iDAN

21 April 2011

Mamat Khalid: Filem Untuk Usop Wilcha Dah lama Dirancang

Teks: Syafiqah Jalal

KUALA LUMPUR, 21 APRIL 2011: Impak yang diterima daripada penonton bagi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) adalah sangat luar biasa. Sehinggakan setiap dialognya kini menjadi ikutan dan ingatan ramai. Antaranya adalah ayatnya yang menjadi trend kini iaitu "cer citer cer citer" dan "kite bakor, kite bakor".

Malah, apa yang paling diingati dan disukai adalah watak Shy8 atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri, 46, sebagai Usop Wilcha dalam filem tersebut. Bagai sudah menjadi fenomena pula apabila setiap gerak gerinya dan katanya dalam HKLBR kini telah menjadi tarikan, perhatian dan ikutan sehingga kini.

Maka, tidak khairanlah jika pengarahnya, Mamat Khalid memberitahu dia bakal tampil pula dengan sebuah filem khas yang memberikan penekananan pada watak Usop Wilcha dalam HKLBR. Apa yang pasti, filem tersebut kini dalam proses pre-production.

"Terus-terang saya katakan, Shy8 memang seorang yang sangat bekerja keras dan komited pada kerjanya. Jika tidak, saya tak rasa dia boleh sampai ke tahap ini. Ini kerana apa yang saya tahu bukan mudah untuk dia capai seperti apa yang dia dapat sekarang.

"Dia sudah mula berlakon dari tahun 2001 lagi iaitu semasa saya mengambilnya sebagai pelakon tambahan dalam filem Lang Buana. Namun bakat dan kebolehannya belum menonjol waktu itu dan ramai tidak menyedari kewujudannya sehinggalah dalam HKLBR.

"Saya tak terkejut dengan apa yang telah diterima sekarang dan saya telah pun menyiapkan pre-production untuk filem khas buat wataknya iaitu berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.Filem yang akan mengangkat watak Usop Wilcha sebagai peneraju utama filem ini dijangka bakal memulakan penggambaran pada bulan Julai 2011.

"Sebenarnya perancangan untuk menghasilkan filem ini sudah pun lama dibuat. Iaitu sebelum HKLBR ditayangkan lagi. Waktu itu, saya dah pun berbincang dengan dia. Seorang lagi adakah Zizan Raja Lawak kerana dia bakal pegang watak sebagai Werewolf daripada Bangladesh itu," katanya kepada murai.com.my

Dalam pada itu, Mamat Khalid juga akui berasa amat bangga dengan populariti dan respon yang diterima oleh Shy8 dari orang ramai. Apatah lagi, Mamat antara orang yang terawal yang mula mencungkil bakat Usop dalam bidang lakonan.

"Alhamdulilah, mungkin dah sampai masanya Tuhan nak bagi rezeki ini kepadanya. Padahal, dia bukannya baru berada dalam industri seni ini. Malah, sejak tahun 1997 lagi dia sudah tampil dengan sebuah album solonya sendiri. Cuma baru kini bakatnya terserlah dan disedari.

"Terus-terang masa pertama kali mengambilnya berlakon saya sendiri tidak tahu sejauh mana kebolehannya. Namun saya percaya setiap orang pasti ada keistimewaan dan kebolehan mereka masing-masing. Saya suka pelakon yang on the dot sepertinya.

"Malah saya kini pun sedang berusaha untuk mencungkil banyak lagi bakat baru. Saya rasa kita patut beri peluang kepada bakat baru. Dari situ barulah kita tahu sejauh mana seseorang pelakon itu boleh pergi.

"Sebagai contoh, sekarang ini saya sudah nampak pendatang baru Azwan Anuar yang memegang watak Wak Kaswi dalam HKLBR. Saya rasa dia ada potensi untuk pergi jauh dalam bidang lakonan," kata Mamat Khalid yang ditemui selepas siaran langsung Maharaja Lawak di Finas, Jumaat lalu.

Tiada ulasan: