iDAN

12 Januari 2010

Teringat Ingat (Singgahsana)

Pernah tak ketika kita bangun tidur kita terasa sayu amat. Mungkin ada mimpi yang mengganggu sepanjang malam. Mungkin bila terjaga anda sendirian di ranjang. Mungkin juga anda baru kehilangan sesuatu. Terasa amat kosong hidup ini, kosong sekosong-kosongnya.

Teringat-ingat kenangan lalu memang amat indah hidup ini. Paling bahagia tatkala teringat masih punyai ibu & ayah. Waktu paling bahagia adalah ketika mahu sarapan pagi, selalunya emak akan masak nasi & buat sambal belacan; aku telah siap kutip pucuk-pucuk kayu sebagai ulam. Antara lauk yang paling aku suka adalah sardin mentah; taruh asam limau, kicap, cili & bawang. Ulaman yang aku suka mestilah pucuk jambu, kadok, sentang, gajus atau pun silum. Mungkin ramai tak kenal kelempung hutan pucuknya boleh dibuat ulam cicah sambal belacan. Pernah makan pucuk jering, pucuk asam gelugur, pucuk kandih pun pucuk mengkudu.

Orang bandar mungkin biasa makan ulan pegaga, petai, jering, ulam raja, tomato, salad atau timun sahaja. Sebenarnya buah ambra atau kedondong sedap makan sebagai ulam atau buat rojak.

Kadang-kadang apak suka berburu, sesekali makan daging burung punai memang sedap. Di kedai apak banyak bela burung merpati, bila burung merpati ini terlalu banyak biaknya selalunya apak akan guna jala untuk tangkap burung merpati & sembeleh buat lauk. Tabur gandum bila telah banyak berkumpul sekali jala sudah dapat puluhan ekor.

Dalam banyak-banyak burung merpati yang apak bela ada yang jinak. Aku masih ingat kalau ia dengar aku menangis pasti ia datang memujuk; berbunyi merdu terangguk-angguk mengeliling aku yang terbaring menangis.

Teringat-ingat musim durian, bila durian berbunga banyak keluang yang datang, itu gunanya senapang patah apak. Durian kalau telah lebat berbuah, tak akan termakan; selalunya emak akan buat tempoyak & jual di kedai apak. Bukan setakad durian, di kampung juga banyak buah manggis, langsat, cempedak, ramai tak tahu buah perah, larah, sentol, redan atau binjal. Semua buah itu melambak di kampungku dulunya. Sekarang makin pupus.

Taruh santan jadi Serawa Kuini

Samalah buah remenia, orang bandar panggil buah asam kundang. Buah bacang atau pun kuini kalau buat sambal memang sedap. Buah rambai memang tak larat nak makan. Sungguh kampungku kaya dengan buahan tempatan, sebahagian orang memang tak kecal seperti buah cerpu, kalau cukup masak memang manis. Agaknya orang bandar tak pernah tenguk pokok kelubi. Tahu makan jeruknya sahaja. Sebut buah tepus agaknya apa yang dibayangkan.

Teringat-ingat ketika air naik, ikan main; satu kampung pergi tangkap ikan; kalau tak menjala tangkap anak ikan puyu pun seronok. Kalau rajin tangkap ikan pilai lawan guna tempurung jantan. Tanam dalam botol di perdu pisang agar nampak lebih hitam & garang ikan pilai lawan ini.

Sekarang orang kampung sudah berubah, baru bulan lalu aku baik, mereka gila curi pasir, banyak tapak lombong airnya semakin keruh, ikan-ikan mati. Estet arwah apak pun mereka curi pokok getahnya. Pantang tenguk pokok besar di kampung habis dijual tanpa pun pinta izin tuan tanah. Melampau betul. Kabel telefon kena curi, rumah pusaka arwah apak ada yang robohkan. Tanah arwah apak pun ada yang telah bertukar nama. Bagaimana nak betulkan sikap orang kampung ini. Agar kembali seperti dulu. Ukhuwah. Amat sepakat; siap buat majlis Mauludul Rasul bersama, sesekali buat persembahan kugiran. Kalau ada wayang longgok amat meriahnya. Gotong royong bersih kubur & bahu jalan meriah sekampung. Sesekali pergi rombongan ke Lumut atau Cameron memang cukup seronok.

Pernah dengar Pesta Mandi Safar, orang dedulu kalau mandi safar pasti buat rombongan mandi manda. Laut terdekat di Teluk Batik, Jeram banyak sekitar kampar atau di Cameron Highland. Dari kampung aku ke Cameron sekitar 2 jam sampailah ke puncak. Berpakat sekampung sewa bas.

Bagaimana mahu mengembalikan zaman gumbira itu!?. Masing-masing sekarang dah punyai kenderaan sendiri; tak suka pergi rombongan beramai. Masing-masing gila kumpul harta & ego diri. Bagaimana nak ujudkan semula sikap rapat bergotong royong. Dalam parti politik pun amat teruk di kampungku kini. Tak sehati sejiwa. Ada yang amat benci orang PAS ada pula amat ego dengan UMNOnya. Berpecah teruk orang kita, cina semakin hari semakin banyak dapat teroka tanah di bumi Mukim Teja di Lembah Kinta.

VVIP intai-intailah kawasan ini, apa telah jadi. Aku memang tak setuju bumi ini digadai, batu akan dikorek, hasil bumi akan dijual. Gila nak buat kilang simen. Tenguk gunung sekitar Ipoh, apa jadi kini; telah rongak & robek sana sini; Gunung adalah tunjang bumi. Pasak kekuatan alam ini. Apa jadi dengan Perak kini?. Akan kering kontang nanti kampungku, silap-silap durian pun tak mahu berbunga lagi!. Bila khazanah bumi habis ranap ditukar jadi duit yang tak boleh pun dibawa mati.

8 ulasan:

Siti_UPM berkata...

BUrung merpati leh mkn ker?..
rasanye burung tu beracun kn?

Murni Alfathunnisa berkata...

ulam pucuk gajus lawan sambal belacan..memang 'kick'. makan nasi boleh tambah...:-) sayang nya..pokok gajus pun dah semakin pupus. kat kampung pun dah susah nak cari. yg ada habis ditebang.

Cujie berkata...

dah lama tak makan buah cerpu..huhu

asilahmuhajer berkata...

salam...
bestnya cerita pasal ulam. tiba2 terasa lapar. belum makan lagi ni.

saya pun suka makan ulam. tapi sekarang dah jarang makan sebab suami tak pandai makan ulam. kalau masak sayur pun kena masak sampai lembut even saya suka yang separuh masak.

nak makan ulam kenala gi umah mak sebab kat sana memang banyak ulam2.

ada antara nama ulam yang disebut dalam entry yang saya tak tau. kalau ada gambar, bolehla letak kat sini.

iDAN berkata...

Orang Perak panggil Ceropu! ada yang panggil Cerapu tak sangka Lavender tahu buah ini. Masih banyak terdapat di kampung saya.

Jika benar-benar masak memang manis buah Cerpu ini! Panjatnya pun senang sebab dahannya banyak.

Rasanya generasi sekarang ramai tak kenal buah Cerpu ini.

iDAN berkata...

Cikgu, saya memang kaki ulam, bunga betik itu pun sedap, di Perak selalu ada sambal nyor memang sedap.

Di bandar kadang-kadang ada pokok bebuas cicah dengan budu.

Kacang panjang pun peria yang kecil itu sedap dimakan mentah. Janji ada sambal belacan.

Jika kita ke laman web MARDI banyak terdapat gambar ulaman ini. Ada setengah ulaman kita panggil lain mengikut tempat namanya.

iDAN berkata...

Sdr Siti Murni,

Pucuk gajus orang Perak panggil Pucuk Janggus; sedap jika dipotong halus taruh dalam laksa.

Sebelah pantai Melaka masih banyak. Orang Siam rajin buat ladang gajus, buahnya memang mahal. Kalau di Kelantan Budu yang sedap memang ada lambang buah gajus.

Di kampung saya susah nak cari pucuk gajus tapi biasanya di pasar Ahad Batu Gajah ada dijual.

iDAN berkata...

Siti anak saudara;

Memang daging burung merpati ini ramai kata beracun; tapi mungkin orang dedulu tahu petuanya bagaimana nak buang racunnya.

Memang emaknya & Pak Su selalu makan daging burung merpati; seakan rasa daging burung punai.

Arwah Atok Radzi dulu buat rumahnya bertingkat-tingkat. Itu orang tua kata rumah pangsa tu macam rumah burung merpati. Selalunya burung ini akan membawa kawannya berpindah jika sesuai sangkar atau rumahnya. Dari beberapa ekor jadi sampai puluhan ekor.

Dalam rumahnya yang bertingkat itu burung merpati ini beranak & bertelor. Zaman sekarang tak nampak orang buat rumah merpati bertingkat-tingkat macam Atuk Radzi buat.