iDAN
19 Julai 2010
Antara Prof & Penyair 2 (Singgahsana)
Sebak.
Melalui FB aku telah lama dapat mengecam Amran atau Moghom, rakan sebaya yang lama tinggal di Asrama Putra 10. Jalan Watson. Tanpa FB rasanya aku takkan kenal Amran, perubahan bentuk wajah & diri menjadikan Amran amat berbeda. Rambut serta keningnya yang memutih menjadikan Amran nampak tidak sepadan dengan usia. Selalunya orang begini pasti ada masalah kesihatan. Itu telahanku.
Sampai di SMI aku telah nampak dari jauh Johari atau Panjang. Aku suka panggil Joe sahaja. Joe pula antara yang masih segak & masih mengekalkan kemachoannya. Tak boroi tak banyak uban & masih aktif bersukan. Joe aku agak rapat, pernah beraya di rumahnya sekitar 10 tahun lalu, dia pernah ke rumahku sekitar 15 tahun lalu & dia aktif di FB, banyak muatturun gambarnya di FB maka itu mudah mengenali Joe.
"Aku rindu amat kat kau Amran" aku bersalaman dengan Amran & memeluk erat tubuhnya, sebaya tubuhku; perut boroi kami berlaga.
Sejak melihat gambar Amran di FB sungguh aku teruja amat nak jumpa dia.
"Bagaimana kau sekarang Amran, sihat tak?" Memang aku perasan dia terhinjut-hinjut berjalan.
"Sakit... Dan, tenguk kaki aku ini bengkak!"
"Kenapa pula?"
"Gaut... ini dah 3 bulan tak hilang bengkaknya!"
"Dah makan ubat tak ni!"
"Sudah tapi beginilah, tak baik-baik juga!" loghat tutur katanya macam orang utara. Hilang loghat Rawanya; jika tak silapku Amran orang Gunung Mesah Gopeng; persimpangan ke kampungku. Kota Bharu Perak. Dia menetap di utara tanah air telah berpuluh tahun. Telahan aku memang tepat, Amran mengidap sakit Gaut; maka itu perubahan dirinya amat ketara.
Persiapan telah rapi, awal lagi nampak Cikgu SMI & anak muridnya telah membantu. Jam baru sekitar 11:45 pagi. Tak banyak kerja yang boleh kami bantu.
"Moh kita makan di Restoran Mamak Nasi Ganja!." Prof Nizam mengajak kami makan di Restoran Nasi Kandar di hadapan stesen bas ke Tg Rambutan, bas Century. Restoran Nasi ganja ini memang popular sejak tahun 70an lagi. Aku teringat Yot abg yang Sulung pun hantu makan di Restoran Mamak ini. Dulu Yot memang kerja di Pejabat Pos Besar Ipoh. Bahagian Bungkusan. Pantang hari gaji; pasti ke sini. Sekarang Yot telah rosak buah pinggangnya.
Aku, Amran & Amid (yang muda setahun dariku) pergi menaiki kereta Prof Nizam. Prof Nizam mahir amat dengan jalan di Ipoh. Ipoh tak banyak berubah, cuma nama jalan telah ditukar & banyak jalan telah sehala.
"Sabri dapat tak berjumpa dengan Ijat?" aku perasan Sabri SMS kami semasa kami mahu sampai ke Ipoh, dia ajak makan tengah hari dengannya di Restoran Mamak yang sama. Emmm! ramai yang syakki ada sesuatu perisa yang ditaruh dalam masakan mamak ini, maka semua makan di sini bagaikan ketagih!. Pasti mahu mampir kemabali. Itu yang timbul perkataan Nasi Ganja tu!.
"Ijat tak dapat datang sebab rakan kongsinya paksa dia dengan tugasan kargonya" Ijat macam Sabri; pastinya dah boleh dinobatkan Jutawan. Sabri tinggal di Sungai Penchala; banglow agamnya yang boleh dinaiktarafkan istana memang jutaan RM nilainya kini. Sabri satu kelas dengan aku banyak tahun.
Ijat pun apa kurangnya; Pengurus Besar syarikat kargo. Dalam blog ini ada gambar dia ketika kami jumpa di Alamanda sekitar beberapa bulan lalu.
Restoran Mamak Ganja dulunya ada dua pintu tinggal satu pintu. Mak datok! orang telah berbaris panjang bagai dulu. Stesen ke Tg Rambutan sudah tiada. Balai Polis masih gah; cuma banyak kedai sepanjang jalan telah tutup.
"Orang sekarang suka ke Mall, dari belacan hinggalah ke barangan mewah semua ada di sana, kalau dulu kita nak beli barangan dapur kena ke pasar nak beli baju anak terpaksa ke kedai kain..! " teringat bualan Prof Nizam ketika kami melintasi Jalan Hugh Low, sekarang dah tukar nama Jalan Sultan Iskandar.
"Sebaiknya majlis bandaran naikkan taraf bandar ini; tutup sebahagian jalan; jadikan lorong jalan kaki, cari satu daya tarikan agar tidak terbiar sahaja bangunan ini.!" aku terfikir juga apa yang Prof Nizam katakan; bangunan lama yang penuh sejarah bagiku elok dibaiki yang tak perlu dirobohkan. Teringat akan Akihabara di Jepun yang popular sebagai bandar elektronik, padat dengan barangan elektrik. Seantero warga Jepun datang ke sini jika mahu mencari barangan elektrik atau elektronik. Kita tak ada lagi bandar sebegini. Masa aku jejak kaki ke Akihabara aku tak dapat faham-faham pun produk baru; aku suka merayap di lorong barangan antik. Semua barangan pelik berkait dengan elektrik ada di sana.
Sedang kami baru terima tempahan, Sabri sampai!. Amran tambah nasi, sebenarnya aku juga kelaparan tapi kawal sikit nafsu makan tu; Kasihan Sabri lambat sangat kuah yang dipesan tak sampai. Nasinya telah habis. Kami rata-rata telah basuh tangan.
Bila bil sampai aku lihat Sabri cepat-cepat rampas. Prof Nizam yang cadangnya mahu belanja kami, mengeluh.
Yang kelakarnya kami keluar pintu sisi ditahan mamak, takut kami tak bayar; Amid apa lagi basuh cukup-cukup dengan mamak tu!. Ada juga mamak yang risau kejujuran orang tua seperti kami.
"Sesiapa nak tumpang kereta Sabri pergilah temankan dia!" Nizam bersuara, aku tenguk kereta Sabri pun seriau; Entah BMW model apa!. Rasanya model terkini yang aku lihat!. Ianya parkir betul-betul di depan Restoran Mamak, memang payah nak cari parkir kebetulan ada kosong di situ.
Dalam hatiku berbisik, kalaulah Sabri ditahan mamak lantaran silap keluar pintu bagaimanalah naifnya mamak ini. Takkanlah jutawan nak curi makan.
"Bayangkan iDAN sahabat kita itu, kalau tak ada masuk RM20K lebih sebulan mana mungkin dapat pakai kereta begitu!, kita sebaiknya tumpang bersyukur dengan kejayaan rakan kita." Prof Nizam bersuara. Aku terfikir akan suasana keluarga Prof Nizam, masing-masing suami isteri telah ada PhD. Pendapatan keluarga Prof Nizam pun lumayan jua. Iyer! hasil usaha & ketekunan mereka belajar. Memerah otak hingga ke akhirnya.
Aku teringat akan kereta perangku, telah dekat sebulan tak bergerak lantaran baterinya kondem. Hakikat kehidupan kita terpaksa terima seadanya; jangan banding-bandingkan. Teringat kapcai Arwah Nasha yang sangkut di jalan raya, aku sedar diri.
- bersambung
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan