Dalam operasi sulit itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa Pakistan, beberapa helikopter Blackhawk MH-60 yang diubah suai berlepas dengan membawa pasukan SEAL dari Pangkalan Udara Ghazi menuju ke bandar garison Abbottabad, kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Islamabad.
Sejumlah 22 orang terbunuh atau ditangkap selepas tembakan bertalu-talu dilepaskan selama lebih 40 minit, termasuk Osama yang mati akibat terkena dua tembakan di sebelah kiri muka.
Mayatnya dibawa dengan helikopter yang kembali ke pangkalan, manakala sebuah helikopter mengalami kerosakan mekanikal dan terpaksa dimusnahkan oleh tentera AS, kata pegawai tentera dan White House kepada akhbar National Journal, semalam.
Jika tidak kerana sasaran bernilai tinggi itu, misi tersebut boleh dianggap sebagai rutin bagi pasukan SEAL Team Six yang sangat terlatih, secara rasminya dikenali sebagai Kumpulan Pembangunan Peperangan Khas Tentera Laut tetapi sebagai DevGru di kalangan penduduk tempatan di pangkalan mereka di Dam Neck, Virginia.
Sasaran kali ini sangat istimewa dan serangan ke atas pekarangan sebuah rumah seluas setengah hektar di Abbottabad itu memerlukan latihan rapi, kerana itu mereka mendirikan pekarangan serupa di Camp Alpha, sebahagian daripada Pangkalan Udara Bagram di Afghanistan.
Operasi latihan diadakan beberapa kali pada awal bulan lepas.
DevGru terletak di bawah Pusat Pemerintahan Operasi Khas Bersama (JSOC), gabungan luar biasa terdiri daripada pelbagai pasukan petugas rahsia dan unit misi khas.
Mereka menjawab langsung kepada Presiden AS dan menjalankan operasi di seluruh dunia berdasarkan arahan sulit Presiden yang berteraskan undang-undang (atau luar batas undang-undang). – AgensPembunuhan Osama difilemkanLOS ANGELES 3 Mei - Pengarah yang pernah memenangi Anugerah Oscar, Kathryn Bigelow dilapor sedang menerbitkan filem bertajuk Kill Bin Laden yang memaparkan pembunuhan dalam serangan pada 11 September, Osama Bin Laden oleh Amerika Syarikat (AS).
Filem yang dibiayai anak perempuan jutawan teknologi Larry Ellison, Megan Ellison itu akan menampilkan aktor Australia, Joel Edgerton, 36, yang sebelum ini pernah berlakon dalam Star Wars.
Menurut laman web industri filem, Deadline.com semalam, Bigelow yang juga pengarah wanita pertama memenangi Oscar menerusi filem The Hurt Locker pada tahun lalu, telah merancang dan memilih pelakon untuk filem tersebut sejak beberapa minggu lalu.
Plot asal filem itu dibuat berdasarkan misi-misi tentera AS yang gagal membunuh pemimpin al-Qaeda tersebut di kawasan sempadan antara Afghanistan dan Pakistan.
Bagaimanapun, Deadline.com melaporkan, jalan cerita Kill Bin Laden akan diubah kepada berakhir dengan 'kejayaan' sama seperti operasi tentera AS yang berjaya membunuh ketua militan tersebut. - dpa
Kematian Osama tidak jejas rangkaian militan Asia Tenggara
JAKARTA 3 Mei - Rangkaian militan di Asia Tenggara melihat pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan hanya sebagai tamparan kecil kepada perjuangan mereka.
Reaksi terhadap kematian Osama itu disiarkan di satu laman web Indonesia yang dikendalikan oleh seorang militan dikenali sebagai 'Putera Jihad'.
"Jika berita itu benar, kita semua patut bergembira kerana memang menjadi impiannya untuk mati syahid di jalan Allah.
"Umat Islam tidak perlu bimbang, kerana dengan kehadiran Sheikh Osama atau tidak, jihad akan diteruskan dan Sheikh Osama yang lain akan muncul sebagai pengganti," menurut kenyataan di laman web itu.
Gerakan militan di Asia Tenggara seperti Jemaah Islamiah (JI) di Indonesia dan Abu Sayyaf di Filipina pernah bekerjasama dengan al-Qaeda serta mendapat inspirasi daripada rangkaian yang diasaskan oleh Osama itu, tetapi mempunyai matlamat dan kaedah yang berasingan, kata penganalisis.
Pengerusi pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), Said Aqil Siradj berkata, kematian Osama 'tidak akan terus menghapuskan fahaman radikal dari muka bumi'.
"Kita perlu sentiasa berwaspada kerana fahaman radikal sudah lama wujud dan tidak akan hilang, komitmen kita yang berterusan untuk bertindak memerangi fahaman radikal tidak boleh luntur," ujar beliau.
Sungguhpun al-Qaeda sudah lama menjalinkan hubungan erat dengan militan di Asia Tenggara, rangkaian Osama itu tidak pernah menguasai kumpulan militan di rantau ini dan kematiannya tidak akan menjejaskan operasi mereka, kata penganalisis.- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan