KUALA LUMPUR: “Dia mungkin terlepas risiko dunia tapi risiko akhirat belum tentu lagi....kena tanggung balasan apa yang dibuatnya di dunia,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Mohd Fauzi Mustaffa.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan tidak berperikemanusiaan seorang pemuda berusia 24 tahun sanggup meninggalkan isterinya yang berusia 40 tahun selepas menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), baru-baru ini.
Lelaki terbabit bukan saja meninggalkan isterinya begitu saja malah tidak menghargai pengorbanan wanita berkenaan yang menanggung perbelanjaan pengajiannya sepanjang empat tahun menuntut di IPTA.
Mohd Fauzi berkata, tindakan pemuda itu menggambarkan dirinya bukan saja tidak berhati perut malah contoh generasi muda yang terpengaruh dengan niat songsang ingin cepat ‘senang’ ketika masih menuntut.
“Orang begini dari awal dia berkahwin bukan kerana tanggungjawab dan kasih sayang sebaliknya dipengaruhi niat buruk yang ingin berada dalam kesenangan ketika sedang melanjutkan pengajian.
“Malah berdasarkan pengamatan dan apa yang diberitahu remaja kepada saya, penuntut institut pengajian tinggi suka mencari pasangan yang berumur tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana boleh menanggung mereka.
“Bagi pemuda ini pula dia mungkin mengikut trend mencari pasangan berusia tetapi akhirnya terjebak dalam perkahwinan...dia berpura-pura cinta tetapi kemudian mengikis harta,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pengamal Perubatan Islam Darussyifa' itu turut menjelaskan ilmu yang diperoleh secara mengikis harta orang lain tidak berkat sekali gus dikeji Islam.
Beliau menasihati wanita yang berdepan masalah sebegitu supaya melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan pejabat agama bagi membela nasib selain membawa suami ke muka pengadilan.
“Lebih-lebih lagi suami yang meninggalkan isteri melebihi tiga bulan dan membawa bersama harta si isteri, berhak membuat laporan polis kerana dia dianggap pencuri atau perompak terhormat,” katanya.
Muka depan Harian Metro semalam melaporkan Emy Mayshta, 40, tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah IPTA di ibu negara, baru-baru ini.
Emy mendakwa suaminya berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu, bersama tujuh gelang, rantai dan cincin emas miliknya dianggar bernilai lebih RM10,000 yang kononnya diambil sebagai simpanan.
Difahamkan sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan diri bersama beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan