iDAN

03 Disember 2009

Dari Mana Datangnya Manusia (Singgahsana)

Logo Desa Sri Jenaris

"Nak buat apa beli rumah dalam hutan ini, jual balik carilah rumah yang dekat sikit dengan bandar!" aku dengar tak dengar sahaja ibu Mila bising. Ingatkan dia suka melihat menantunya beli rumah untuk anaknya berteduh. Emmm! kalau aku ada duit memang nak beli bangunan atas pejabat Mila. Agar senang Mila berulang kerja. Aku memang tak mampu, rumah teres kecil ini sahaja yang mampu aku beli. Itu pun aku buat dua nama, telah korek semua duit simpan & duit KWSP.

Darah mudaku tersirap juga, baik aku ambil angin Jenaris di luar. Bersama sigarku; Aku lihat kereta Mila telah mula berkabus. Jam baru sekitar 8:00 malam. Memang udara di Jenaris nyaman amat. Suasana sunyi amat; tak nampak pun kereta sesak lalu lintas. Aku menyukai suasana kampung, maka itu aku teruja tinggal di Jenaris, nama sebenarnya Desa Sri Jenaris. Masih rasa suasana desa; kelilingnya masih tidak dibangunkan; sekadar ladang getah, hutan, masih terdapat jeram & air terjun. Bab mertua komplen ini; Teringat aku akan Dr Thomas yang rapat denganku, dia pernah mengadu padaku, Mak Mertuanya datang rumah membebel rumah yang dibeli kecil banding harganya terutama dapur katanya kecil amat; dia beli rumah ratusan ribu RM di Bukit Belimbing, Seri Kembangan. Memang dapurnya tak seluas mana!.

"Saya rasa iDAN, mahu campak sahaja dia punya beg keluar rumah!" aku tahan gelak sahaja, dunia kehidupan seorang doktor pun begitu juga.

"Saya beli rumah itu sekitar RM200 ribu, memang itu harganya yang saya mampu... ini bukan kampung!... mana boleh samakan dapurnya!"

Aku dapat pujuk dua rakanku sekerja membeli rumah di sini, mahu ke ofis UPM sekitar 30 minit, ke pekan Kajang sekitar 10 minit. Selang beberapa tahun aku dapat pujuk dua lagi rakanku tinggal di sini. Menjadi kami berlima sefakulti tinggal di sini.

Semua itu ceritera kira-kira 20 tahun lalu; sekarang ini Jenaris telah menjadi bagaikan sebuah bandar. Jalan depan rumah sudah bagai jalan raya besar, aku lemas & sering bersungut nak keluar rumah pun tak bebas ada sahaja kereta atau motosikal yang mahu melintas. Giant, Kamdar, Kolej Komuniti & pelbagai kedai telah sarat di sini, selang sekilometer telah ada TESCO, ke UPM telah ada lebuh raya 20 minit sahaja, ke KL sekitar 30 minit sahaja, enam lorong lebuh rayanya, tiga pergi & tiga balik. Banyak pilihan jalan rayanya. Kami telah tinggal di pusat bandaraya. Rumah ini dulunya RM40 ribu sekarang telah menjadi RM150 ribu. Itu harga kosong tidak dideko. Rumah seluas ini yang pegangan bebas bila-bila masa akan laku sekitar RM200 ribu jika telah ditambah belakangnya. Begitu cepat nilai harta tanah naiknya. Itu bedanya pegangan bebas & pajakan.

Sedihnya sekarang tinggal aku bertiga sahaja yang sefakulti tinggal di Jenaris, itu pun masing-masing bawa hal. Maklumlah dua rakanku itu telah jadi orang kaya raya, jenguk aku tanya khabar pun tak mahu. Payah kalau sudah jadi orang kaya ni!, sibuk memanjang!. Arwah Nasha gantung diri & Arwah Abg Din sakit serangan jantung baru bulan puasa lalu pergi meninggalkanku. Atan & Sahak ini aku tak pasti sejak jadi VVIP memang tak kenal aku lagi. Kalau aku tak SMS atau telefon taubat lahom tak tahu khabar mereka ini. Sesekali aku ke surau tak juga jumpa mereka ini; pelik!. Setahu aku Atan antara orang yang bertimang-timang dengan jemaah@kariah surau. Sahak rumahnya sebelah pagar Surau.

Surau Desa Sri Jenaris

Surau Jenaris kekinian telah boleh sembahyang Jumaat, pening tenguk dari mana datangnya manusia ini, tiap kali Jumaat melimpah sampai ke luar surau. Maka itu Hari Raya Haji baru ini aku sembahyang di masjid Penjara Kajang, sekitar 10 minit sahaja dari rumah ini demi mendapat keselesaan bersembahyang raya. Jangkanya aku mahu beraya di Meru entah kenapa Mila tetiba tukar fikiran mahu beraya di Jenaris. Meriah sembahyang di masjid Penjara Kajang. Siap ada jamuan raya selepas syolat. Raya Haji ini sekadar lemang & rendang juadahnya; masa Hari Raya Puasa tempoh hari siap pelbagai kuih-muihnya. Jemaah lelakinya sekadar separuh masjid, perempuan yang nampaknya semakin ramai!. Hampir penuhlah jemaahnya masjid Penjara Kajang.

Jika aku kelapangan aku suka ke Kamdar. Kamdar selalu buat tawaran harga, memang barangannya amat murah & berbaloi. Sepasang Baju Melayu sekitar RM50 telah tolak potongan; memang cantik jika potongannya 50%. Begini juga kain ela, selimut, cadar & barangan lain. Parkir pun percuma. Pilihan makanan pula banyak di sini. Ada makanan mamak 24 jam begitu juga Mc D yang baru dibuka. Jika mahu makan KFC & lain-lainnya kenalah ke TESCO. Afiz sampai sekarang masih berkerja sambilan di KFC. Malam-malam dia jadi juruwang di KFC.

Inilah namanya pembangunan sekitar 20 tahun telah padat; aku tak pasti apa akan jadi 20 tahun akan datang. Aku memanglah antara ada & tiada ketika itu nanti. Yang pasti jalan raya memang kena ditambah, tak mungkin kenderaan akan lancar kecuali kerajaan memikirkan LRT atau pengangkutan lain yang boleh melancarkan perjalanan.

Masjid Penjara Kajang

21 ulasan:

- just me - berkata...

Wah, dah berwajah baru nampaknya blog ni :) sempena nak menjengah ke tahun 2010 ke abg iDAN?

Perihal kawan2 membawa diri/hal masing2 hingga hubungan makin renggang itu rasanya perkara biasa. Soal makin kaya atau sibuk dgn kerja itu faktor minor yg jadi punca. Rasanya, mana2 tahap pun perkara begini biasa terjadi. Lepas sekolah, lepak U, lepas tukar tempat kerja, wpun tinggal setaman/sekampung hubungan itu sikit2 renggang & terjurang.

Saya sendiri alami perkara begini. Kdg2 lelah juga mengejar teman2 lama. Sudahnya dibiarkan saje dek terasa hanya diri sendiri je yg asyik terkejar2, sdgkan kita ada atau takde dlm hidup mereka pun tiada bezanya. Tp itulah lumrah hidup. Terkadang, saya pun tak sempat berhubung dgn teman2 yg sememangnya rapat sementelah kawan2 ramai bertebaran di Pahang & KL, sdg saya pulak nun jauh di pantai timur. Nak call selalu, saya cuma pelajar. Tak punya gaji bulanan mcm mereka. Nak harapkan mereka call, segan pun ada.

Jadi sesekali pulang ke kg atau ke KL, masa yg ada diluangkan semaksimum mungkin dgn teman2. Itupun klu mereka cuti pd waktu yg sama. Namun, waktu yg sedikit itulah akan kami manfaatkan utk kembali bertaut setelah berjauhan sekian lama.

Lumrah hidup kan abg iDAN, manusia datang & pergi meninggalkan jejak tersendiri di dalam hati & hidup kita... :)

iDAN berkata...

Dik Ieja,

Kita dapat kesan pengunjung ke blog kita; kita juga tahu semua rakan kita boleh akses internet 2 jam di ofis sana.

Dulu abg memang berkejar sana sini sebab memang kerjanya baiki komputer. Bayangkan sekarang cuma seorang dua yang mahu klik blog abg.

Kes setaman itu, memang tak lojik mahu bertanya khabar, sampai hari raya pun tak menjenguk abg memang menjenguk mereka.

Bila bersara begini orang yang tak kenal pula yang rajin bertanya khabar, macam Dik Ieja, Sdr Zeq, Diana, Raziff, Eelobor, Combi. YangManis, Ena, Nanie, Lavender, Shamshina & ramai lagi yang rajin mengintai abg & risau jika dengar abg tak sihat. Kebanyakkan dari pemblog Bro Mazidul.

Kaunter yang abg letak takkan menipu!.

Bukan hanya blog tempat kita mengesan kekawan, abg tidak pernah ubah nombor telefon rumah; 24 jam terpasang! Telefon bimbit memanglah jarang abg buka. Mana ada kekawan bertanya khabar?.

Hari raya contohnya, tak ada pun kekawan jemput rumah terbuka atau sebagainya. Dik Ieja pun tahu trend sekarang, kalau tak ada rumah terbuka jangan harap dapat bertamu.

Kita telah bersara; manalah nak panjang langkahnya.

Maka itu kalau abg telah balik kampung nanti, pasti memang tak siapa lagi sudi bertanya khabar, perhubungan semakin susah mengunjungi abg lagilah payah tentunya.

azieazah berkata...

BRO.. Salam kenal.

Dulu masa tunggu result SPM, saya dok sekejap kat Sg Sekamat...

selepas lebih 23 tahun, saya akhirnya menjadikan jalan Kajang lama tu laluan saya setiap minggu kerana kerja2 luar di Taman Mesra (dulu tak wujud lagi agaknya, tak ingat)

Saya pernah masuk sekali ke Sg Sekamat tu, cari rumah sewa lama, dah tak leh nak ingat jalan...

Itu lah pembangunan...

Cetusan berkata...

insan seni suka sepi sunyi..hijau aman damai kicauan burung..jauh kota batu

Cetusan berkata...

alangkah bertuahnya jika kebetulan rumah sebelah masjid..atau surau

iDAN berkata...

Sdr Azieazah,

Sg Segamat tu dulunya banyak rumah lot, sekarang telah banyak taman & rumah orang berada di belakang sana. Kata rakan saya yang dulunya keluarga mertuanya tinggal di sini; jauh di belakang sana ramai orang Indon membina rumah-rumah besar di sana. Saya tak biasa sangat di kawasan sana. Tapi rajin juga hantar rakan anak di sana.

Tanah Perkukuran sebelah sekolah itu yang tak banyak berubah, bebanyakan jalan di sana telah jadi jalan mati sebab dipotong oleh lebuh raya.

Terima kasih sudi klik blog ini, wajahnya telah terlalu biasa di blog Sdr Mazidul.

iDAN berkata...

Sdr Zeq

Tak semua orang dilahirkan rapat dengan Surau atau Masjid, sukar diramal kekkuatan iman kita ini. Ada yang sebelah surau tapi masih suka sembahyang sendirian. Saya hanya perlu menapak sekitar 50 meter sahaja untuk ke surau!.

Memang betul saya lebih suka tinggal di kampung, memetik teratai atau melihat ikan pilai lawan membuat buih di celahan kiambang. Rindu amat bunyi burung sebarau pun melihat merbah memakan buah remunai di rumpun damai.

Keriangan burung di kampung mendamaikan hati. Sayangnya kampung saya itu banyak diganggu penagih tak boleh terlepa ada sahaja yang dicurinya. Masalah moden yang keruntuhan moralnya. Kabel telefon pun telah lama terputus di sana.

yangmanis berkata...

Sahabat datang dan pergi. Hanya yang benar serasi yang kekal lama.
Sesekali bila lihat gambar-gambar lama, rindu dan tertanya juga mana menghilang sabat-sahabat ini.
Bila lihat dlm Facebook, masing-masing dah berubah dan beranak pinak. Namun setakat jumpa di Facebook aje lah. Mana taknya..masing-masing sibuk.

Saya ada sahabat tinggal di Jenaris. Ayahnya menetap di situ dah berpuluh tahun juga. Mesti abang Idan kenal ayahnya, En Abdullah. Beberapa bulan lepas, saya ke Sg Kantan Kajang, mengikut sahabat ini pulang ke rumah neneknya. Tak jauh dari Jenaris, kan? Saya suka suasana di Sg Kantan tu, masih terasa spt di kampung-kampung.

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Hidup kita macam tu la agaknya kan iDAN. Saya selalu fikir, bagaimanalah nasib saya bila tua kelak. Entah ada atau tidak kawan2 yang mengingati tika sakit, tika susah.

Kawan untuk bersenang dan bergembira memang mudah dicari, tapi kawan yang masih setia disebelah bila susah, bila uzur.... barangkali boleh dibilang sebelah tangan aje.

Tapi iDAN, Jangan terganggu atau terlalu kecewa, jangan dilayan rasa rajuk tu. Lagipun barangkali mereka terlalu sibuk. Mungkin masa bersembang kadang2 meletus juga nama iDAN cuma kita tak tahu. Berfikiran positif aje. Mudah2an yang mereka ingat ttg kita yang elok2 aje. Kalau yang tak elok, lebih baik tak ingat langsung. Ye tak?

Cetusan berkata...

mana- mana lokasi pencuri kabel juga berlaku di Kelantan. tak sampai seminggu kabel dipasang hilang.

eelobor berkata...

Thanx...info abg idan byk yg boleh berkongsi. saat² dulu juga ramai kawan...bermacam² "pesen" (jenis), ada kawan gelak tawa, ada kawan sama menangis, ada yg sanggup bersusah payah. adat dunia...berputar. Suka kan kedamaian namun tidak gemar kesepian. wajah anak kecil...melepaskan semua tekanan di pejabat.

Unknown berkata...

waa..bestnyaa :)

Unknown berkata...

Assalam alaikum

Saudara Idan Radzi.

1. Blog saudara bernuansa baru

2. "Dari mana datangnya manusia (singgahsana)," adakah ia dimaksudkan dengan mausia yang berasal dari kampung dan desa berhijrah ke bandar dan ke desa semula apabila usia mulai senja?

3. Isi kandungan wacana ini nampak sedih tetapi semacam ingin memberitahu sesuatu.

Wassalam

Sam, Herr

iDAN berkata...

Sdr YangManis;

Sepanjang hayat saya hanya sekali dapat berkumpul dengan sahabat lama semasa sama tinggal di Asrama Putra Jalan Watson Ipoh, bayangkan dari seratus lebih hanya seorang dua yang masih berhubung itu pun melalu e-mel kalau hari raya.

Kelompok kedua rakan sekerja, bilan telah bersara begini hanyalah boleh bilang dengan jari masih ingat & mahu bertanya khabar. Itu pun jika saya yang bertelefon.Masing-masing sibuk dengan urusan dunianya.

Hubungan kekeluargaan juga begitu, dari ramai saudara mara boleh dibilang dengan jari yang rajin berhubung. Jangan sampai ketika kita pergi nanti tiada yang menziarahi sudahlah.

Berbeda dengan keluarga Kak Mila, masyarakat Jawa nampaknya masih kuat ikatan ukhuwahnya, rasanya kita kaum Melayu akan kalah dapat memeliharaan ikatan persaudaraan & saling membantu dalam banyak hal.

Bila kita melihat perkembangan politik kita pun terasa bagaikan kita kaum Melayu makin berpecah & lebih mementingkan diri sendiri.

iDAN berkata...

Sdr Diana;

Hakikatnya memang begitu, saya kini telah menuju ke hujung usia. Bila tinggal di bandar begini manalah ada masa untuk kita berkumpul bagai di kampung.

Jika ada pun ketika kenduri kendara; di surau pun batasnya amat sedikit, selalunya ketika maghrib & isya sahaja ramai berkumpul. Mana ada ruang masa yang panjang.

Bila bersara di bandar nampaknya masing-masing akan sibuk dengan anak-anak atau cucu jika sempat ketemu menantu. Selebihnya masing-masing ikut haluan sendiri.

Ketika berbual tersebut nama kita bila ada yang mengaitkan sesuatu perkara. Jika kita memang bukan orang penting, akan dilupakan begitu sahaja. Lagi pun kita ini bagaikan pendatang merantau di negeri orang bila bersara & kembali berpindah jauh tentunya akan pasti bertambah sukarnya perhubungan.

Yang nyata hidup terpaksa diteruskan jua.

iDAN berkata...

Sdr Zeq;

Saya rasa golongan pencuri kabel ini takkan mungkin menjadi kaya pun, sekadar menyusahkan masyarakat; Mungkin dari kalangan penagih.

Kesedaran sivik ini kena kita bentuk dari kecil lagi. Sikap tidak menghormati hak orang lain kenalah kita kikis & masalah ini tidak akan selesai jika semua pihak memandangnya perkara remeh.

iDAN berkata...

Sdr Eelobor,

Rasanya yang terbaik ketika hari tua adalah kita kembali kampung halaman jika di bandar sekadar tinggal di rumah teres seperti saya ini.

Bayangkanlah jika kita berpencen selama 10 ke 20 tahun yang terpaksa menjaga cucu atau berulang-alik ke surau sahaja. Saya baru sahaja mengikut rakan saya di Kuala Kangsar, banyak sangat rumah pusaka terbiar & hampir roboh dimakan anai-anai. Buahan seperti langsat monyet pun tak termakan.

Masjid di kampung pun dua saf pun tak penuh. Apa jadi tanah pusaka tak terurus.

iDAN berkata...

Salam Cik EPAL , rajin rajin jenguk kami di sini!.

iDAN berkata...

Sdr BlueGene,

Terima kasih rajin mengintai kami, memang benar kata orang tua setinggi-tinggi terbangnya bangau lambat laun akan singgah ke belakang kerbau jua.

Singgahsana bagi saya bagaikan Istana Hinggap sahaja. Sebaik mana hidup di kota, jiwa kampung kita pasti teringin ke persekitaran asalnya. Bayangkan semaraknya jiwa jika dengar lagi Balik Kampung ketika mahu berhari raya. Samalah jika mendengar lagi Dendang Perantau.

Maka itu saya amat berharap masyarakat kita menyayangi kampung halaman. Jika di kota kita stres & hilang ketenangan; di mana lagi tempat kita mahu berhijrah?.

Wacana ini nampak sedih lantaran di taman ini dulunya damai, sekarang semakin kontras & sibuk dengan manusia yang mengejar duniawi.

zack zukhairi berkata...

sama macam my mom yg suke gi kamdar. hehe

iDAN berkata...

Sdr Zack Zukhairi,

Baju yang dibuat di India biasanya kainnya 100% korton, sedap dipakai, saya suka pakai seluarnya yang jenis jerut, ada getah dipinggangnya. Perut kita ini kadang2 besar kadang2 kecil.

Samalah selimut dari India memang sedap digunakan, saya agak Kajul pun suka pakai selimut dari Kamdar ini!.

Terima Kasih sudi klik blog saya ini.