iDAN

10 Mac 2010

Penyair Jejati (Singgahsana)


Kekinian hampir genap setahun aku menjadi Penyair sepenuh masa di alam maya. Maka aku dapat rasakan keintiman dari rakan di internet. Terutama Sdr Mazidul yang jarang sekali menolak respon yang aku tulis di blognya. Melalui blognya tak dinafikan aku menemui ramai kenalan yang sealiran denganku. Mereka adalah penulis mapan di alam maya. Biar pun jarang terbaca tulisan mereka di media arus perdana tetapi tulisan mereka dapat mencuit hati. Blog Sdr Mazidul ini kalau tak klik sekali dalam seminggu pasti terasa amat kerugiannya. Terlalu banyak pengalaman dunia wartawan yang dapat menyedarkan kita tentang keprihatinan & kemanusian sejagat.

Seperti Sdr Diana, menbaca tulisannya buat kita terasa kegusarannya. Dapat dirasakan betapa mendalamnya cinta & ikatan kasihnya terhadap suami & anak-anak. Sesekali kejutan tindakannya membuatkan ayahnya amat bahagia, suaminya tak terduga pun bilamana kita baca tentang kehilangan barang kesayangannya kita turut sebak dada. Aku memang kagum akan nilai cinta di hati Diana.

Dapat mengenal Sdr Zeq yang sentiasa rapat dengan internet, Zeq seorang pemblog atau penulis yang rajin singgah di banyak blog. Sesekali tulisan Zeq buat kita terfikir, banyak tulisan ringkasnya dapat membetulkan tindakan serta jiwa kita dari berleka & tak ambil peduli tentang perjalanan hidup ini. Zeq seorang yang amat aktif mengembara, aku masih kabur tentang kerjaya Zeq pun siapa kekasih hatinya.

Aku juga terusik dengan tulisan Dik Ieja yang sering kecewa, terlalu banyak impiannya masih tidak kesampaian. Dunia remajanya banyak menolong akaknya dalam membesarkan anak-anak. Dik Ieja yang rajin berkunjung ke rumah sahabat lama, blognya terkadang amat sepi, dia merajuk terlalu lama tidak menulis. Aku masih kabur siapakah kekasih di hatinya, banyak rahsia tersimpan di hatinya. Aku juga tak mahu kehilangan Dik Ieja seperti pergi Joyahhh@DikWanie atau Dik Deqma yang sibuk dengan Puteri Umnonya. Semoga masa mendatang akan membahagiakan Dik Ieja.

Aku juga diketemukan sahabat lama, Abuyon yang dulunya rajin menulis di Melayu.com. Aku juga sesekali singgah di laman sesawang (situs) sana. Abuyon makin banyak berubah, tulisannya kini makin dewasa. Dia lebih banyak menulis tentang jiwa kemanusiaan & ketuhanan. Terkadang aku tidak dapat menangkap tulisannya terlalu mendalam akan pendekatannya terhadap Ilahi. Aku amat menghormati penulis sebagus Abuyon.

Aku sebenarnya menyukai tulisan Cikgu, suka menyelami kehidupan seorang pendidik, tapi Cikgu terlalu sibuk, pernah blognya berbulan asyik gambar rusa sahaja. Masa cuti tentunya dia tak kesempatan klik komputer, dunia pendidik memaksa Cikgu bercuti bersama pelajar. Jika Cikgu rajin menceriterakan pengalamannya di sekolah kita sebagai ibu ayah pastinya mendapat pertunjuk & suri teladan. Tak dinafikan jasa seorang pendidik tak akan dapat dibalas. Melalui blog sebaiknya kita dapat berkomunikasi dengan baik dengan cikgu.

Sdr Zainal sesekali memberikan respon terhadap tulisanku pastinya satu penghormatan yang tinggi buatku. Sebabnya melalui pendidikan & pengalaman Sdr Zainal rasanya kita tidak akan tercapai berada di dunianya. Blog Sdr Zainal banyak menulis tentang kehidupan & ketuhanan. Puisinya amat indah & meransang minda kita. Kita yang payah mendekati dunia puisi yang terselit perasaan halus lagi seni. Sesekali kliklah blog Sdr Zainal ini. Pastinya kita dapat berfikir mendalam tentang hidup ini.

Ibunya Aran
, banyak menceriterakan kehidupan seorang suri rumah yang tak pernah sunyi. Diam-diam ibunya Aran sempat juga mengintip kehidupanku. Ramai pemblog yang klik situsku orang sekitar Lembah Klang. Pelik juga mana perginya pelayar dunia maya di daerah lain. Ibunya Aran dalam tulisannya banyak mencatat kehidupan sekitar Sungai Buluh.


Sdr Jijahh, aku anggap Sdr Jijahh antara manusia yang tersibuk di dunia, penat baca blognya dengan pelbagai kerja pelik, ikut biodatanya dia ini pengkaji sejarah, muzium, ulat buku & banyak dunianya tak serupa dengan kita. Maka Sdr Jijahh tentunya banyak maklumat & jarang kita dapat mengatasi pengetahuannya dalam banyak perkara. Cukup bagus punyai sahabat seperti Sdr Jijahh, setidak-tidaknya minda kita dapat berkembang jika dapat berbual panjang dengannya.

Sdr Ieza, yang tinggal di Puncak Alam ini sebenarnya tak jauh dari rumah keluarga mertuaku di Meru. Malahan birasku juga tinggal di sana. Sdr Ieza amat prihatin akan keluarganya beruntung suaminya En Sukri. Dari situsnya dapat kita lihat bagaimana rutin hariannya. Masakan Laksanya terliur kita melihatnya. Aku pernah ke Puncak Alam, taman perumahan yang agak jauh dari kesibukan kota. Pastinya damai di sana. Sesekali Sdr Ieza suka menonton, minat yang sama sepertiku. Menonton dengan anak-anak. Tak dinafikan filem Avatar menang menarik & menyentuh hati.

Sdrku YB, sejak punyai blog sendiri nampaknya YB semakin sibuk. YB juga rajin ke FaceBook (FB) tidak macam aku, kut! sebulan hanya sekali dua klik FB. Tak dinafikan YB antara rakan yang rapat denganku yang rajin beri respon bagi tulisanku. Sesekali aku rajin juga telefon dia di ofisnya di UniPetronas melalu talian bebas tolku, aku tahu terkadang YB tak terlayan bualanku. Entah bila aku akan dapat panggilan dari YB ini. Hinggakan ketika dia ke Serdang pun aku tidak sempat dihubungi. Bagusnya situs ini dapat merapatkan hubungan kami. Aku masih ingat ikut dia menonton Bolasepak di Stadium Negara di zaman bujangnya. Sembahyang belakang tandas, lepas sembahyang selipar entah ke mana disepak orang. Perak asyik kalah dengan Selangor. Pengadil pula berat sebelah. Memang sakit jantung betul tenguk bola dengan YB. Bila YB dah jadi orang kaya, aku makin payah mahu berjumpa dia. Hari itu cari rumahnya di Perak pun sesat larat. YB makin sibuk banget.

Sdr SitiMurni jauh di utara. Sukar orang di Tanjung mahu kasi respon. Saya tak punyai kesempatan yang panjang melayari semua pengikut di blogspot ini. Maka banyak yang terputus hubungan begitu sahaja. Selalunya mereka yang rajin kasi respon yang rajin kita klik blognya. Sdr Siti masih dalam alam kerjaya maka banyak blognya berkisar dalam dunia kerjayanya. Siti ini banyak membaca tulisan dari barat, lagu dari barat, sesekali dia baca buku Sri Diah memang jelas amat Sdr Siti seorang yang rajin membaca. Sri Diah adalah rakan penulisku tahun 80an, tapi dia jauh lebih berjaya berbanding aku. Banyak novelnya terbit aku sekadar menulis puisi & catatan nan tak tak seperti. Kalau sebab iDANRADZi pun pasti si Sri Diah tak kenal siapa mamat Penyair ini.

Dik Azah seorang penyair juga, sesekali karyanya terbit di media massa. Aku sebenarnya ingin mencuri ruang penulisannya, katanya dia hantar karya di majalah. Aku tak pasti apakah alamat majalahnya; sekarang aku lebih suka menghantar karya melaui e-mel jika ada penerbit yang menerima penulisan melalui e-mel pastinya aku rajin menghantar karyaku. Dik Azah juga seorang yang rapat dengan geng Sdr Mazidul. Situsnya rajin dikemaskini. Dia juga suka mengambil gambar sendiri disetiap tulisan. Katanya dia rajin ke sekitar Jenaris tapi entah bila boleh tertembung. Dunia rumah tangganya banyak terselindung. Maka aku memang tidak tahu seluruh hidupnya melalui situs.

Sdr Eelobor asal dari negeri yang amat suka aku jejaki. Adikku satu ayah lain ibu diambil orang sana, anak saudaraku... anak Kak Nomi nikah dengan orang sana juga, si Afiz anak sulungku juga bakal punyai jodoh di sana. Kesibukan kerja buat Sdr Eelobor sampai lewat pulang rumah. ISO bagiku ada penderaan yang tak akan sudah. Terlau kerja kena buat untuk sempurnakan ISO. Maka itu aku bukan jenis orang ISO. Memang tak suka tetapi semua bos suka sebab dengan ISO nama mereka pun organisasi mereka anak naik.

Sebut Combi pasti teringat akan kebahagiaan keluarganya. Combi amat menyintai suaminya. Dalam tulisannya tak lepas dari ingatannya terhadap suami pun anak-anak. Combi rajin ambil gambar bersama suami. Dia sesekali sempat juga klik situs ini & rajin juga kasi respon. Combi jauh dari Semenanjung kehidupan di sana nampaknya begitu bahagia & selesa. Hari ini anak bujangnya yang baru tamat PLKN akan tahu keputusan SPMnya. Semoga keputusan SPM anak bujangnya akan menyenangi hati Combi & suaminya.

Dik Ejaa pelajar yang menyukai tulisanku, masih banyak lagi tajuk yang belum selesai kutulis, terutama kisah Arwah Abg Din yang diminatinya, juga kisah Rahayu di Jepun. Aku masih merangka dua kenangan ini untuk aku sudahkan agar menjadi tulisan yang berguna buat semua. Ada lagi kisah yang aku rasa elok kusambung ia itu kisah Pautan Hati kisah arwah Jamil yang banyak mengajar kita erti ikatan rumahtangga.

Penyair Kelompen; aku sendiri berangan mahu menjadi Penyair seperti Sdr Kelompen. Bayangkan dalan sebulan Sdr Kelompen boleh menulis sebanyak paling tidak 20 buah puisi yang bagus-bagus. Aku dalam diam-diam amat menyukai puisi Sdr Kelompen. Bukan senang mahu menulis puisi sebaik Sdr Kelompen. Tak percaya cubalah dalami tulisannya. Semakin hari pengikutnya semakin ramai. Salah seorang peminat sejatinya adalah Qasih yang seorang penyair juga. Suara perindu seperti Penyair ini amat mengusik hati... Sang Perindu telah melabuhkan resahnya!. Aku sendiri hanya mampu menulis puisi sekitar dua seminggu. 2 x 4 = 12 buah. Sekadar itu yang paling banyak, itu pun aku paksa diri. Terkadang sampai berbulan-bulan aku tidak menulis puisi. Sebahagian ada aku muatkan di situs ĕ-antologi Penyair iDANRADZi.

Sebenarnya ada beberapa ramai lagi pemblog yang aku harapkan rajin klik blog ini tapi tak kasi respon, antaranya YangManis, NurulJB, PengailJejati, Ana, PenaBahari, Cerpelai, Raziff, Alidyangon, Eris, Saleh IT, Wanie, Miss Rory, Shazriena, RyuJi SaTo, Aspirez, SetiaKasih, PakKaramu, Where, Lavender, MohamadKholid & Juruhebah kita Anuar Abdul Aziz.

Ramai lagi nama yang tak sempat ku catat di dalam situs ini yang pernah memberi respon. Pun dalam sekitar dua ratus Pengikut sehari aku dapati tak kurang ada 100 orang yang klik situs ini. Bermakna tak sampai 20% yang rajin memberi respon. Sekadar membaca & berlalu begitu sahaja tapi rasanya ini sudah cukup membuatkan tulisan ini terasa bermakna.

Sebenarnya sejak aku menjadi Penyair Sepenuh masa, boleh dikatakan tiap minggu paling tidak aku menghantar sebuah puisi ke Mingguan Malaysia & sebuah lagi ke Berita Harian hari Sabtu. Kekinian telah hampir setahun aku menulis, yang terkilan baru minggu lalu aku mendapat respon dari Penerbit Di Akhbar Utusan Malaysia. Utusan terima kasih atas sumbanganku, karyaku tak kurang ada sekitar 30 buah di meja mereka mungkin telah lebur. Berita Harian senyap sepi. Bermakna jika sebulan empat buah karya kalikan sekarang 10 bulan aku menjadi Penyair sepenuh masa. Jika tak silap sekitar bulan Jun tahun lalu aku mula bersara. Sekitar 80 buah puisi yang telah aku tulis sebahagiannya ada kumuatkan di ĕ-antologi. Sebahagian masih kusimpan di e-melku.

Maka itu bagi Penyair yang punyai tugas melahirkan karya tanpa menghiraukan nama elok sangat buat seperi Penyair Kelompen mahupun Qasih, menulis bukan untuk nama tetapi adalah kepuasan hati.

Aku suka mengajak pembaca menyelami dua Penyair Sejati ini.


1. Penyair Kelompen

2. Penyair Qasih

Pastinya jiwa kita akan terisik dengan bait kata puisi-puisi mereka.

21 ulasan:

My Life My World berkata...

Salam Abang Idan, terima kasih kerana menulis tentang saya di post kali ni. Amat terharu sekali. Insya Allah akan selalu bukak post Abang Idan. Rajin rajin ler menulis lagi yer ;)

iDAN berkata...

Ibunya Aran,

Dalam seminggu dua ini kesihatan tak menentu, bila telan ubat banyak sangat maka fikiran itu bagaikan dicengkam tangan sakti. Payahnya mahu terlepas bebas menulis.

Maka itu banyak buat rumusan & isikan blog dengan imej sahaja. Kejutan sakit jantung ini terkadang merimaskan.

InsyaAllah saya memang akan tetap menulis biar pun satu ketika tulisan ini mungkin isiannya nyanyuk semata.

My Life My World berkata...

Saya akan selalu mendoakan Abang sentiasa sihat dan di dalam Rahmat dan Kasih Sayang NYA. Amin

P/S : Jangan banyak sangat tengok cerita hindustan/tamil ... banyak sangat suspen nyer, buat jantung abang nanti penat menahan thriller ... hehehe ;)

eelobor berkata...

Salam abg iDAN, tak sangka juga abg ada menyentuh mengenai blog saya. Walaupun sya baru menceburi dalam bidang penulisan blog namun abg sudi meluangkan masa untuk membacanya, terima kasih. Saya selalu singgah di blog abg, cuma kekadang terkelu dan tiada untuk di komen @ respon. Blog abg penuh & sarat dengan ilmu yang boleh eelobor pelajari.

kelompen berkata...

IDAN
sekalung terimakasih atas penghargaan, menghayati puisi dan keindahan seni, yg bersama kita perjuangkan, kita martabatkan.
bukan nya senang untuk menulis, terutama puisi, pada saya ia akan jadi lebih payah bila kita memaksa ilham.
Idan juga seorang penyair yang amat baik, bahasa indah, susunan menarik, tentang kemanusian, segalanya. membaca tulisan2 Idan, memang kemas.Setiap tulisan, mengupas isi.Saya suka.
Semoga Idan akan terus berkarya, dengan anugerahNya, kepada kita, hargailah. Semoga terus menulis,semoga dalam kesejahteraan yang baik sentiasa.
SALAM PUISI

Qasih berkata...

salam..penyair iDANRADZI..,Qasih amat berterima kasih atas pandangan idan,Qasih cuma seorang yang terlalu menghargai seni dan meluahkan apa yang ada dalam diri.melahirkan rasa resah dan gelisah yang bersarang di hati,menzahirkan pilu yang berlubuk dalam sanubari..,muga Qasih mampu terus menulis dengan jiwa yang sakit,dengan tangan yang luka,dengan hati nan lara bahawa ruang inilah pengubat segala sengsara..

iDAN berkata...

Ibunya Aran,

Terima kasih akan doa & restu yang diiringi. Sesungguhnya doa dari seorang teman amatlah makbul & segera direstui Ilahi.

Saya teringat semasa di depan Kaabah; ketika itu saya amat simpati akan rakan sesama mengerjakan haji punyai masalah dengan isterinya. Tak abis-abis dari mula sampai kerenahnya memang memang memeningkan. Dia seorang Peg Besar JPJ di Ipoh. Bila saya berdoa memohon agar Allah SWT memberikan pertunjuk & kedamaian bagi pasangan ini; ianya bagaikan dipukau, perubahan kelakuan isterinya mendadak. Saya dapat buktikan kemesraan mereka kembali terjalin erat ketika hampir selesai mengerjakan rukun haji.

Saya mengharapkan pasangan ini akan kekal bahagia hingga kini.

Tapi sebaliknya, kita yang meminta akan kerukunan rumah tangga kita sendiri agak payah. Ilahi terusan menguji kita. Mungkin ini namanya kesabaran.

Cerita hindustan atau tamil yang gaduh-gaduh itu saya tak suka; dua hari sudah saya tenguk ZEE filem hindi 60an sampai jam 3:00 pagi. Sedaplah pula tentang rumah tangga bergolak lantaran isterinya tak mahu memaafkan kesilapan suaminya yang curang terhadapnya. Saya suka filem yang kisah keluarga begitu. Seperti My Name is Khan. Menarik skripnya.

iDAN berkata...

Sdrku Eelobor,

Sebenarnya saya suka berkongsi pengalaman hidup dengan semua orang. Ruang blog selalunya begitu jujur bagaikan diari harian yang banyak memberikan kita pengajaran. Tak kiralah tulisan tentang apa sekali pun.

Kerehatan saya memang menulis, rasa amat tertekan jika dalam seminggu tak dapat menulis. Apatah lagi telah bersara ini. Bayangkan dengan siapa saya mahu berbual.

Selain dengan anak-anak & isteri memang saya tak punyai siapa pun rakan rapat kecuali rakan di alam maya. Seorang dua yang rajin menelefon saya pun lantaran ada hal penting. Jarang dapat berbual kosong.

Sayangnya dalam sehari saya punya waktu senggang sekitar dua atau tiga jam sahaja untuk klik internet. Waktu pagi begini memang tiada gangguan; selebihnya saya tak rasa bebas menulis atau membaca blog rakan tak mahu Kak Mila itu bersangka buruk & ada sahaja rutin harian yang saya lakukan. Memang berat juga bebanan menjadi Surarumah ini.

Beruntung mereka yang punyai banyak masa terluang!. Agar Sdr Eelobor tetap menjadi rakan saya.

iDAN berkata...

Sdr Kelompen,

Sedari dulu saya berangan mahu mempunyai antologi puisi sendiri. Angan tinggal anganan.

Tetapi jika kita rajin, saya bercadang mahu masukkan semua tulisan saya di dalam DVD. Buat sendiri tanpa bantuan mana-mana penerbit dan simpan sendiri buat khazanah peribadi.

Saya berharap Sdr Kelompen pun punyai harapan seperti saya, jika kelapangan simpan semua karya puisi itu di DVD atau VCD. Tak dinafikan ilham yang datang secara sepontan amat padat & dapat mengusik jiwa. Amat payah mahu menulis dalam memaksa diri.

Saya yakin Sdr Kelompen tak punya halangan dalam berkarya. Kebebasan diri dalam berkarya amat perlu apatah lagi ada yang mendorong.

Sering ilham saya tersekat lantaran ada pihak yang tak suka saya berkarya, katanya terlalu tajam & menyentuh pihaknya. Pihak tersebut darai kalangan org terdekat pun pernah juga dari kelompok yang amat membenci tulisan saya. Maka itu terkadang sampai berbulan-bulan saya senyap bagaikan mogok seni.

Sdr Kelompen pun tahu jika jiwa kita memang sejak azali begini tak mungkin kita dapat hentikan ketagih menulis sebegini.

Saya semakin meminati tulisan Sdr Kelompen, teruskan menulis.

Salam Puisi.

iDAN berkata...

Sdr Qasih,

Ada baiknya begitu, dalam kelukaan kita jangan menyerah kalah. Tuliskan apa yang terbuku; agar ianya tidak sampai meruntun hati.

Sering begitu bilamana kegusaran itu telah diluahkan ada kelapangan dalam diri, ada kekuatan untuk terusan tabah menerokai hidup ini. Hidup ini sungguh memerlukan kesabaran.

Saya pun pernah di dalam kemelut paling pedih hingga saya menulis puisi Meniti Gerigi; cuba cari puisi itu dalan situs ĕ-antologi saya, ianya saya tulis ketika benar-benar dalam krisis yang amat menguji diri.

Tabahkan hati & teruskan menulis.

- just me - berkata...

abg iDAN,

dah beberapa kali abg menyebut2 saya di blog abg.. terima kasih..

terima kasih kerana sudi menghargai saya, berteman dgn saya, berbual dgn saya wpun cuma di ruangan komentar & sentiasa mengingatkan juga mhulur bantuan saat2 saya memerlukan sokongan.

diam saya bukan kerana merajuk lama, cuma hambatan tanggungjawab memaksa saya menyepi seketika. lgpun abg juga pernah berkata, dlm berkata2 biarlah membawa makna bukan? jadinya membisu itu lebih baik drp berkata2 sesuatu yg tak punya makna.

semoga tuhan memberkati hubungan maya antara kita agar terus2an kekal hingga ke akhirnya :)

V.I.C @ D.I.A.N.A berkata...

Sungguh menyentuh hati entry kali ni. Tak sangka plak Diana jadi org ke-2 selepas bro Mazidul. Terharu dengan terjemahan diri sendiri oleh saudara iDAN.

Sebenarnya Diana pun rasa berterima kasih dengan bro mazidul kerana dari blognya saya berpeluang mengenali ramai blogger. Lagipun kawan2 yang seangkatan sangat sedikit yang mempunyai blog sendiri, selebihnya lebih gemar dengan facebook. Pada mereka remeh menulis, takde idea dsb.

Satu hari nanti teringin nak jumpa saudara iDAN secara live. Mungkin di gathering Mazidul lagi barangkali.

Cetusan berkata...

fuyoo..
tajamnya mata hitamnya..

menusuk jantung sang lelaki..

..NOTA: no komen tentang komen sdr Idan.
hanya deria rasa yang boleh menjalin serta menambah pengalaman perjalanan maya.

iDAN berkata...

Sdr Diana,

Pertamanya saya amat terkilan lantaran agak lama tak klik blog Sdr Diana; sekali klik amat terasa hati; ketika Diana ditimpa musibah saya tak sempat menyatakan simpati. Nilai persahabatan adalah dapat meringinkan beban perasaan rakan yang sedang ditimpa musibah.

Harap saya keadaan kini makin kembali normal, jangan sampai ianya menjadi gangguan & igauan. Masalah pecah rumah sebenarnya adalah masalah moral yang berat & besar bagi sesebuah negara.

Jika kita ke negara maju, kediaman mereka amat selamat, tak perlu ada pagar apatah lagi grill.

Blog: sebenarnya Kak Mila sejak dulu mindanya masih tak terbuka untuk berkenal secara ikhlas & jujur dengan rakan di internet. Mungkin dia masih tak dapat lupa kejadian semalam, memang ada peminat saya yang setelah belasan tahun menghilang tetiba ujud & bikin ribut rumah tangga kami.

Hakikatnya ketika itu saya tak pun ambil kesempatan, ianya berlaku lantaran Kak Mila asyik mengungut & asyik tinggalkan saya. Itu antara puncanya. Saya tidak ambil sedikit pun kesempatan dengan rakan tersebut tapi saya tahu Kak Mila terluka juga.

Memang bahaya ada peminat yang sanggup buat apa sahaja. Sebaiknya seorang peminat atau kenalan kenalah menghormati rumah tangga kenalannya.

Saya ingin ke gathering tersebut tetapi itu antara isunya. Sebaiknya Kak Mila ikut serta tapi mungkinkah. Bagaimana pun anak-anak mungkin boleh menemani.

Faktor lain pula sering menghalang adalah kenderaan; dua kali gathering tertembung ketika kenderaan digunakan. Ini rasanya mungkin boleh diuruskan lain kali.

Faktor lain ( emmm! banyaknya faktor ) saya makin bertambah boroi & memang nampak semakin tua. Nanti orang suruh baca doa pula saya tak pandai!. :)

Tapi begitu yakin satu hari nanti pasti saya akan sertai. Dalam pengamatan saya pun tak ada masalah mahu mengenali Diana; rasa telah lama kenal & gambar-gambar di blog ini sah dapat mengecam Diana dengan mudah; bukan Dik Azah... Dik Azah tu macam dimakan gambar. (AzieAzah) payah nak cam dia tu!.

Iyer terima kasih kpd Bro Maz kita, dia yang dapat mengikat talian ukhuwah ini. Dulu saya memang tak kenal siapa Diana, Combi, Dik Azah, Zeq semua. Mungkin majlis kahwin anak rakan kita... kita berjumpa juga.

Dik Azah mungkin awal akan terima menantu... siapa tahu.

iDAN berkata...

Dik Ieja,

Dari zaman abg kanak-kanak hinggalah ke zaman senja ini, abg memang tak pernah punyai seorang adik perempuan. Jika ada adik pun hanyalah Dik Noi & Dik Nani yang satu ayah lain emak. Tapi kami sering berjauhan. Abg paling sayang dengan Dik Nani itu, tapi jauh sekali dapat khabar beritanya. samalah Dik Noi, kami terpisah jauh & sesekali Dik Noi kirim SMS tapi tidak pun berjumpa.

Entah berapa lama kami tak jumpa... entah berapa jauhnya hubungan kami terpisah.

Jadi isteri abg lah cuma bagai seorang perempuan yang kira pangkat adik yang rapat dengan abg. Tapi beda umurnya tak jauh; maka faham sahajalah orang perempuan ini lebih cepat matang. Selalu pandangan berbeda.

Sekarang abg cuma harapkan menantu sebagai perempuan berpangkat adik yang mungkin dapat berbual & kenal rapat dengan abg.

Maka itu bila rakan di internet yang jauh lebih muda usianya... amatlah menjadi harapan bagi abg dapat berkenal rapat & saling bertukar pengalaman.

Apatah lagi abg tak punya anak perempuan. Maka pasti Dik Ieja & ada seorang dua lagi kenalan yang masih bujang memang menjadi perhatian abg.

Bila seorang gadis telah berkahwin ini Dik Ieja selalunya akan merubah segala. Keluarga kena diutamakan.

Ada juga adik angkat abg mendapat jodoh dengan rakan abg, hingga kini nampaknya mereka bahagia.

Dunia ini tak sebesar mana Dik Ieja, mana tahu satu hari nanti kita mungkin dapat berjumpa dengan izin Ilahi.

4:42 AM

iDAN berkata...

Sdr Zeq

.... mata hitam siapa iyer!... emmm! mesti Penyair yang saya kagumi ini...

Jika kita benar jujur berblog rasanya hubungan intim & ukhuwah yang ikhlas akan pasti terjalin kekal abadi.

Sebagai contoh saya pasti ramai yang amat menghormati Bro Mazidul lantaran tulisannya yang amat kemas & menjadi panduan buat kita semua.

abuyon berkata...

salam sahabat,

Terima kasih sahabat. Telah lama dulu aku menghargaimu, dan masih lagi merasa, kau sahabat sepatutnya
dinobat dan diangkat kalau tidak di persada sastera tanahair
di persada maya ini, sepatutnya
sudah punya berpuluh-puluh
antologi lewat puisimu


ke guane :)

Cetusan berkata...

memula selami mata kemudian hati ..hmmm risau jatuh tangga...mata pemyair itu boleh membuatkan jantung jejaka berdetik2..jadi muda

iDAN berkata...

Sdr Fachry Janwar

Terima kasih URL yang diberikan.

iDAN berkata...

Sdr Abuyon,

Antara kita tak ada bedanya, sejak zaman remaja malahan ketika di alam sekolah rendah lagi minat kita telah terhimpun ke arah sastera.

Saya masih ingat sejak darjah lima lagi saya telah meminati tulisan Hamka. Karya puisi saya mula terbit di corong radio pada tahun 70an lagi.

80an banyak coretan & cerpen disiarkan di radio. 90an & kini banyak tertumpu di alam maya.

Sayangnya tidak semua puisi saya dapat dikumpul.

Semua penulis amat teringin akan punyai antologi sendiri tetapi tak semua penulis punyai peluang ke arah itu. Beruntung penulis yang rapat dengan mereka di bidang penerbitan.

Saya ada kenalan di DBP & juga di bidang sastera di UPM tetapi nampaknya payah untuk mendapat perhatian mereka. Samalah editor di Utusan & Berita Harian. Bukan mudah untuk dapat menarik mereka ke arah karya kita.

Maka itu alam maya ini lebih bebas & mudah berkarya. Nampaknya masih ada pengikutnya biar pun kita bukan penulis yang dikenali. Jauh sekali punyai nama.

iDAN berkata...

Emmm! Zeq.. Penyair seperti Qasih mengingatkan saya Penyair dahulu Zaihasra di tahun 70an.

Tak pasti apakah masih terkumpul karya Zaihasra ini; bahasa yang ditulis amat halus & menyentuh hati.

Iyer setajam matanya meresap terus menyucuk hati.