iDAN

27 Ogos 2009

Tidak benar tiada tukang sebat: PGSM (Ceritera)

Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
7:16pm

Tidak benar negara ini tidak mempunyai kemahiran melaksanakan hukuman sebat seperti kehendak syariah kerana ia pernah dilaksanakan di Kelantan, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini.

"Pada April lalu, satu persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mendengar makluman daripada pegawai-pegawai penjara yang menyatakan bahawa mereka telah dilatih untuk melakukan hukuman sebatan ini dan bersedia sekiranya ada apa-apa hukuman dan mereka akan laksanakan," kata Presiden PGSM Mohamad Isa Abdul Ralip dalam satu sidang media.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin yang menyebut bahawa hukuman ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan.

Mohamad Isa menambah, kegagalan melaksanakan hukuman tersebut berpunca daripada "kelemahan" Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enakmen syariah Pahang telah lama berkuatkuasa dan mahkamah tentu mengetahui wujudnya kepakaran itu.

"Pihak mahkamah syariah Kuantan pula mengeluarkan perintah tersebut, mereka tentu sudah tahu (ada tukang sebat). Takkanlah lepas jatuh hukuman baru nak cari tukang sebat?" katanya.

"Kita kena tengok juga enakmen pentadbiran undang-undang Islam di negeri Pahang ini sudah lama, sejak 1987 lagi, tentang sebatan dan prosedur pelaksanaan hukum sebatan ini.

"Tidakkan selama ini KDN tidak menyedari tidak ada tukang sebat. Sebab itulah kami kecewa dengan kenyataan (Hishammuddin) tersebut," tambahnya.

Jelasnya, hukuman sebat secara syarie pernah dijalankan di Kelantan beberapa tahun lepas di penjara Pengkalan Chepa.

PGSM yang bergabung dalam Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengadakan sidang akhbar khas di Kuala Lumpur sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa pihak berhubung hukuman terhadap model sambilan itu.

Selain PGSM, Pembela turut disertai antaranya Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, seorang kakitangan Jabatan Penjara Kelantan mengesahkan sebatan secara syarie pernah dijalankan di penjara di negeri itu.

Beliau, yang enggan dikenali, bagaimanapun tidak dapat menyatakan tahun ia dilaksanakan tetapi yakin ia melibatkan seorang pesalah lelaki.

"Kalau ikut peraturan kita (peringkat persekutuan), memang tidak boleh sebat orang perempuan. Tapi kalau mahkamah syariah kata boleh, bolehlah," katanya lagi.

Ditanya sama ada penjara menyediakan kakitangan khas untuk menyebat pesalah wanita, sumber itu berkata: "Setakat ini kita tidak ada tukang sebat untuk pesalah wanita."

MalaysiaKini

Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah'
Sentuh kes syariah, hina mahkamah
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
1:27pm



Tindakan ketua hakim syarie Pahang menggantung keputusan menyebat Kartika Sari Dewi Shukarno melanggar prosedur mahkamah syariah negeri berkenaan, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Timbalan presidennya Muhammad Burok berkata, campur tangan daripada pihak yang tidak berkaitan dalam kes berkenaan juga menggugat pentadbiran keadilan kes tersebut.

"Dengan hormatnya saya bertanya atas kapasiti apa ketua hakim Pahang menggantung perintah mahkamah tinggi (syariah)?

"Adakah dia duduk di situ sebagai ahli mahkamah rayuan (syariah). Mahkamah rayuan belum bersidang lagi, belum ada semakan," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

"Jadi dia beri perintah itu atas kapasiti apa? Ketua hakim? Tapi yang berhak untuk menggantung keputusan ini adalah mahkamah rayuan, yang mana ketua hakim boleh menjadi panel dalam mahkamah rayuan ini."

Jelasnya lagi, mahkamah yang berhak untuk membuat keputusan lanjut - termasuk menangguhkan hukuman - adalah mahkamah rayuan, dan bukannya ketua hakim.

"Jadi keputusannya nanti adalah keputusan mahkamah rayuan, bukan keputusan ketua hakim," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan panel hakim rayuan syariah "masih belum dilantik" di Pahang.

"Kalau semua tahu tentang prosedur ini, maka kemelut ini tidak berlaku sekarang," jelas Muhammad lagi.

Tambahnya, walaupun tempoh rayuan telah tamat, Kartika masih boleh memohon untuk melanjutkan tempoh rayuan.

"Ada prosedur untuk menyemak semula hukum itu kerana waktu rayuan sudah tamat. Jadi ada pilihan, apabila rayuan sudah tamat, dia boleh ke mahkamah untuk melanjutkan masa merayu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pihak pendakwaan dan pesalah juga boleh memohon untuk menyemak keputusan berkenaan, manakala hakim juga boleh menyemak keputusannya sendiri.

MalaysiaKini

Sentuh kes syariah, hina mahkamah
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
1:27pm

Menteri diminta berhenti mengeluarkan "kenyataan jahil" berhubung prosedur mahkamah syariah kerana tindakan itu mencampuri urusannya dan boleh dianggap menghina mahkamah, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Timbalan presidennya Muhammad Burok turut menyeru pihak-ihak yang tidak berkaitan dengan urusan perundangan Islam supaya tidak mencampuri urusan mahkamah syariah.

Beliau mengeluarkan amaran ini susulan kenyataan beberapa menteri yang mengulas hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang bersalah mengambil alkohol oleh mahkamah syariah Pahang.

"Apabila umat Islam, lebih-lebih lagi pucuk pimpinan kita hendak keluarkan kenyataan, yang pertama mesti dapatkan maklumat yang tepat.

"Jangan keluar kenyataan yang menunjukkan kejahilan kamu tentang undang-undang Islam dalam Malaysia dan menunjukkan kita tidak yakin dengan undang-undang Islam ini," katanya.

"Ini adalah amaran kepada sesiapa yang cuba halang hukuman tersebut kerana itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Sesiapa yang menghalang atau cuba menghalang perjalanan kes, itu adalah menghina mahkamah. Saya tidak tahu berapa ramai yang sudah melakukan kesalah menghina mahkamah, termasuk menteri," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar anjuran gabungan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut mendakwa campur tangan yang wujud daripada menteri telah menyebabkan perjalanan kes ditangguhkan dengan tidak mengikut prosedur.

“Kes ini telah diputuskan di mahkamah... tetapi bila ada campur tangan pihak tertentu, itu menyebabkan ketidakadilan kepada institusi mahkamah itu sendiri dan juga kepada orang yang dijatuhi hukum.

“Orang itu pula memang hendak menjalani hukuman. Beliau sudah insaf dan mahu menjalani hukuman secepat mungkin, tidak kiralah pada bulan Ramadan atau sebagainya. Kalau kita tidak boleh buat siang sebab berpuasa, kita boleh buat (sebatan) waktu malam,” kata Muhammad lagi.

Menteri dalam negeri kelmarin menegaskan bahawa hukuman ke atas Kartika tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan

Hukuman ditangguhkan kerana ia merupakan kes pertama yang dihadapi, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau juga dilaporkan berkata, Jabatan Penjara perlu dipersiapkan dengan keperluan-keperluan bagi menjalankan hukuman berkenaan.

Bagaimanapun kenyataannya itu dipertikaikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Abdul Ralip dengan alasan hukuman tersebut pernah dilaksanakan seperti pernah didedahkan dalam satu seminar anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), April lalu.

Selain PPMM dan PGSM, Pembela turut disertai antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

MalaysiaKini

2 ulasan:

- just me - berkata...

Susah nak cakap kalau perkara2 mcm ni melibatkan kerenah birokrasi atau demi melindungi kepentingan pihak2 tertentu. Harap2 ketelusan undang2 di Malaysia tak dipertikai lantaran kes ini ataupun kes2 seumpamanya.

iDAN berkata...

Ramai tak setuju ada yang ganggu keputusan Mahkamah Syariah..!