iDAN

02 September 2009

Maut sebelum berbuka (Ceritera)


Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Orang ramai bertempiaran lari sebaik gempa berlaku sekitar jam 3 petang (4 petang waktu Malaysia), malah saya sendiri sempat melaungkan takbir kerana terlalu panik,” kata Nanang Setiawan, menceritakan pengalaman cemas ketika gempa bumi di Jawa Barat, semalam.

Dia yang juga Redaktor akhbar Pikiran Rakyat beribu pejabat di Bandung berkata, ketika kejadian, kebanyakan kakitangan akhbar paling laris di Jawa Barat itu sedang bersiap menunaikan solat Asar di surau dalam bangunan syarikat itu di Jalan Soekarno-Hatta, Bandung.

Menurutnya, sebaik gegaran kuat akibat gempa bumi itu dirasai, orang ramai mulai panik sehingga ada antara mereka menjerit ketakutan dan bergegas keluar dari bangunan ke kawasan lapang untuk menyelamatkan diri.

“Kami dapat mengagak berlaku gempa bumi apabila merasai goncangan kuat itu,” katanya ketika dihubungi malam tadi, sambil memberitahu maklumat diperoleh tidak lama kemudian mengesahkan gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter itu berpusat di 125 kilometer barat daya kota Tasikmalaya, Jawa Barat.Nanang yang juga wartawan kanan di Pikiran Rakyat berkata, gempa kuat yang dilaporkan berlaku pada kedalaman kira-kira 30 kilometer di bawah permukaan laut itu mengakibatkan beberapa daerah di sekitar Jawa Barat, terjejas.

Katanya, antara daerah yang paling teruk terjejas akibat bencana alam itu Bandung, Cianjur, Pangalengan, Garut, Priangan Timur, Ciamis, Tasikmalaya, Banjar, Sumedang, Sukabumi dan Bogor.

“Sehingga jam 8 malam waktu tempatan, sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan terbunuh membabitkan 11 korban di Cianjur, Tasikmalaya (lapan), Garut (tiga) dan satu kematian di Sukabumi. Dikhuatiri kira-kira 50 penduduk masih tertimbus di daerah Cianjur, manakala 350 cedera.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pasukan polis, tentera, bomba termasuk Palang Merah masih diteruskan, malah tiada tanda untuk berhenti setakat ini berikutan khuatir ramai yang tertimbun di bawah runtuhan.

“Sukar hendak dipastikan jumlah korban kerana beberapa kawasan mengalami kesukaran komunikasi terutama di kawasan Cianjur yang khabarnya masih ramai penduduk tertimbus di bawah runtuhan bukit berdekatan dan bangunan.

“Berikutan gempa ini, orang ramai bertempiaran keluar dari bangunan kerana panik termasuk pelancong dan penduduk tempatan menyebabkan suasana hingar seketika, malah ada yang berteriak menangis,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, agensi berita AFP memetik pihak berkuasa Indonesia melaporkan, angka korban akibat bencana alam itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 33 orang setakat jam 11 malam tadi.

“Sejumlah 33 orang terbunuh, 305 cedera dan 40 masih hilang,” kata Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya kepada AFP.

Menurutnya, 11 orang mati di daerah Cianjur, Bandung (6), Banjar (6), Garut (4) dan Tasikmalaya (3) dan masing-masing satu di Kota Tasikmalaya, Sukabumi and Jakarta.

Terdahulu, jurucakap agensi pengurusan bencana, Priyadi Kardono dipetik berkata kepada AFP, lebih 5,000 orang lari meninggalkan rumah masing-masing kerana bimbang gempa bumi susulan di Cianjur, antara daerah paling teruk dilanda kejadian berkenaan.

Nanang berkata, berdasarkan laporan awal daripada wartawan Pikiran Rakyat yang bergegas ke lokasi kejadian, ribuan rumah rosak teruk, malah ada yang ranap sama sekali akibat gempa bumi di Sukabumi, dekat Bandung.

Menurutnya, keresahan penduduk di wilayah Jawa Barat kemungkinan berlaku tsunami kedua selepas Aceh jelas kelihatan apabila masing-masing berlari ke kawasan lapang untuk menyelamatkan diri.

Katanya, dia sendiri berusaha menenangkan diri apabila merasai gegaran maha dahsyat ketika gempa berlaku meskipun Bandung berada pada kedudukan 105 kilometer dari pusat gempa di Laut Selatan.

“Setiap kawasan terjejas membuka pusat perlindungan masing-masing di masjid dan sekolah untuk mangsa gempa berteduh, manakala hospital serta pusat rawatan masih dipenuhi penduduk yang mendapatkan rawatan.

“Kami juga membuka tabung bantuan gempa bumi bagi mengumpul dana membantu mangsa, namun kos kerugian akibat bencana belum dapat dipastikan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Indonesia menerusi Gabenor Jawa Barat, H Ahmad Heryawan, melahirkan kesedihan berikutan gempa yang meragut banyak nyawa penduduk, namun dalam masa sama meminta warganya tidak panik dan bersabar dengan dugaan besar pada Ramadan yang mulia ini.

“Gabenor menyatakan rasa prihatinnya terhadap apa yang berlaku dan meminta penduduk tidak panik, manakala anggota penyelamat sudah diarah memberi pertolongan kepada (mangsa) yang terselamat,” katanya.

SUKABUMI: Gempa bumi kuat berukuran 7 magnitud melanda Jawa Barat, semalam dan mengorbankan sekurang-kurangnya 35 orang.

Seramai 305 dilaporkan cedera dan 40 lagi hilang.

Kira-kira 700 rumah musnah, manakala 600 rosak dalam kejadian itu.

Gegaran berpusat 49 kilometer di dalam bumi berlaku kurang 200 kilometer dari Jakarta dan mencetuskan suasana panik orang ramai.

Ribuan orang bergegas meninggalkan kediaman, kompleks beli-belah dan bangunan pejabat di Jawa Barat serta Jakarta apabila bangunan tinggi bergegar sekurang-kurangnya seminit kira-kira jam 3 petang (4 petang waktu Malaysia).

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono, berkata kebanyakan mangsa terbunuh akibat terperangkap di bawah runtuhan rumah masing-masing.

Ada beberapa kawasan terpencil, katanya, terputus hubungan dan keadaan sebenar di sana belum diketahui.

Pelajar, Rini, berkata pengalaman semalam memang menakutkannya.

“Lantai kelihatan beralun dan dari bahagian atas, terdengar bunyi sangat kuat seolah-olah bangunan akan runtuh,” katanya mengenai bangunan kompleks beli-belah Grand Indonesia yang dikunjunginya. - AFP

Tiada ulasan: