iDAN

14 Ogos 2009

Dua bayi antara lima korban terbaru H1N1(Ceritera)

Oleh Johari Ibrahim dan Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Dua bayi berusia dua bulan, termasuk seorang yang dilahirkan ketika usia kandungan 27 minggu, adalah antara lima korban wabak Influenza A (H1N1) yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 56 setakat ini.

Semua kematian berlaku antara 8 hingga 12 Ogos lalu yang empat daripadanya mempunyai faktor risiko, iaitu obesiti, diabetes, tibi paru-paru dan diabetes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata 70 peratus daripada 56 kematian membabitkan golongan berisiko, manakala 40 peratus disebabkan lewat mendapat rawatan dan 13 peratus disebabkan penyakit lewat dikesan pengamal perubatan.

“Ada antara kematian dapat dielak jika pesakit dan pengamal perubatan lebih peka serta mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Selain itu, seramai 72 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, manakala 27 lagi di ICU, dengan 18 daripadanya mempunyai faktor risiko, iaitu penyakit kronik (10), obesiti (empat), kanak-kanak (dua), hamil (seorang) dan selepas bersalin (seorang).

“Kadar penularan H1N1 dalam komuniti adalah tinggi dan ini dapat dilihat daripada bilangan pesakit yang datang ke hospital serta klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan akan mengkaji kewajaran mengumumkan kawasan atau lokasi panas yang banyak merekodkan kes H1N1.

Beliau berkata, pertimbangan yang akan dibuat ialah sama ada pengumuman itu boleh mencetuskan panik di kalangan rakyat atau membantu mengurangkan penularan wabak.

"Bagaimanapun, maklumat dalam media ada setiap hari (tetapi) saya akan bincang dengan kementerian (Kesihatan) sama ada wajar didedahkan.

“Jika perlu kita akan umumkan seperti kita hadapi jerebu. Tetapi ini sukar kerana penyakit kita tidak nampak... kita kena ambil langkah mengawal sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin juga berkata, kerajaan tidak berselindung mengenai penyakit itu, sebaliknya memberikan maklumat harian kepada rakyat.

"Peratusannya masih kecil dan kalau ikut (angka) antarabangsa, 0.004 peratus (kematian) tapi kita tidak boleh anggap kecil sebab ia membabitkan nyawa," katanya.

Tiada ulasan: