iDAN

16 Mac 2011

Dulu mewah Kini Berjimat


Perhatikan staf kerajaan (bukan semua) jika mereka kerja di ofis mungkin tidak terlibat, tetapi mereka yang kerja sokongan di luar stesen, atau mereka dalam bidang teknikal atau mereka yang waktu kerjanya tak menentu; amat sukar kita kaji skala atau jadual kerja mereka.

28 tahun aku berkhidmat dengan kerajaan dalam bidang teknikal (sokongan), kejujuran pada diri itu amat penting. Ramai amat kalangan kita yang lebih utamakan kepentingan diri sendiri dari tuntutan kerja. Kerja tidak selalunya sibuk, terutama jika ditugaskan membaca data, membaca meter, menanti tugasan di stesen atau kerja yang bermusim. Fikirkanlah sendiri berapa banyak kita mencuri waktu tugasan kita. Silap-silap ada yang tidur bergaji.

Amat sensitif jika dipersoalkan, masing-masing merasakan diri kita adalah yang terbaik, terajin atau mahukan anugerah cemerlang itu tiap tahun milik kita. Tanpa kita kaji sempurnakah tugasan kita, betulkah kita yang buat, atau kita mengarahkan saja, rakan sekerja jadi macai. Bila bebanan kerja banyak sangat maka kita lari minta ditukarkan kelain bahagian.

Sekarang telah ada komputer, aku sering perhatikan setiap staf mesti ada hobinya dengan komputer, jika tak berFB mesti gila YM atau pun blog, berforum atau masuk laman sesawang politik atau main Chess atau gila main permainan komputer. Aku yang jaga ICT semasa kerja tahu belaka pelbagai ruang yang akan sedar tak sedar mencuri masa kerja kita. Jika waktu lapang atau senggang itu tak apalah bergadang di laman sesawang; dari merayap sampai sukar dicari tapi jika ada kerja asyik terpaksa ditangguhkan syok berleka kerja peribadi ini yang jadi masalah.

Belum bab memonteng keluar pejabat; bab lewat datang selepas makan tengah hari, bab balik awal ambil anak sekolah, bab asyik keluar baiki kereta rosak, bab lewat datang rakan tolong ketuk kad... ish! mesti ramai terasa baca nota ini. Titik.

Mengapa aku tetiba membebel bab ini, apa kena mengena dengan aku lagi, aku dah bersara nak buat apa fikirkan bab memonteng kerja, curi tulang segala ni. Macamlah aku tak buat semua itu sampai membeli belah pun bergaji. Hah!.

Aku nak cerita bukan apa, bila duduk di rumah dengan duit pencen yang yang tinggal 1/3 dari gaji dulu; tenguk bil elektrik sampai RM200 lebih, tenguk barangan mendadak naik sampaikan memang cupoi duit barulah teringat waktu berkerja mewah amat; tak tahu nak padam lampu waktu rehat, tak tahu nak padan penghawa dingin jika sendirian tak tahu nak tutup komputer bila tidak digunakan... bermewah amat. Gaji berganda dari kerja sebenar. Semua buat perkara ini. Mana ada kita pakai lilin jika nak bercit-cat mana ada kita nak pakai kipas tangan jika nak buat kerja sendiri. Kita ini sama saja bila dah terantuk barulah tengadah. Sedarlah!.


Tiada ulasan: