LOS ANGELES - Beberapa maklumat terbaru berhubung kematian penyanyi Michael Jackson (gambar) didedahkan semalam selepas sebuah akhbar Britain memperoleh sejumlah gambar tempat kematian Raja Pop tersebut.
Imej berkenaan dirakam di bilik tidur tingkat dua rumah sewa penyanyi bergelar Jacko itu oleh seorang ahli keluarganya sehari selepas dia meninggal dunia di lokasi tersebut, di sini.
Gambar-gambar itu menunjukkan tempat di mana doktor peribadi Jacko, Dr. Conrad Murray menghabiskan masa 25 minit bagi menyedarkan penyanyi itu setelah degupan jantung tiba-tiba terhenti pada 25 Jun lepas.
Kali pertama, Murray cuba memulihkan Jacko di atas katilnya manakala cubaan kedua dilakukan selepas dia memindahkan penyanyi itu ke lantai bilik tersebut.
"Itulah tempat di mana Jacko meninggal dunia," kata Koroner Los Angeles, Leftenan Fred Corral ketika mengesahkan kesahihan gambar-gambar itu.
Ia menggambarkan senario seperti yang ditemui pasukan detektif selepas petugas-petugas paramedik membawa Jacko ke Pusat Perubatan UCLA sebelum dia diumumkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang.
Di atas lantai di sebelah katil tersebut terdapat sebuah beg berisi pam yang digunakan oleh anggota-anggota paramedik bagi menyalurkan oksigen untuk mengekalkan hayat pesakit yang tidak sedarkan diri.
Turut kelihatan di lokasi tersebut ialah pad alkohol yang digunakan bagi membersihkan kulit sebelum suntikan, segulung pita pembedahan dan sekotak sarung tangan getah. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan