iDAN

18 Ogos 2009

Liza permaisuri hati Ajai (Hiburan)


AJAI mencium dahi Liza selepas selamat dinikahkan di Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang Sabtu lalu.

BENARLAH kata pepatah yang berbunyi, 'Cinta adalah fajar perkahwinan, dan perkahwinan adalah senja percintaan'. Melayari percintaan selama tiga tahun dengan wanita idaman hatinya pasti bukan satu tempoh yang mudah bagi komposer muda yang tersohor ini, apatah lagi desas-desus dirinya yang dikaitkan dengan beberapa wanita jelita sebelum ini yang kononnya telah berjaya mengetuk pintu hatinya.

Pernah dilabel sebagai antara 'duda terhangat tanah air', pengalaman lalu juga menjadikan dirinya amat berhati-hati bila diajak bicara soal cinta.

Bagaimanapun kisah percintaan antara Ajai dan Norliza Ilias, 37, atau Liza yang mula dihidu rakan wartawan terungkai juga akhirnya melalui titipan kad jemputan ke majlis pernikahan mereka awal bulan lalu.

Ibarat sudah terang lagikan bersuluh, teka-teki cinta Ajai dan Liza berakhir juga ke jenjang pelamin.

Memang benarlah cinta itu buta, tetapi sama ada secara kebetulan atau memang sudah suratan jodoh kedua Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas, 36 juga kepada gadis dari Pulau Mutiara.

Sabtu lalu, Dewan Syarahan Masjid Negeri Pulau Pinang menjadi saksi termeterainya kasih Ajai dan Liza. Dengan sekali lafaz akad nikah di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya Pulau Pinang, Mansor Taib kira-kira pukul 10.45 pagi, kedua-duanya sah bergelar suami isteri.


AJAI dan Liza bagaikan pinang dibelah dua memilih baju pengantin rona putih rekaan Rizalman Ibrahim pada hari pernikahan mereka.

Ajai yang kelihatan tenang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya pada majlis pernikahan yang berlansung tidak sampai tiga minit itu seraya melemparkan senyuman kepada Liza.

Jelas, senyuman bahagia terpancar di wajah raja sehari ini apatah lagi mahligai baru Ajai dan Liza turut dikongsi dengan permata hati Ajai iaitu Ayu Nazirah, 11. Tidak kekok bergelar ibu segera, seakan-akan ada pertalian erat antara Liza dengan Ayu yang mesra memanggilnya 'Mummy Liza' sambil mengucup tangan ibu barunya selepas majlis pernikahan selesai.

Ini merupakan pernikahan kali kedua buat Ajai yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi popular, Nurul Huda Abdul Wahab juga berasal dari Pulau Pinang.

Terdahulu, Liza yang kelihatan manis dan ayu tiba bersama rombongannya kira-kira pukul 10.30 pagi. Kehadiran rombongan keluarga pengantin perempuan yang berpakaian serba biru diketuai oleh bapa dan ibunya, Mohamad Ilias Mohamed dan Asma Hashim.

Rombongan Ajai didahului ibu bapanya, Maas Abd. Rahim dan Ishah Abu Bakar serta adik-beradik dan saudara-mara terdekat dari Johor Bahru serta kenalan dari Kuala Lumpur tiba lebih awal iaitu kira-kira pukul 10.15 pagi.

Pada majlis itu, pihak pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran termasuk mas kahwin RM1,001, hantaran dalam bentuk cek bernilai RM15,000, beg tangan, kasut, minyak wangi, gubahan buah-buahan serta sirih junjung.

Sementara pengantin lelaki pula menerima balasan sembilan dulang hantaran berupa sirih junjung, baju kemeja, kek, kasut, dompet dan tali pinggang, barang dandanan diri, telefon bimbit, sebentuk cincin dan senaskhah al-Quran.


D: CEK bernilai RM15,000 yang dihias kemas di atas dulung hantaran.

Kedua-dua pasangan yang mengaku bercinta sejak tiga tahun lalu itu kelihatan berseri-seri dengan pilihan busana sedondon berwarna putih rekaan Rizalman Ibrahim.

Pasangan itu kemudiannya diraikan pada satu majlis doa selamat di kediaman keluarga Liza di Jalan Pisang Raja, Kampung Melayu, Air Hitam dekat sini.

"Pengalaman perkahwinan terdahulu menyebabkan saya lebih berhati-hati membuat keputusan untuk kehidupan kali kedua," itu pengakuan jujur Ajai pada sidang media yang diadakan sejurus selepas majlis pernikahan selesai.

Katanya, jiwa wanita Liza yang berjaya mengikat perasaanya itu mengukuhkan hubungan mereka berdua walaupun mengakui sukar mulanya untuk membuat keputusan mencari suri pelengkap kekosongan hati.

"Sudah ketentuan jodoh saya kuat dengan dirinya. Mungkin juga faktor kami kerap berjumpa kerana kerjaya dalam bidang yang sama menerbitkan bibit-bibit cinta, tapi yang jelas 98 peratus ciri-ciri kewanitaan yang saya idamkan ada pada dirinya.

"Memang sebelum ini saya ada berkenalan dengan beberapa wanita tetapi jujur saya katakan, Liza yang paling sesuai. Bercinta dengan saya pula umpama satu pakej kerana saya perlu pastikan Ayu Nazirah setuju dengan siapa yang bakal bergelar ibunya kelak.

"Bukan niat untuk menafikan kisah cinta kami sepertimana dipaparkan media sebelum ini, tetapi biarlah ia begitu kerana saya berminat berkongsi kisah tentang kerjaya selaku penerbit dan pengarah sahaja berbanding kisah-kisah peribadi," jelasnya.

Menurut Ajai, selama ini beliau lebih suka berdiam diri apabila ditanya tentang hubungannya dengan Liza kerana fokus kepada kerjaya tetapi di masa sama tidak menghalang kisah peribadinya itu disiarkan media.

"Cukuplah kalau saya katakan saya amat gembira hari ini dan bersyukur kerana segala yang dirancang akhirnya menjadi kenyataan dan bersedia untuk memulakan satu kehidupan baru.

"Walaupun ada yang kata saya berteka-teki, tetapi jujurnya kami telah merancang untuk bernikah sejak setahun lalu. Syukur kepada Allah, berkat doa keluarga dan kenalan akhirnya hari bahagia yang dinanti muncul juga," ujarnya yang kepingin untuk menimang cahayamata lelaki kembar bagi melengkapi kebahagian yang bakal dilayari.

Selepas sekian lama menduda, adakah Ajai berasa kekok untuk bergelar suami semula?

Pastinya tidak. Kerana menurut Ajai: "Pengalaman 11 tahun ketika pernikahan pertama menjadikan saya lebih matang untuk membuat keputusan kali kedua (bernikah).

"Saya pernah give up tentang perkahwinan, tapi manusia punyai penilaian yang berbeza dan memang sukar untuk buat pilihan ini, akhirnya ketentuan Ilahi membuatkan saya berfikir semuanya berbalik pada soal jodoh.

"Tentang Ayu Nazirah pula, saya kenal anak saya, dan yang penting dia gembira dengan pilihan saya dan begitulah sebaliknya," kata Ajai lagi.


LIZA selamat menjadi permaisuri hidup Ajai dengan sekali lafaz akad di hadapan kadi, Mansor Taib baru-baru ini.

Sepertimana Ajai, Liza juga tidak menyangka jodohnya dipertemukan dengan insan yang hampir dalam hidupnya.

"Mengenali Ajai, penampilannya cuma nampak garang di kaca televisyen apabila menjadi juri, tapi sebenarnya dia mempunyai ciri-ciri yang gemar berjenaka. Malah jika tertekan semasa kerja, Ajai lebih gemar ketawa.

"Sifat bertanggungjawab yang ada pada dirinya menepati ciri yang saya perlukan kepada lelaki yang bergelar suami. Kami pernah berkerja di syarikat yang sama selama kira-kira tujuh tahun dan walaupun tidak lagi sebumbung tetapi kami sering bertembung atas keperluan tugas.

"Bak kata orang Pulau Pinang 'pi mai pi mai tang tu' menyebabkan jodoh kami begitu dekat dan saya bersyukur ia dimeterai secara sah hari ini," ujarnya.

Tanpa berselindung, Ajai memberitahu sekembalinya ke ibu negara nanti mereka sibuk dengan tugasan syarikat yang perlu diselesaikan.

"Apa yang pasti urusan syarikat tetap berjalan lancar di mana Liza bertanggungjawab menguruskan soal-soal acara dan pengurusan pejabat, manakala saya lebih kepada penerbitan dan kerja kreatif.

"Walaupun berada satu bumbung bukan bermakna kami selalu jumpa di pejabat." ujar Ajai.

Ketika ditanya tentang rancangan berbulan madu, Ajai memilih untuk tidak terlalu memikirkannya.

"Saya rasa lebih manis berbulan madu di rumah sahaja, apatah lagi ini kali pertama kami menyambut Ramadan sebagai suami isteri.

"Telah lama saya mencari erti kewanitaan sebenar pada diri seorang wanita, dan inilah masa paling sesuai untuk saya menyelaminya.

"Apa yang saya pinta ialah panjatkan doa agar pelayaran keluarga kami berdua kekal ke akhir hayat," pintanya sambil mengharap restu seluruh teman dan taulan untuk mendoakan pelayaran keduanya dengan wanita yang dicintai ini.

Kosmo!

Liza sah isteri Ajai

Oleh RUDY SYAREME SHERIFFUDIN
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Sembilan puluh lapan peratus ciri-ciri wanita yang saya cari ada pada ‘Baby’. Itu yang menambat hati saya untuk memperisterikannya,” demikian kata komposer dan penyanyi terkenal, Ajai.

Ajai, 35, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, selamat diijab kabul dengan Norliza Mohd Illias yang dipanggilnya Baby tepat jam 10.40 pagi semalam di Dewan Syarahan, Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini.

Majlis akad nikah disempurnakan Naib Kadi merangkap Penolong Pendaftar Nikah Bandaraya, Mansor Taib, sambil disaksikan Ali Hussin dan Abdul Rahim Aziz dan dengan hanya sekali lafaz, Norliza atau lebih mesra dengan panggilan Liza sah menjadi isteri Ajai.

Pihak pengantin lelaki membawa tujuh dulang hantaran bersama mas kahwin RM1,001, sebentuk cincin berlian dan wang hantaran RM15,000 sebelum dibalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Ditemui selepas upacara akad nikah, Ajai bersyukur kerana hasrat untuk mendirikan rumah tangga akhirnya tercapai walaupun sebelum ini menghadapi pelbagai dugaan.

“Kegembiraan saya sukar digambarkan. Yang penting, segala-galanya berjalan lancar meskipun pernah satu ketika saya berputus asa dan tidak mahu berkahwin.

“Saya yakin pemilihan yang dibuat ini tidak silap,” katanya yang turut gembira kerana majlis akad nikahnya dihadiri anak perempuan tunggal kesayangannya, Ayu Nazirah, 11.

Sementara itu, Liza, 37, berkata dia gembira kerana percintaan yang disemai selama tiga tahun disempurnakan dengan perkahwinan dan berharap ia kekal selama-lamanya.

“Saya bersedia memikul tanggungjawab untuk menjadi isteri Ajai dan ibu kepada Ayu Nazirah. Saya akan membuat yang terbaik sebagai isteri yang diamanahkan, walaupun kini sibuk dengan tugas sebagai Pengurus Wake The Baby milik suami,” katanya.

Sementara itu, Ayu Nazirah berkata, dia gembira apabila janji dibuat bapanya tertunai akhirnya dan kini dia mempunyai ibu baru yang dipanggil ‘Mummy’.

“Saya tidak mampu kata apa-apa, namun yang pasti saya gembira dan merestui perkahwinan Papa dan Mummy,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: