iDAN

27 Ogos 2009

Senator, profesor OKU terhebat meninggal dunia (Singgahsana)


Ogos 27, 09 11:45am

kemaskini 6.25pm
Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini, kata isteri allahyarham Hasnah Wahab.

Hasnah yang turut berada dalam penerbangan itu menemani suaminya mendapati Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlentuk kepalanya ke atas bahunya.

"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Masjid Ba'alwie di Jalan Lewis, Singapura sementara menunggu jenazah Ismail diuruskan.

Hasnah berkata suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira 2.30 pagi iaitu kira-kira sejam suku sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi.

Menurutnya, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.

Mereka bertolak 25 Ogos dan pulang malam keesokannya dan dijadual tiba di Singapura pada 3.45 pagi ini.

Sebaik tiba di sini, jenazah Ismail dibawa ke Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Jenazah Ismail kemudian dibawa ke Masjid Ba'alwie untuk dimandi dan dikafankan.

Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Ahmad Anuar Adnan membantu menguruskan jenazah Ismail.

Jenazah Ismail kemudian disembahyangkan oleh imam Hasan Al-Attas bersama para pegawai kedutaan dan jemaah masjid.

Jenazah kemudian dimasukkan ke dalam van jenazah untuk dibawa ke Lapangan Terbang Senai, Johor untuk diterbangkan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ke Lapangan Terbang Subang.

Hasnah berkata jenazah suaminya akan dibawa ke rumah mereka di no. 7140, Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2, Kajang.
Beliau berkahwin dengan Ismail selama 27 tahun dan pasangan itu dikurniakan enam anak.

Beliau terkilan kerana arwah suaminya tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan pertama anak mereka pada hujung tahun ini.

"Suami saya beria-ia sangat hendak menghadiri perkahwinan pertama anak kami," kata Hasnah sambil menambah tiga anaknya masih bujang dan tiga lagi masih bersekolah.

Ismail mencipta sejarah sebagai Senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya dan cacat penglihatan di Malaysia.

Allahyarham juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS), ketua pegawai eksekutif Twintech Holdings dan naib canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Allahyarham Ismail dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya termasuk anugerah Guinness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah doktor falsafah.

Sementara itu di Kajang, abang allahyarham Zakaria Salleh, 64, berkata jenazah adiknya dijangka tiba di rumah allahyarham kira-kira 6.30 petang dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Kantan.

Katanya, adiknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit sebelum berlepas ke Beijing.

Bagaimanapun, Isnin lepas, Ismail yang menghadapi masalah buah pinggang, telah menjalani rawatan dialisis di Kuala Lumpur.

Zakaria bertindak sebagai "mata", penjaga, pembantu peribadi dan pemandu kepada Ismail sejak kecil.

"Saya telah berjanji dengan arwah mak saya, saya akan jaga dia selama-lamanya," kata beliau. (Bernama)

Ucap takziah

Sementara itu, ketua Dewan Pemuda PAS mengucap takziah kepada keluarga allahyarham Dr Ismail.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nasrudin Hassan berkata, Dr Ismail sebagai seorang ikon yang berjaya walaupun dalam keadaan kurang upaya.

"Namun peranan serta semangat beliau melebihi daripada orang kebiasaan.

"Dewan Pemuda PAS menghargai peranan beliau terutama dalam memperjuangkan nasib serta hak golongan orang kurang upaya di Malaysia dan berharap agar kerajaan melaksanakan segala usaha dan peranannya sebagai satu tanda penghargaan kepada beliau," katanya.

MalaysiaKini

iDAN: Aku tak pernah berbual dengan Allahyarham tetapi selalu melihat beliau di TV pun rumahnya tak jauh dari rumahku. Rumah Allahyarham di sekitar Jalan Melati di Sungai Kantan. Seharian aku memang suka sangat ikut hadapan rumahnya jika ke Kajang. Sekitar Jalan Melati sememangnya terdiri dari rumah orang yang berada. Ada perbagai rekabentuk yang menarik berciri santai & mewah. Ada ala barat ada juga rumah ala Jepun.

Selalunya jika di Jenaris sesak banget sememang aku akan sembahyang di sebelahan rumah Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh yang aku panggil Surau Bunian atau aku lari ke Masjid Kajang. Tahun lalu kerap juga aku bersama Allahyarham menunaikan solat tawarih bersama. Surau bunian & Masjid Kajang selalunya tak ramai jemaah. Masih banyak ruang kosong berbanding Jenaris. Setiap tahun Imamnya adalah dari kalangan mereka yang Tahfiz Al-Quran.

Semalam aku ke pakar jantung; buat kali ke lima; masalah jantungku juga belum selesai. Nampaknya sekitar tahun ini makin ramai mereka yang meninggal akibat serangan jantung. Pembunuh secara senyap. Jika kita perhatian umur yang meninggalkan akibat serangan jantung ini sekitar 50an. Nampaknya usiaku pun cuma ada sekitar 10 tahun sahaja lagi jika usiaku panjang. Mungkin lebih awal dari itu.

Maka itu aku nyatakan hidup kita ini sekadar mimpi. Belum puas pun kita menikmati hidup ini kekinian kita terpaksa berhadapan dengan sakit kronik. Aku memang amat keliru kenapa rata-rata kita mahukan berkerja sampai usia 58 tahun, sedangkan dalam usia selebihnya apakah kita dapat menikmati kehidupan pesara sebaiknya. Atau tidak sempat. Mati ketika bertugas.

Semalam selain aku berbual dengan Pesakit Jantung dari Kuala Pilah yang berusia 65 tahun, aku juga sempat berbual dengan seorang pangkat abang, berumur sekitar 52 tahun. Dia bermasalah injap atau pembuluhan jantungnya tersumbat. Ada dua pilihan yang doktor sarankan, pertama makan ubat & kedua kena buat pembedahan.

"Saya tanda tangan sahaja mahu kerja sampai 58 tapi rasanya saya pun akan berpencen awal!" Nada harapan tentang kerjayanya kepadaku.

"Kalau kerja itu okey, tak stres saya rasa elok kerja sahaja tapi kalau kerja macam saya dulu stres amat baik berhenti sahaja, sakit macam kita ini memang tak boleh stres. Kot! jadi lagi melarat!" Aku bersuara. "Lagipun tenguk perkembangan sekarang ini, ramai sangat meninggal sebab serangan di usia macam kita ini.."

"Penyanyi kumpulan Rabbani yang meninggal itu berumur 40an sahaja kan..?"

"Haa aah! Allahyarham Ustaz Asri 40 tahun meninggal sebab serangan jantung"

Amat muda lagi meninggalkan anak-anak kecil lagi. Aku yang berulang ke klinik ini apakah masih menaruh harapan tinggi agar usia akan bertambah panjang. Keluh hatiku. Bukan tanda putus harapan tetapi kerisauan itu sememangnya memenjara diri.

GAMBARAN JANTUNG

Jumlah kerja yang dilakukan oleh jantung adalah bersamaan dengan kerja yang dilakukan oleh seseorang individu yang mengangkat beban 6 kg (14lb) setinggi 1.5m (5 kaki) pada setiap minit. Setelah melakukan kerja sedemikian beberapa kali, seseorang individu akan menjadi letih, tetapi jantung tidak begitu. Ini amat baik kerana badan tidak boleh berfungsi tanpa bekalan darah yang tetap, oleh itu peredaran darah atau sistem kardiovaskular merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan yang berterusan.

Arteri koronari menghantar bekalan darah ke otot jantung. Arteri koronari kanan menghantar ke kiri dan kanan jantung manakala arteri koronari kiri menghantar ke kiri jantung.

Jantung merupakan organ berotot yang geronggang dan bersaiz lebih besar sedikit daripada genggaman tangan. Jantung terletak sedikit ke sebelah kiri di bahagian tengah dada.
Dinding jantung terdiri dari otot yang mempunyai ciri-ciri pengecutan yang khusus. Jantung dibahagikan kepada 2 bahagian, yang dibahagikan lagi kepada ruang atas dan ruang bawah iatu atrium dan ventrikel. Ruang atas dan ruang bawah dihubungkan oleh injap, yang terbuka dan tertutup semasa denyutan jantung dan menghalang pengaliran darah ke belakang pada waktu antara denyutan jantung.

Injap di sebelah kiri mempunyai dua kuspa dan dikenali sebagai injap mitral atau bikuspid. Injap di sebeslah kanan pula mempunyai 3 kuspa dan dikenali sebagai injap trikuspid.

STRUKTUR JANTUNG

Injap-injap yang dikenali sebagai injap semilunar, memisahkan ventrikel daripada salur darah yang mengangkut darah keluar dari jantung. Injap pulmonari memisahkan ventrikel kanan daripada arteri pulmonari, manakala injap aorta memisahkan ventrikel kiri daripada aorta.

Apabila ventrikel mengecut, injap semilunar membuka, membolehkan darah mengalir ke depan. Apabila injap semilunar menutup, injap trikuspid dan mitral membuka dan membenarkan darah mengalir melaluinya ke dalam ventrikel yang mengendur itu. Penutupan injap jantung yang berlainan inilah yang menghasilkan bunyi 'lubb dubb' yang boleh didengar melalui stetoskop.

Tiada ulasan: