"Sistemnya sama seperti pawagam dan di sini ia tidak menjejaskan apa-apa pun. Bahkan, ia lebih membantu produser menjana keuntungan lebih.
"Astro First menggunakan mekanisme terbaru dalam gaya hidup di negara kita.
"Sebenarnya yang rugi adalah pengusaha panggung kerana mereka lebih utamakan orang luar dari produk sendiri. Cuba mereka bagi ruang untuk filem kita. Seharusnya pengusaha pawagam bagi ruang filem tempatan tapi semuanya nak buat bisnes semata-mata.
"Jadi, apa yang Astro First buat ini juga adalah bisnes yang membantu keuntungan produser tempatan," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut filemnya …Dalam Botol sudah ditayangkan menerusi Astro First dan Raja Azmi sudah mengecapi keuntungan tambahan.
Dia tidak berasakan keputusan menayangkan di Astro First menjejaskan minat orang ke pawagam.
"Bagi saya mereka yang tengok wayang dan tengok TV adalah sasaran berbeza.
"Apapun terpulanglah kerana setiap produser yang ada hak masing-masing. Asto First tidak pernah memaksa tapi yang penting kita ada cara alternatif untuk mendapatkan untung," katanya.
Sama seperti Raja Azmi, produser MIG Productions Sdn Bhd, David Teo bersetuju setiap produser punyai hak sendiri memilih atau menolak tawaran Astro First.
Namun sebagai individu yang sudah lama menghitung kerugian dan keuntungan dalam pembuatan filem, David berpendapat Astro First lebih menolong mengembalikan semula keuntungan kepada produser.
"Bagi filem yang kutip bawah RM4 juta, produser mesti masuk Astro First untuk tambah pendapatan. Ia tak jejaskan kutipan di pawagam.
"Tapi terpulanglah pada produser buat keputusan kerana ada orang tak mahu untung lebih. Memang ada produser yang lebih utamakan panggung.
"Sebagai pengedar untuk filem ini juga, Momok Jangan Panggil Aku, saya sudah bagi penerangan kepada M Jamil supaya dia faham keburukan dan kebaikannya tapi ahli lembaga pengarah syarikat ini buat keputusan tak nak masuk. Saya hormati keputusan mereka.
"Produser lama pun sokong Astro First sepatutnya orang baru lebih lagi. Saya tak masuk pun masih boleh hidup tapi mereka yang tak masuk, akan rugi. Orang nak tolong kita buat untung, mengapa nak tolak?" katanya.
Norman Abdul Halim dari KRU Studios pula berkata, mereka mendapat keuntungan berlipat ganda apabila memilih menayangkan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) menerusi Astro First.
"Terpulanglah kepada setiap produser untuk buat keputusan. Ini satu terma perniagaan yang perlu diterima atau tidak oleh kita. Bagi kami ia tak beri kesan buruk pada tayangan HMM di pawagam walaupun penonton tahu kami akan tayangkan di Astro First. Tayangan di pawagam dan Astro First sama hangat. Malah sambutan untuk DVD juga hebat apabila dijual lebih 50 ribu unit.
"Ini menunjukkan Astro First buka pasaran baru kerana orang yang pergi tengok wayang pun masih menonton di rumah.
"Saya rasa memang ada kesan psikologi kerana menonton di pawagam dan rumah berbeza. Tapi semuanya bergantung kepada penonton sendiri. Namun, jangan anggap Astro First negatif," katanya.
Berita.
7 lesen telah dikeluarkan!.
CYBERJAYA: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pemberian lesen kepada tujuh stesen TV berbayar akan dikaji semula mulai hari ini dan jika didapati mereka tidak berkemampuan, ia akan ditarik balik. Kajian semula itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan, katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan lesen “content application service provider”, “network facility service provider” dan “network service provider” kepada stesen TV Berbayar Astro di sini hari ini. Beliau berkata mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, jika penerima lesen berkenaan tidak menggunakannya dalam satu tempoh tertentu, kedudukan itu boleh dikaji semula kerana terdapat pihak lain yang berminat. Pemegang lesen berkenaan adalah U Television Sdn Bhd, Asiaspace Digital Network Sdn Bhd, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Fine TV Network Sdn Bhd, TM Net Sdn Bhd, MOL Media Sdn Bhd dan De Multimedia Sdn Bhd. Ditanya sejak bila lesen telah diberikan kepada tujuh syarikat itu, Rais berkata: “Ia berbeza antara satu dan tiga tahun.” Dalam tempoh tersebut sebahagian sahaja sudah memulakan operasi, katanya. Kepada satu soalan, Rais enggan menyebut nama syarikat yang tidak aftif beroperasi kerana itu akan memberi gambaran negatif sedangkan mereka belum lagi memulakan operasi. “Untuk berlaku adil kepada orang ramai pula, mereka ini perlu menunjukkan prestasi kerana jika tidak, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) akan masuk campur dan menarik balik (lesen). Tak ada faedahnya jika diberi lesen, penerimanya tidak mampu menggunakannya,” katanya. Mengulas tentang penyerahan lesen-lesen kepada Astro hari ini, Rais berkata ia adalah satu sejarah dalam dunia penyiaran kerana Astro, sebuah stesen penyiaran angkasa lepas, dapat diletakkan di bawah seliaan AKM 1998. Lesen-lesen itu terletak di bawah kerangka migrasi Astro daripada rejim Akta Penyiaran 1998 yang telah dimansuhkan kepada rejim AKM 1998. Dengan perkembangan itu, Rais berharap stesen TV lain seperti RTM, Media Prima dan tujuh stesen TV berbayar berkenaan dapat menonjolkan identiti dan kreativiti ala Malaysia menerusi siaran mereka. – Bernama
iDAN: Pelik juga tak pernah pun kita diuar-uarkan keujudan TV Berbayar ini. Apakah kerajaan tidak membantu memberi dana agar syarikat ini boleh bersaing. Milik siapakah syarikat ini?. TM Net Sdn Bhd seharusnya telah pun gah melancarkan promosi TV kabel yang begitu popular & mendapat sambutan hangat di US.
Jika memang syarikat ini tidak dapat menyaingi Astro kenapa tidak SEGERA dikeluarkan lesen lain untuk syarikat yang boleh beroperasi di pelusuk Tanah Air.
RM160,000 Royalti Karya P.Ramlee Diserahkan
Teks oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 11 OGOS 2010: Isu mengenai bayaran royalti kepada waris Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah sering kali dibangkitkan serta dipersoalkan sejak sekian lama. Namun, perkara ini nampaknya sekali lagi timbul selepas kematian anak tunggal lagenda seni itu iaitu Mohamad Nasir Ramlee pada 2008 lalu.
Sewaktu hayat Allahyarham Nasir, pembahagian bayaran royalti ini telah dibuat mengikut hukum faraid. Malah pada ketika itu, Nasir bersetuju untuk menyerahkan sebahagian royalti kepada salah seorang anak angkat P Ramlee iaitu Sazali.
Namun setelah kematian Nasir, bayaran royalti tertangguh untuk tempoh untuk yang singkat. Bagi menyelesaikan ianya sekali lagi menggunapakai hukum faraid dan royalti tersebut telah dibahagikan kepada keluarga Nasir iaitu balunya Surijaningsih Bakar serta 7 anaknya, Zakaria Nasir Nasir, Zaidee Nasir Nasir, Gurlina Nasir, Gurnawan Nasir, Gurnarisasca Nasir, Natasya Nasir, Najua Nasir. Namun sebahagian royalti tersebut turut diberikan hak kepada Sazali yang kini sedang sakit.
Jalan penyelesaian itu dibuat setelah pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), badan kutipan royalti iaitu Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan AmanahRaya Berhad telah menemui kata sepakat mengenai pembahagian royalti dalam karya penulisan dan penciptaan lagu itu.
Hasilnya, sebanyak lebih RM160,000 kutipan royalti bagi tahun 2008 dan 2009 telah diserahkan kepada keluarga Nasir. Cek telah disampaikan sendiri oleh Menteri KPDNKK, Dato' Ismail Sabri Yaakob pada majlis khas diadakan di Hotel Le Meriden, petang semalam.
Menurut Ismail Sabri ketika bercakap pada majlis itu berkata pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat.
"Majlis ini akan menjadi satu titik permulaan permuafakatan antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan pihak kementerian dalm mencari jalan penambahbaikan untuk membangunkan industri kreatif. Majlis ini juga membuktikan pihak kerajaan memandang serius isu royalty dan menyanjung tinggi karya-karya Allahyarham.
"Saya tahu banyak lagi keluhan warga seni mengenai isu ini telah dipaparkan di media, antara yang paling terkini adalah Datuk Sarimah Ahmad, pelakon dan penerbit veteran yang mempersoalkan mengenai royalti ulang tayang filem lakonan beliau.
"Selain itu, ada juga rungutan daripada para penerbit drama TV dan penulis skrip yang merasakan hak eksklusif mereka sebagai pencipta sesebuah karya dinafikan. Jelas di sini terdapat kelompangan di dalam peruntukan undang-undang kita yang mungkin perlu dilihat semula dan diberi penambahbaikan.
"Semua rungutan dan luahan rasa tidak puas hati para karyawan seni ini telah diambil kira di dalam sesi penderafan pindaan Akta Hakcipta 1987 (2010) yang sedang giat dijalankan kerajaan sekarang ini. Kita sedang pinda peruntukan baru itu agar ia lebih komprehensif dan memastikan ianya selaras dengan piawaian antarabangsa," katanya.
Dalam majlis penyerahan cek itu, Ismail Yaakob turut mengumumkan pihak kementerian bercadang menubuhkan Tabung Amanah Tan Sri P. Ramlee di mana AmanahRaya Berhad telah dilantik sebagai pemegang Amanah.
"Kami akan bekerjasa dalam menghalusi serta mengenalpasti terma-terma serta ahli-ahli yang tersenarai di dalam tabung tersebut. Ia akan menyenangkan semua pihak dalam pembahagian wang royalti dan sebagainya," tambah Ismail.
Turut hadir pada majlis itu ialah, Timbalan KPDNKK, Datuk Rohani Abdul Karim dan Dato' Tan Lian Hoe, Pengerusi MyIPO, Dato' Abdul Manan Ismail, Ketua Pengarah MyIPO, Azizan Mohamad Sidin, pegawai-pegawai kerajaan serta rakan-rakan media.
iDAN: Orangnya telah tiada hasil seninya baru dapat... sedih kan... tu pun tak sebanyak mana. Tapi kira berbaloilah jika ada pihak yang prihatin. Sebab itu isu Astro First ini juga sebaiknya di dalami. Mungkin M Jamil ada jawapannya yang tersendiri. Hanya M Jamil. Bagaimana nak berbual dengan M Jamil ini. Naa Mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan