan mencari-cari/memilih-milih pasangan mereka masing-masing. Mereka akan saling mencari dan memerlukan. Alhamdulillah, ramai yang berjaya mengharungi prsoalan perasaan dan naluri ini dengan baik. Mereka berjaya menempuh dan melepasi gerbang pernikahan yang sah dan menuju kehidupan yang fitrah. Namun, dalam persoalan ini jugalah, kebiasaannya sebahagian mereka merangkul banyak kesilapan. Ini biasa sekali berlaku kepada insan bergelar remaja. Apabila fitrah dan naluri cinta mereka terhadap golongan berbeza jantina tidak ditangani dan disalurkan kepada jalan yang sewajarnya. Apatah lagi bila ianya terus ditekan dan dikongkong. Ia mampu meletus. Ditambah pula dengan dorongan nafsu dan pengaruh persekitaran, ia menjadi sukar dikawal bagi sebahagian daripada mereka. Dalam keadaan tidak terkawal, mungkin pelbagai natijah dan fenomena yang buruk mampu berlaku. Sepertimana yang kita perhatikan di masa ini, di dada-dada akhbar dan di media-media massa. Yang banyak sekali menceritakan perihal gejala seks bebas, persetubuhan haram, hamil tanpa nikah, dan sehingga kepada tahap pembuangan bayi di tempat-tempat tertentu dan mungkin juga membawa kepada aktiviti pengguguran anak luar nikah. Maka, dalam keadaan yang meruncing seperti ini, apakah kita masih perlu menutup mata dan menafikan fitrah remaja masa kini yang kebanyakan mecapai kematangan awal? Malah, mereka memiliki kemampuan dari banyak aspek. Apakah ibu bapa, perlu lagi menafikan hak anak-anak mereka untuk memenuhi naluri dan fitrah mereka secara yang halal? Kebanyakan ibu-bapa zaman ini bukanlah dari golongan orang-orang yang miskin, malah sebahagian besar mereka adalah dari golongan yang berada dan mampu mengeluarkan belanja anak-anak lebih dari yang kebiasaan. Jadi, Di sini, tidak lain… saya ingin membawakan beberapa solusi atau jalan pencerahan dengan membawakan saranan-saranan dari jalan atau petunjuk agama yang pastinya didasari sumber-sumber wahyu yang sahih dengan sedikit padangan secara ringkas… Inilah masanya untuk kita kembali melihat dan memikirkan hakikat hubungan dua insan berlainan jantina ini dari kacamata yang halal yang dipandukan oleh agama yang kita yakini. Dan bukan didasari emosi, material, dan kedudukan, serta masa semata-mata. Pertamanya, kita pergi kepada dalil ini yang merupakan firman Allah s.w.t. (yang maksudnya): “Dan kawinkanlah orang-orang yang sedirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (an-Nuur 24: 32) Dalil-dalil yang lain pula, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika seseorang hamba itu menikah, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan sebahagian daripada agamanya, oleh kerana itu hendaklah ia bertaqwa kepada Allah untuk sebahagian yang tersisa.” (Hadis Hasan Menurut Sheikh al-Albani, di dalam ash-Sahihah, (no. 625)) Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menikahlah, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan jumlah kalian yang ramai kepada umat-umat lain pada hari Kiamat, dan janganlah kalian menjadi seperti pendita Nasara (Kristian).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, (7/78)) Daripada beberapa dalil awal yang saya bawakan di atas, menunjukkan bahawa betapa saranan Allah dan Rasul-Nya kepada kita semua untuk mengambil jalan yang halal dalam memenuhi fitrah hubungan lelaki dan wanita. Lantas menutup jalan-jalan yang haram daripadanya… “Ada empat perkara yang termasuk sunnah para Rasul, iaitu; perasaan malu, memakai wangi-wangian, bersiwak, dan menikah. (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, (no. 1086) di dalam kitab an-Nikah, menurut beliau hadis ini hasan sahih) Dan diketahui juga, bahawa menjalinkan hubungan melalui ikatan nikah itu adalah suatu perbuatan yang dianjurkan oleh nabi kita s.a.w. sendiri dan merupakan sunnah yang wajar kita ambil serta contohi. Zaman ini, bukanlah masanya untuk kita bermalu-maluan dalam persoalan nikah di usia yang awal atau usia remaja. Malah, tiada salahnya dari sudut syara’ sekalipun untuk mengambil keputusan berkahwin awal walau masih berada di institusi-institusi pengajian tertentu. Malah, hakikatnya… menikah adakah jalan yang paling baik dan direkomendasikan sendiri oleh Nabi kita sendiri melalui pelbagai hadis-hadisnya. Solusi ini wajar diambil dan difikir-beratkan oleh golongan ramaja masa ini. Malah oleh golongan ibu-ibu dan bapa-bapa supaya tidak berfikiran sempit mengongkong perkara yang halal terhadap anak-anak mereka. Yang akhirnya, memungkinkan kepada akibat yang haram dan noda… Dalam persoalan seperti ini, sebenarnya saya suka dan mahu untuk mengutarakan supaya kita semua mengambil atau melihat secara positif-nya, inilah salah satunya jalan yang baik untuk mengatasi hubungan terlarang seperti aktiviti “couple” atau berpasang-pasangan di antara insan berlainan jantina. Alangkah baik-nya jika mereka yang ber-couple itu adalah terdiri daripada mereka yang bergelar suami dan isteri. Bukankah itu lebih manis, daripada mereka yang bercouple namun, hakikatnya mereka sedang melakukan perbuatan terlarang dan dibenci oleh Allah s.w.t. dan mendorong mereka kepada kancah penzinaan akibat tidak di-ikat dengan pertalian yang sah. Kita semua wajar melihat semua ini dengan skop dan pandangan yang lebih luas. Bercouple-lah secara halal dengan ikatan nikah! Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud r.a., Ia menyatakan, “Kami bersama Nabi s.a.w. sebagai pemuda yang tidak mempunyai sesuatu, lalu Baginda bersabda kepada kami; ‘Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang mampu menikah, maka menikahlah. Kerana dengan menikah itu, ia akan dapat menahan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa. Kerana dengan berpuasa itu akan dapat menahan syahwatnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari, (no. 5066)) “Tiga orang yang pasti Allah tolong adalah: Budak (hamba) yang ingin membebaskan (memerdekakan) dirinya, Lelaki yang menikah kerana ingin menjaga kesucian dirinya, dan pejuang di jalan Allah.” (Hadis bertaraf Hasan diriwayatkan oleh at-Tirmidzi (no. 1655), an-Nasaa’i (6/61)) Anjuran menikah ini dijelaskan lagi melalui dua hadis nabi di atas. Yang mana, melalui-nya (nikah) ia bakal mencegah pelbagai keburukan kepada individu yang tersebut. Yang mana, dengan nikah dapat menjaga dan memelihara kita daripada perkara yang tidak molek dan dibenci. Kesucian diri dapat dijaga dengan baik, pandangan akan dapat ditundukkan, dan naluri syahwat dapat disalurkan kepada jalan yang betul. Malah, melalui ikatan nikah yang sah ini, Nabi s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bahawa ia sebenarnya membawa kita kepada ibadah yang lebih baik dan sempurna malah dengan jalinan hubungan di bawah naungan pernikahan tersebut, ia membuahkan pahala dan bukan sebaliknya yang menatijahkan dosa. Ini jelas membezakan di antara dua hubungan yang terbina samaada tanpa nikah dan hubungan dengan pernikahan. Apa yang saya perkatakan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh imam Muslim dan Abu Dzarr, bahwa sejumlah Sahabat Nabi s.a.w. berkata kepada beliau: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendapatkan banyak pahala. Mereka melaksanakan solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa Sebagaimana kami puasa, dan mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Beliau bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kalian apa yang dapat kalian sedekahkan. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada yang ma’ruf adalah sedekah, mencegah dari yang munkar adalah sedekah, dan persetubuhan salah seorang dari kalian (dengan isterinya) adalah sedekah.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah salah seorang dari kami yang melampiaskan syahwatnya akan mendapatkan pahala?” Beliau bersabda: “Bagaimana pendapat kalian seandainya dia melampiaskan syahwatnya kepada hal yang haram, apakah dia mendapatkan dosa? Maka demikian pula jika ia melampiaskannya kepada hal yang halal, maka dia mendapatkan pahala.” (HR. Muslim (no. 1006). Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa: “Sabda Nabi: ‘Persetubuhan salah seorang dari kalian adalah sedekah,’ dimutlakkan atas jima’. Ini sebagai dalil bahwa perkara-perkara mubah/harus akan menjadi ketaatan dengan niat yang benar. Jima’ menjadi ibadah jika diniatkan untuk memenuhi hak isteri dan mempergaulinya dengan baik sebagaimana Allah mensyari’atkan kepadanya, atau diniatkan untuk mendapatkan anak (keturunan) yang soleh, atau memelihara dirinya.”) Malah, dalam hadis yang lain… Kita diperjelaskan bahawa agama kita ini bukalah agama yang didasari kepada fahaman rahib atau pendita mahupun sami. Agama kita bukanlah agama yang menghalangi fitrah manusia untuk memenuhi naluri fitrah insani. Agama kita bukanlah agama yang melarang untuk menjalinkan hubungan di antara lelaki dengan wanita. Malah ia adalah suatu yang dianjurkan, digalakkan, dan dituntut! Namun, pelulah dengan salurannya yang sebenar. Agama kita tidak seperti agama kristian yang mana paderi-paderi mereka diharamkan dari melangsungkan perkahwinan. Ia adalah seperti hadis yang berikutnya ini yang mana diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dari Anas bin Malik, ia menuturkan: “Ada tiga orang yang datang ke rumah isteri-isteri Nabi untuk bertanya tentang ibadah Nabi Ketika mereka diberi khabar, mereka seakan-akan merasakan tidak bererti. Mereka mengatakan: “Apa ertinya kita dibandingkan Nabi, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan terkemudian?” Salah seorang dari mereka berkata: “Aku akan sentiasa bersolat malam selamanya.” Orang kedua mengatakan: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan pernah berbuka” Orang ketiga pula mengatakan: “Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan menikah selamanya.” Kemudian Rasulullah s.a.w. datang, lalu bertanya: “Apakah khabar yang menyatakan demikian dan demikian? Demi Allah, sesunguhnya aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa daripada kalian, tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci Sunnah-ku, maka ia bukan termasuk golonganku.” (Hadis Riwayat Bukhari, (no. 5063) di dalam kitab an-Nikah) Al-Bukhari meriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash , ia menuturkan: Rasulullah bersabda: "Wahai ‘Abdullah, aku diberi khabar, bukankah engkau selalu berpuasa di siang hari dan solat pada malam hari?” Aku menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda: “Jangan engkau lakukan! Berpuasa dan berbukalah, bangun dan tidurlah. Sebab jasadmu mempunyai hak ke atasmu, matamu mempunyai hak ke atasmu, dan isterimu mempunyai ke hak atasmu.” (Hadis Riwayat Bukhari, (no. 5199) kitab an-Nikaah, & Muslim (no. 1159)) Berikut pula adalah sebahagian atsar (riwayat) yang tsabit (berkait) dari para sahabat dan tabi’in berkenaan anjuran untuk bernikah: Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Sa’id bin Jubair, Ibnu ‘Abbas bertanya kepadaku: “Apakah engkau sudah menikah?” Aku menjawab: “Belum.” Dia mengatakan: ‘Menikahlah, karena sebaik-baik umat ini adalah yang paling banyak isterinya.” Imam Ahmad ditanya: “Apakah seseorang diberi pahala bila mendatangi isterinya, sedangkan dia tidak memiliki syahwat?” Dia menjawab: “Ya, demi Allah, karena ia menginginkan anak. Jika tidak menginginkan anak, maka ia mengatakan: ‘Ini adalah wanita muda.’ Jadi, mengapa ia tidak diberi pahala?” (al-Mughni bisy Syarhil Kabiir (7/31)) Demikianlah beberapa anjuran, galakkan dan keutamaan untuk menjalinkan ikatan pernikahan yang dapat saya sampaikan secara ringkas. Yang seterusnya merupakan salah satu solusi yang didasari dengan sunnah-sunnah atau hadis-hadis yang sahih. Seterusnya menjelaskan yang ia merupakan ajaran nabi kita Muhammad Rasulullah s.a.w. Kepada ibu-ibu dan bapa-bapa moden zaman ini… anda sewajarnya berfikiran dengan lebih terbuka demi masa depan anak-anak anda. Juga anda wajar meneliti semula apakah sunnah-sunnah anjuran Nabi junjungan mulia kita dalam persoalan ini. Apakah tindakan kita menghalang anak-anak tesebut dari menuju ikatan pernikahan sebagai suatu yang benar dan wajar? Ataukah mungkin, sebenarnya hanya sebagai suatu hal yang menyanggahi sunnah?! Seterusnya… Persoalan-persoalan seperti tamatkan pelajaran dahulu baru fikir fasal kahwin, belum cukup umur untuk kahwin, dia tidak sekufu, kamu masih perlu dapatkan kerja dan kumpulkan duit dahulu ataupun alasan kamu wajar memiliki rumah dahulu… semua itu wajar difikirkan semula dan sebahagiannya sebenarnya tidak lagi relevan kepada remaja zaman ini. Apabila orang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya nescaya akan timbul fitnah dan kerosakan di atas muka bumi. (Riwayat at-Tirmizi dalam kitab nikah, (no. 1080) daripada Abu Hatim al-Munzi) "Aku memohon cinta-Mu (ya Allah), cinta sesiapa yang mencintai Engkau dan mencintai amal yang membawa aku dekat kepada Engkau". (Hadis Riwayat at-Tirmizi) http://n-fashya.blog.friendster.com

Tiada ulasan: