iDAN

29 Ogos 2009

‘Ingatkan dia tidur’ (Ceritera)

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KAJANG: “Arwah mengadu letih dan lenguh ketika di lapangan terbang lagi. Sewaktu dalam penerbangan, dia meminta saya memicit badannya. Sangkaan saya dia tidur kerana keletihan tetapi rupa-rupanya dia sudah tiada,” kata isteri Allahyarham Senator Profesor Datuk Dr Ismail Salleh, Datin Hasnah Wahab, 51.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, di sini semalam berkata, beliau bersama Allahyarham dalam perjalanan pulang dari China selepas menghadiri mesyuarat mengenai urusan universitinya, Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech sejak dua hari lalu.

“Arwah kebelakangan ini memang sering tidak sihat, namun dia tetap aktif menjalankan tugasnya termasuk menjadi penceramah motivasi di beberapa universiti tempatan.

“Lebih menyedihkan, dia bakal menyambut ulang tahun kelahirannya ke-62 pada 2 September ini dan majlis perkahwinan anak sulung hujung tahun ini, namun Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Hasnah berkata, suaminya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam penerbangan Tiger Airways kira-kira jam 2 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura kira-kira jam 3.45 pagi.

“Sebaik tiba di Singapura, arwah dibawa ke Hospital Besar Singapura untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Ba’alwie untuk dimandi dan dikafankan.

“Semua urusan terbabit dilakukan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan kemudian terus disembahyangkan di sana,” katanya.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor sebelum diterbangkan menggunakan pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang TUDM Subang jam 7 malam.

Jenazah kemudian dibawa ke kediamannya di sini, kira-kira jam 9 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan jam 10.30 malam tadi.

Allahyarham meninggalkan enam orang anak iaitu Irwan Hanis, 26, Norhazwani, 24, Farah Shazwani Hanis, 22, Syafiq Hanis, 19, Aqilah Zafirah Hanis, 17 dan Syakir Hanis, 12.

Selain itu, Allahyarham yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 September, 1947, Allahyarham pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Harian Metro

Tiada ulasan: