TEMERLOH 19 Julai - Rakyat diminta memanfaatkan kewujudan Kolej Komuniti yang dibina di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kolej tersebut dibina bukan sahaja untuk melatih pelajar-pelajar baru tetapi turut menyediakan pelbagai ilmu dan kemahiran jangka pendek kepada semua lapisan masyarakat.
"Pelbagai ilmu dan kemahiran jangka pendek yang ditawarkan oleh kolej berkenaan dapat membantu penduduk setempat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Karnival Latihan 1Malaysia Kolej Komuniti Wilayah Timur, di sini.
"Kolej ini telah melahirkan 80,291 pelajar mempelajari pelbagai bidang kemahiran, semua yang terlibat mengikuti kursus jangka pendek yang ditawarkan antara 20 hingga 32 jam dengan bayaran serendah RM10,” katanya.
Beliau berkata, antara kursus yang ditawarkan seperti muzik, bahasa dan pelbagai kursus teknikal dan kemahiran.
Penubuhan Kolej Komuniti juga terbuka kepada agensi kerajaan dan sektor swasta untuk melatih pekerja mereka bagi menambah nilai ilmu dan kemahiran sedia ada agar petugas mereka lebih berdaya saing dan cekap. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan