iDAN

05 Ogos 2009

Karaoke tak OK (Ceritera)


Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan enam tingkat di Jalan Sungai Besi di sini, dikesan bukan saja menyediakan karaoke dan spa, malah dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan sejak lebih setahun lalu.

Difahamkan, pengusaha premis itu menempatkan beberapa bilik karaoke berlainan saiz di tingkat tiga, empat dan lima, manakala di tingkat paling atas tidak berbumbung mempunyai kolam renang kecil dipercayai tempat sauna.

Selepas puas berkaraoke, lelaki miang yang mahu melampias nafsu bersama pelayan pelanggan (GRO) warga asing dikatakan dibawa ke bilik khas mempunyai tilam dan pili air di tingkat dua bangunan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, beberapa bilik khas disediakan di belakang sofa di bilik karaoke bagi memudahkan GRO menyembunyikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan haram itu terbongkar apabila sepasukan 50 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Putrajaya menyerbu premis berkenaan, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam.

Dalam serbuan itu, seramai 17 wanita warga China dan Vietnam lingkungan 20-an serta seorang lelaki berusia 40-an dipercayai penyelia premis berkenaan ditahan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (Kanan) Putrajaya, Mohd Radzi Ain, berkata pihaknya terpaksa menggunakan alat pemotong besi untuk memasuki premis itu melalui tangga berikutan pintunya dikunci dari dalam untuk menyembunyikan semua wanita terbabit.

“Pada awalnya, kami menyangka premis itu kosong, namun hasil pemeriksaan melalui kesan tapak kaki menemui semua wanita terbabit bersembunyi di tingkat paling atas di sekitar kawasan kolam renang dan bilik khas di belakang sofa bilik karaoke.

“Siasatan awal mendapati beberapa bilik berhawa dingin di tingkat dua premis berkenaan dipercayai dijadikan tempat pelanggan meniduri GRO.

“Ia terbukti apabila kami menemui beberapa pelanggan di dalam lima atau enam bilik berkenaan ketika pemeriksaan lanjut dilakukan,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan selama seminggu dan maklumat awam yang memaklumkan pelanggan yang datang berkaraoke ditawarkan khidmat seks bersama wanita asing berkenaan.

Katanya, semua wanita asing terbabit didapati memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial, namun menyalahgunakannya untuk kegiatan tidak bermoral.

“Mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalahguna pas lawatan sosial,” katanya.

Metro Ahad sebelum ini pernah melaporkan kewujudan premis hampir sama yang menyediakan wanita yang sedia memberi khidmat seks dan lebih membimbangkan, ia dibuka seawal jam 12 tengah hari dan ditutup pada jam 8 malam.

Premis itu menjadi tumpuan lelaki hidung belang, termasuk sudah berkahwin melampiaskan nafsu serakah kerana tidak perlu menunggu waktu malam.

Harian Metro

iDAN: Perniagaan yang paling tua dalam tamadun manusia, amat payah dibenteras lantaran pelanggannya masih ada. Kesedaran seharusnya dipupuk sejak remaja. Seperkara lagi bagi suaminya yang memang payah mengekang nafsunya seharusnya dipermudahkan untuk berpoligami agar tidak sampai melakukan zina yang terlarang.

Yang pastinya keimanan itu mestilah sentiasa diperkukuhkan apatah lagi punyai kudrat yang tinggi zahir & batin.

1 ulasan:

- just me - berkata...

Mengekang nafsu mmg tak mudah. Apalagi dgn termaktubnya sumpah si iblis utk terus2an menyesatkan seluruh keturunan Adam.

Byk yg perlu dipupuk rasanya, terutama keimanan. Namun harus setanding usaha, kesungguhan & ketakwaan padaNya. Sdgkan sang abid yg beratus tahun lamanya mengabdi kepada tuhan kecundang dgn tipu daya si iblis, inikan pula kita yg sekadar hambaNya yg biasa2..

Moga kita semua dilindungi & diberikan hidayah olehNya sepanjang hayat..