am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Tempoh edah hanya tiga bulan manakala tawaran (pekerjaan) itu datang selepas bercerai. Kalau saya tolak (tawaran) bermakna saya tolak rezeki Allah,” kata Maizawati Zainal, menjawab teguran bekas suaminya, Akhil Hayy, yang kurang senang apabila dia menerima tawaran pekerjaan tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
Selain menjadi duta produk tertentu, Maizawati dilaporkan menerima tawaran beberapa pihak termasuk pertubuhan wanita untuk menjadi jurucakap mereka tanpa pengetahuan penyanyi dan pendakwah bebas itu.
Maizawati, 33, berkata tawaran diterimanya itu penting untuk jangka masa panjang kerana selepas habis tempoh edah, dia perlu mencari sumber pendapatan sendiri bagi menanggung keluarga.
“Ustaz (Akhil) juga perlu fikirkan pro dan kontra, bukan saya tidak meminta izin dia... saya sudah memaklumkan kepadanya melalui SMS walaupun dia tidak membalasnya.
Sebelum ini, Akhil, 40, dipetik sebuah portal hiburan sebagai menzahirkan rasa kurang bersetuju apabila Maizawati menjadi duta produk tertentu.
Akhil dilaporkan berkata, bekas isterinya itu sepatutnya memaklumkan kepadanya terlebih dulu mengenai tawaran yang diterima itu kerana mereka masih lagi dalam edah.
Mengulas lanjut, Maizawati berkata, dia tidak boleh mengharapkan belas kasihan orang lain untuk membantunya, sebaliknya mahu berusaha membangunkan diri sendiri selain menjamin masa depan anak.
“Saya perlu bangkit selepas ‘jatuh’ dan bayangkan jika saya menolak tawaran yang datang, ia umpama saya membiarkan peluang berlalu begitu saja.
“Saya sebenarnya bersyukur dengan tawaran itu kerana ia membuatkan saya sibuk dan tidak terlalu memikirkan perkara lalu,” katanya.
Menurutnya, dia sekarang sibuk sebagai duta koleksi tudung Myza, produk kek coklat dan terbaru menjalankan usaha sama dengan rakan menjual pakaian jenama Ar-Baya yang diimport dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
“Saya juga sedang mencari ejen atau pemborong di seluruh negara (untuk memasarkan produk Ar-Baya). Mereka yang berminat boleh hubungi saya,” katanya.
“Buat masa sekarang memang saya agak sibuk demi masa depan anak,” katanya.
Pasangan itu sah bercerai pada 15 Julai lalu selepas Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, membacakan lafaz perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan